Friday, December 3, 2010

Kita *Orang Muda*...


Kita orang muda bukan bodoh. 
Kita orang muda belajar dari kecil bila mak ayah asuh dan suruh. Berapa nilai duit seringgit? Dulu boleh beli secawan air 50 sen dan nasi lemak yang cukup untuk isi perut. Mak bagi belanja sekolah, RM2 pun dah kira mewah. Tapi itu dulu.



Kita orang muda bukan kurang bijak. 
Kita tak perlu pergi tuisyen, ada kelas tambahan di sekolah. Kita belajar serajin yang boleh sebab memikirkan mak ayah kita berusaha beli buku teks dan buku tulis dulu berbanding sekarang, buku teks diberi pinjam. Kita bayar yuran sekolah juga. Tapi kita belajar sampai pandai buat orang tua bangga.




Kita orang muda bukan jadi pandai sekelip mata. 
Nak masuk Universiti pun kena berebut-rebut. Anak orang kaya pejam mata mak ayah tanggung belajar di luar negara. Anak orang miskin kalau bijak ditawar biasiswa serta-merta. Tapi anak orang yang bergaji sederhana ni bagaimana pula? Maka selain kami beratur untuk isi borang UPU, kami juga beratur untuk *meminjam* daripada PTPTN, JPA, atau MARA yang sudi beri kami pinjam untuk tanggung kami menuntut ilmu. Nak pinjam bukan senang, kena ada penjamin! Penjamin pula fikir banyak kali sama ada nak jadi *pak sanggup* atau tak untuk tolong anak orang *berhutang*. Takut kalau hutang tak terbayar, mereka pula yang dikejar.


Kita orang muda bukan belajar main-main. 
Bila diberi tugasan bukan sikit wang dilaburkan. Bila hujung semester, makan kadang-kadang kena catu. Nak minta kepada orang tua wang kadang-kadang mereka nak beri juga tak mampu. Maka kita dengan tebal muka buat bisnes (bukan MLM) supaya ada sikit duit saku. Cukuplah untuk makan dan minum sehari sekali. Bersyukur.


Kita orang muda bukan senang cari kerja. 
Bila sudah habis belajar merayu sana-sini hantar surat dan email kepada syarikat supaya diterima. Keputusan di Universiti capai 3 mata juga tak tentu dapat kerja. Akhirnya bila diterima, gaji dibayar diterima tanpa banyak tanya. Kerja banyak nak merungut belakang-belakang saja. Kena syukur dengan rezeki Allah s.w.t. nak bagi kita.


Kita orang muda hidup dalam kesempitan. 
Hutang belajar dulu nak bayar tapi gaji cukup-cukup makan. Harga barang makin hari makin naik, langsung tak sesuai dengan pendapatan. Duit gaji hujung bulan habis, agak susah untuk menyimpan. Niat nak kahwin asyik tangguh ke tahun-tahun hadapan.


Kita orang muda kena buka mata. 
Bila orang kaya makin bermaharajalela, orang miskin hidup makin derita. Kita yang hidup sederhana juga terima tempiasnya. Hidup kita hutang berjela-jela. Dah tua dan mati, hutang anak-anak yang kena tanggung pula. Kala macam tu, bila masa kita nak hidup tenang dan bahagia?


Kita orang muda kena berani bersuara. 
Bila pilihanraya tiba, kita undi pemimpin yang adil dan saksama. Kita tentang pemimpin yang membuli rakyat jelata. Kita hapuskan rasuah yang buat mereka kaya! KIta bangkang mereka yang bermuka-muka. Kononnya tolong rakyat pertahankan negara, walhal mereka biarkan kita hidup di negara sendiri merana.



Kita orang muda jangan henti berdoa. 
Kita doa, Allah s.w.t. beri mereka hidayah kepada mereka supaya berubah. Kita berdoa Allah s.w.t. beri rezeki kita murah. Kita doa dipermudahkan hidup di dunia dan di akhirah. Moga doa kita dimakbulkan dan dilimpahi nikmat kurniaan Allah.


No comments:

Post a Comment

Oh,anda sangat comel bila anda tinggalkan pesanan!