Showing posts with label Bercinta Dengan Buku. Show all posts
Showing posts with label Bercinta Dengan Buku. Show all posts

Sunday, May 22, 2011

HIDUP & AJAL


Semalam aku OT (overtime) kat ofis sampai pukul 10 malam. Sibuk-sibuk tunggu render 3D dan main AutoCAD ada orang post kat Facebook pasal kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat. Berita lebih lanjut di sini.

Aku yang tengah buat kerja pun hilang mood sebab sedih sangat bila baca cerita macam ni. Betul orang cakap, ajal maut di tangan Tuhan. Tapi ajal yang disebabkan kelalaian manusia sendiri (bina bangunan tepi lereng bukit), perkara begini memang menyentuh hati. Lagi-lagi bila tengok ada mayat-mayat yang tertimbus di bawah runtuhan tersebut. Subhanallah. Sedihnya....

Gambar sumber dari Berita Harian. Klik sini untuk gambar lagi banyak.

Al-fatihah untuk semua yang terbunuh dan takziah buat ahli keluarga mereka juga. Kita sama-samalah doa semoga mereka semua berada di kalangan orang yang beriman. Amin~

Bercakap tentang ajal, sejak akhir-akhir ni memang aku asyik ingat mati je. Masa tengah bawa kereta ingat mati, sebelum tidur ingat mati... Bila-bila rasa nak ingat tu, akan ingat juga. Aku ingat tentang mati bukan sebab aku nak mati cepat. Tapi bila aku ingat tentang mati ni, aku akan rasa nak muhasabah diri aku balik. Aku renungkan balik apa yang aku buat hari-hari, apa yang aku dah buat sepanjang hidup 26 tahun ni. Banyak ke ibadah? Banyaknya dosa dan banyak ke amal kebaikan yang dibuat untuk tebus dosa tu semua?


Malam tadi aku terpanggil untuk baca buku bertajuk "Bawa Hatimu Kepada Tuhan" karya "Amaluddin Mohd Napiah". Dalam buku ni ada tulis tentang pesanan Luqmanul Hakim kepada anaknya:

"Wahai anakku, kalau engkau meragui benarnya mati itu, maka janganlah engkau tidur. (Namun) seperti mana engkau akan tertidur (juga akhirnya kerana terlalu mengantuk), maka demikian jugalah dengan kematian. Dan apabila engkau meragui pula kebenaran hari kebangkitan, maka janganlah (sekali-kali) engkau cuba bangun daripada tidurmu (namun nescaya engkau akan terjaga juga daripada tidurmu), maka demikianlah juga hari kebangkitan. Kamu akan dibangkitkan selepas kematianmu."

Tuesday, March 1, 2011

Bercinta Dengan Buku: Tiga Kali Seminggu


Bulan lepas aku berjaya membeli lima buah buku. Empat buah buku Bahasa Inggeris dan satu buku Melayu karya penulis kegemaranku, Faisal Tehrani. Buku bertajuk Tiga Kali Seminggu ini merupakan buku keempat tulisan beliau yang aku baca selepas novel Manikam Kalbu, 1515 dan 1511H Kombat.


Sebelum aku ulas lebih panjang tentang buku Tiga Kali Seminggu, ingin aku kisahkan mengapa aku begitu menggemari karya Pemenang Hadiah Sastera ini. Cerpen pertama beliau yang aku baca dalam buku teks Sastera suatu masa dulu, Kerana Manisnya Epal merupakan rujukan utama ku untuk menyusun ayat-ayat indah dalam penulisan ku. Seterusnya buku 1515 yang aku pinjam dari perpustakaan UIA tambah menguatkan minat ku terhadap hasil karyanya. Watak srikandi Tun Nyemah Mulya dalam buku tersebut begitu mempengaruhi aku sehingga aku pernah mencari kebenaran sama ada watak tersebut wujud atau tidak semasa zaman Portugis menjajah Melaka. 1511H Kombat juga aku pinjam dari perpustakaan namun jalan ceritanya aku sedikit lupa. Novel Manikam Kalbu pula adalah novel pertama yang aku beli berkisar tentang sisipan sejarah asal-usul baju kurung dan pakaian tradisional Melayu.


Berbalik kepada buku Tiga Kali Seminggu, buku yang menghimpunkan 15 cerpen karya Faisal Tehrani ini baru diterbitkan tahun lepas namun nukilannya adalah kesinambungan hasil karya beliau dari zaman awal penulisan beliau hingga kini. Cerpen Tiga Kali Seminggu yang diangkat menjadi tajuk buku merupakan ocehan beliau tentang seorang ustaz bernama *Ustaz Agil* yang menjadi rebutan di sebuah kampung. Kisahnya bersangkutan pula dengan janda bernama *Zaheeda* yang kesunyian setelah diceraikan suami. Cerpen ini ditulis dengan niat memberikan kisah sensasi dalam bentuk hiburan kerana nama watak utama hampir mirip kisah seorang ustaz atau *celebriti* di negara ini yang akhirnya berkahwin dengan seorang penyanyi bertudung. (Rasanya semua orang sudah dapat menangkap siapa mereka.)