Showing posts with label Naluri Berbisik. Show all posts
Showing posts with label Naluri Berbisik. Show all posts

Sunday, August 26, 2012

Malam. Aku. Dia


Malam yang syahdu. Bila saat itu hampir tiba, kita akan kerap menghitung hari mendatang. Kepala serabut. Hati Kabut. Suara ribut. Semua benda nak kalut. Benda kecil kita besar-besarkan. Benda besar kita cuba abaikan. Teruknya hidup...

Malam yang sayu. Perasaan yang pelbagai. Rasa. Rencah. Perisa. Tekak makan benda yang lain hari-hari. Tapi selera entah apa-apa. Hari ni nak burger. Esok nak nasi. Lusa nak apa? Entahlah. Lain betul rasanya.

Malam yang hening. Kepala masih pening. Mana nak mula, mana nak berhenti? Hati sepi. Tadi gembira datang sapa. Kemudian sedih tiba. Mata nak lelap tapi fikir kerja. Kepala berpindah-randah fikir macam-macam. Teruknya....

Malam ke pagi? Soalan berbeza terjah kepala. Betul ke dia? Tapi memang betullah sebab dia selalu muncul bila hati panggil dia. Dia selalu muncul tanpa disangka. Kelakar pun ada juga. Tapi Tuhan kalau dah tulis orang tu, mana boleh nak persoalkan kan?

Malam gempita berselang gembira. Gaduh selalu tak lama. Dua-dua untung lembut hati senang. Tak marah lama. Senang memaafkan. Banyak cerita. Konon nak tidur pukul 12. Akhirnya tidur juga jam 2. Jodoh oh jodoh. Unik tau dia.

Malam kau tiada. Lepas 22 hari insya-Allah kau ada. Kau selalu ada bila perlu. Bila perlu sangat pun kadang-kadang ada tak ada juga. Tapi lepas ni harap kau ada. Jangan lari tau. Jangan putus asa. Jangan patah balik. Jauh nak patah balik... Hihi.

Malam hati menangis. Menangis ada 2 makna. Satu kerana sedih sangat dan satu lagi kerana gembira dan terharu sangat. Tapi tak tahu kenapa sayu sangat. Aduhai. Cinta buat tak keruan lagi diri ini. Teruk dan parah ni...

Malam atau pagi. Aku sudah tak peduli. Ini luahan hati. Hanya diri ku yang mengerti. Dia kupasti takkan peduli. Tapi dia semakin kenal diri ini. Dia baik sangat tau. Untung dia jadi jodoh. Jadi cinta. Yang kudoa panjangnya jodoh abadi. Hingga ke syurga ku menanti. Jangan bagi dia pergi dulu. Bagi kami bahagia dulu.

Wahai Tuhan, Ya ALLAH... Panjangkan jodoh yang KAU kurnia. Berikan hati ini kekuatan jiwa raga. Agar bisa kami tempuh susah senang bersama. Tuhan yang MAHA PENGASIH DAN PENYAYANG, kasih MU abadi. Tiada yang kurang dalam memberi. Oleh itu berikan kami perkara yang baik-baik saja. Biar duka, asal bersama. Terus bahagia kekal di syurga. AAMIIN...



Thursday, July 12, 2012

Hai Hidup


Hai Hidup
Mahu tak mengeluh hari ini?
Mahu tak menangisi apa yang terjadi?
Mahu tak patah balik daripada menghadapi realiti?

Hai Hidup
Banyaknya termenung jauh
Banyaknya buat perkara tanpa bersungguh
Banyaknya perkara bertangguh-tangguh

Hai Hidup
Benak kian sesak
Waima tangan banyak gerak
Kerja ikut rentak
Hampir kena gertak

Hai Hidup
Mata kian sengguk
Masih menunggu hari esok
Minta dijauhkan perkara yang teruk

Hai Hidup
Tuhan ada...
Minta padaNYA
Mohon kurnia bahagia
Tak minta banyak, hanya 3 benda...

Yang Maha Mengetahui segala isi hati..
Perkenankanlah doa hambaMU ini..
Amin...


Tuesday, November 8, 2011

Dia Yang Jauh



Demam rindu orangnya tiada..
Hari kelahiranmu ucapnya dari kejauhan ini..
Mengenangmu titis air sukar ditambat mata...
Tenanglah kamu di sana...
Moga DIA menjagamu..
Dari DIA kamu datang..Kepada DIA juga kamu kembali..
Salam & Al-Fatihah....


P/s: 8.11.2011. Usia 26 tahun tak sempat kau sambut. 
Kau tahu aku rindu. Namun kau pergi dulu... 

Memori:

Orang Jauh~

Saturday, June 4, 2011

Malam Ini


Malam ini kena buat kerja. 
Oh, sangat malas buat AutoCAD ni! Tapi pagi-pagi tadi Madam dah kejut ingatkan aku design yang aku tertinggal atau lupa. Bukan sengaja lupa. Semalam aku balik pukul 11 malam nak siapkan design rumah kat Villa Manja tu. Kesian aku. Patutnya hari ni aku pergi kenduri kat Seremban. Hari ni je lebih 5 orang jemput pergi kenduri kahwin. Satu pun aku tak pergi. Maafkan aku kawan-kawan...

*Tak tahulah bila rumah ni nak siap design.*

Malam ni nak edit gambar.
Minggu lepas aku pergi kenduri kahwin dua orang kawan baik. Gambar-gambar mereka dah penuh dalam kamera ni. Aku tak sempat-sempat juga edit. Aku tak suka letak gambar tak cantik kat dalam Facebook atau blog aku ni. Orang letak gambar aku tak cantik takpe,(memang aku tak cantik pun) tapi kot ye pun letaklah gambar tengah buat aksi *senonoh* sikit. Tak payahlah terasa kepada yang berkenaan. Gambar kau cantik, tapi tolonglah crop gambar aku yang tak sedia nak masuk dalam kamera kau tu hah. (Ok, tiba-tiba melalut! Maafkan saya.)


*Ini bukan gambar pengantin ya. Pengapit ya. Haha*

Malam ni nak tulis blog.
Sekarang dah tulis. Tapi tiada matlamat yang khusus. Aku nak update secara *matang* tapi terkeluar ayat-ayat bebelan ini. Maafkan saya blog. Entri pertama bulan Jun ni sangat tak menarik. Ok, nanti saya sambung.

Insya-Allah malam ini, malam esok, atau malam seterusnya. Saya sambung.

Selamat Menyambut Bulan Rejab! 

Friday, April 22, 2011

DARJAT


*Terima kasih buat si dia yang selalu berlemah-lembut memujuk. Terima kasih juga kerana sering memaafkan kesalahan diri yang serba kekurangan. Terima kasih sangat kerana tak mudah memutuskan sesuatu yang Allah s.w.t. telah satukan, hingga ke hari ini. Semoga Allah s.w.t. pelihara dia & meninggikan darjatnya di akhirat kelak. Amin~

Thursday, February 10, 2011

Kerja.Duit.Rezeki & Dilema


Kerja
Aku pilih kerja ni sebab aku minat.
Aku kerja kat sini sebab bos *baik* kot.
Aku kerja kat sini sebab tak *stress* macam tempat kerja lama
Aku kerja sini nak cari rezeki, nak cari duit nak kahwin cepat..
Aku kerja sini sebab suka design rumah orang...

Duit
Takde duit tak boleh kahwin
Takde duit tak boleh bayar duit kereta
Takde duit tak boleh bayar hutang
Takde duit tak boleh beli rumah
Takde duit, tak boleh buat apa-apa...


Friday, February 4, 2011

Menulis Dari Hati


Menulis itu satu cabang seni yang senyap tapi bernyawa..
Menulis  itu satu kepuasan yang kental daripada keinginan yang menebal..
Menulis  itu satu kondisi yang kadangkala mahu diri diingati daripada karya dihargai...
Menulis  itu satu pisau yang tajam, yang membuatkan suara hati menyakiti yang lain, atau disakiti tanpa disenangi..
Menulis  itu satu realiti yang terjadi atau satu mimpi yang tercipta sendiri...
Menulis  itu satu ilmu yang diekspresikan dalam baris tulisan yang indah lagi bermadah...
Menulis  itu satu perkongsian yang mengiyakan atau menidakkan satu kebenaran...
Menulis  itu satu pencapaian yang tak terjangkal akal yang dangkal dan akal yang bijak melawan sengal..
Menulis  itu satu kesaktian daripada jari-jemari yang pantas menulis baris ayat dan bait kata yang diyakini asli atau mencuri hasil orang lain...
Menulis  itu satu kerinduan untuk menciptakan kegembiraan atau kesedihan untuk si pembaca yang mahu berfikir terus daripada otak dan menilai lurus daripada hati...
Menulislah dan berkongsilah...
Kerana Menulis  itu satu keistimewaan dalam diri yang asli, yang unik lagi yang dikurnia oleh DIA Ilahi...


Saturday, January 29, 2011

Korban Bahagia


"KEBAHAGIAAN sebenar dalam perhubungan ialah bila salah seorang sanggup BERKORBAN demi kebahagiaan seorang lagi."

(AMARAN: Jangan baca entri ini jika anda tak tahan jiwang orang lain!)


Baru-baru ni, aku minta 3 perkara berbeza daripada dia. Pertama, tolong bagi aku datang Melaka. Aku nak tengok Showhouse company dia bina. Ada lapan banglo dalam design berbeza. Teruja aku nak tengok. Tapi dia tak benarkan aku pergi. Katanya risau aku naik bas express. Dia lagi rela dan mahu aku selamat kat KL ni. =(


Permintaan kedua ni memang *mengada-ngada*. Aku minta dia delete someone yang aku tak suka kat Facebook dia. Dia tak nak. Dia kata, orang tu tak kacau kami pun. Tapi aku memang tak suka tengok muka orang tu. Mana taknya, setiap kali buka Facebook dia, nampak muka orang tu kat Friendlist dia. Facebook ni tak reti alihkan muka orang tu ke? Aku hampir nak tolong delete. Dia tak bagi. =(

Ketiga, permintaan yang hampir sama macam tahun lepas. Aku minta dia pergi beli baju warna purple dan pakai masa birthday aku. ^_^. Itupun dia tak mahu. Aku siap offer nak bagi duit pergi beli sendiri. Dia tetap tak nak dan kata tak mahu guna duit aku. Ni pun birthday aku, tak tahulah dia dapat datang KL atau tak, sambut dengan aku. =(

Jadi 3 permintaan berturut-turut dia tak mampu nak tunaikan. Sedihkan? Perempuan ni memang. Emosi akan berlebihan bila apa yang nak tu tak dapat, terutama daripada orang tersayang. Beberapa hari lepas aku suruh dia balik awal kerja pada waktu malam. Dia balik lambat gak. Sudahnya aku dengan suara yang mengantuk jawab telefon pukul 1 pagi! Ish ish...


Wednesday, January 5, 2011

Luah & Respon


Semalam hari paling sedih. Sebab? Panjang ceritanya. Sudi ke baca? Dah lama tak bebel luah perasaan dekat dalam ni. Tapi nak ngadu kat sapa? Of course, Allah Maha Mendengar. Dan DIA juga kurniakan pendengar yang terbaik untukku. Thank you Allah. Love you. ♥

Pagi-pagi semalam nak isi barang kat tempat duduk belakang kereta. Tengok-tengok ada bekas plastik orang makan buah tak tahu bila. Hari tu ada orang naik kereta, dicampak bekas air lepas minum. Lepas turun kereta langsung tak ingat nak buang? Teruk betul perangai. Aku marah, nanti dia kurang ajar balik melawan. Sabar sajalah. Tapi kecewa. Kenapa ada orang macam ni kat dunia? Langsung tak terfikir untuk hormat barang atau tempat orang lain! Tak suka!

Sampai ofis, teringat nak telefon PTPTN yang dah berapa banyak kali telefon. Semua kerana hal Ujrah. Malas nak cerita panjang. Nanti aku selitkan tentang entri khas untuk PTPTN tersayang ni. Mungkin boleh bantu orang-orang lain yang tak suka hidup dibelenggu hutang. 
=(

Tuesday, January 4, 2011

Bukan Aku Membenci

Bukan aku membenci...
Kau yang punya wang...
Tapi aku benci...
Kau hidup bersenang-lenang...
Orang susah di sebelah kau tak pandang...
Pekerja di bawah kau tempik garang...
Asal salah sedikit kau tunjuk berang..
Lalu kau fikir kau yang menang?
Diam-diam orang bengang...
Tak takut satu hari nanti kau diserang?

Tuesday, December 28, 2010

Anti Orang KAYA kerana...

Aku bukan *anti-orang kaya*. 
Cuma aku *anti-orang-kaya-Melayu-yg sombong lagi bongkak-lagi angkuh-lagi pandang rendah kerja orang lain*. 
Paling aku anti, *orang-kaya-lupa rezeki-datang-daripada
----------------------------------> ALLAH S.W.T.*

Thursday, December 2, 2010

Mood Kesedihan


*Tengah lapar ni*

Minggu ini dinamakan sebagai: Mood Kesedihan.

Agak hodoh nama mood tersebut sedangkan hari ini baru hari Khamis. Ahad belum muncul lagi.   Ahad ini pula mungkin ada benda yang gembira, tapi belum pasti sama ada si *jejaka* itu boleh mengubat atau merawatkan kesedihan ini. (Dengan muka *kacaknya?* Senyum.)

Bekerja 365 hari setahun? Oh, sila tolak hari Ahad yang ada, cuti umum dan cuti raya yang tidak seberapa. Tolong campurkan, hari Sabtu atau Ahad yang digunakan untuk menghadiri kenduri-kendara dengan rela hati dan waktu malam yang digunakan untuk OT (Over time kala malam, siang *beronggeng* macam sekarang, siapa suruh?) tanpa bayaran tambahan, ikhlas kot.  Baki cuti tahun ini = 4 hari!

Jadi bila perancangan untuk *bercuti* dengan sahabat lama kecundang kerana *kepentingan* hidup orang lain, bukankah ada *gurisan* di hati yang tak nampak dek mata celik? Sebabnya bila kita asyik nampak hidup sendiri yang kononnya *paling kasihan* di celah ribuan penghuni cakerawala, takkan ternampak keributan yang berlaku di celah-celah insan yang duduk di sebalik komputer, menahan sabar, mengepam penumbuk di sini dan hanya mampu mengucapkan *La haula wala quwwata illa billah.*

Apakah aku kelihatan marah? Marahku tak nyata di hadapan namun di belakang hati ini bagai mahu menjerit. Kenapa wujud orang sebegini? Jika benar pergimu kerana Tuhan, tapi mengapa tidak dipastikan *pengorbananmu* itu tak menyesakkan makhluk Tuhan yang lain? Aku geram kerana aku yang akhirnya paling *layak* berkorban di sini. Bila aku terpaksa memungkiri janji kepada kawan, bila aku terpaksa menipu untuk menutup kesalahan dan paling aku tak suka, bila terpaksa meluah di dalam blog dalam nada *bebelan!*

"Ya Allah, ampunkan hambaMU ini. Letakkanlah aku dalam kondisi bersabar. Redhakanlah aku Ya Allah. Amin Ya Rabbala'lamin~"

Monday, November 22, 2010

Mereka Di Sekeliling..

Kita hidup dalam harapan. Kita hidup dalam kepentingan orang lain yang memerlukan kita. Kita hidup dalam kebahagiaan, bila orang yang bersama, beri kita senyum, beri kita gembira dan beri kita ketawa. Tapi orang sekeliling yang kadang-kadang menjatuhkan kita, yang buat kita kecewa dan yang paling sinis, mereka melukai kita, sedangkan kita berkorban apa saja untuk mereka.

Kita selalu berharap, kita tak jumpa mereka yang melukakan. Kita belajar hidup sendiri. Pedulikan orang lain. Itu hidup mereka. Tapi sedarkah kita, tanpa orang lain, kita bukan siapa-siapa? Di bumi Tuhan yang kita sembah ini, kunci syurga itu salah satunya berbakti kepada orang lain. Sedangkan untuk masuk syurga, doa anak-anak soleh, amal jariah dan ilmu yang tersebar, bukankah melibatkan orang lain?

Jadi siapa kita tanpa mereka? Mereka yang membuat kita menangis? Mereka yang buat kita berduka? Kesakitan itu datangnya daripada hati. Hati ini. Kita derita kerana punya sayang. Diberi kepada orang yang salah. Dikongsi bersama orang yang tak patut. Perlukah begitu?

Malangnya kita bukan punya kuasa. Bisa menilik hati manusia. Yang kadang-kadang penuh penipuan. Penuh dengan tipu daya. Penuh dengan hasad dengki. Tapi kita yang punya dua mata, dua telingat, mulut dan satu hati hanya mampu berserah kepadaNYA. Dia yang bantu kita, tunjuk kita, orang yang benar.

Saturday, October 30, 2010

Untung & Malang...

Beruntungnya...


Kau Cantik, kau dapat Suami Kacak.
Kau Bijak, kau dapat belajar di Luar Negara.
Kau Kaya, kau dapat beli rumah dan kereta besar.
Kau Terkenal, kau punya ramai Kawan.


Malangnya.


Kau Cantik, tapi dalam hati kau Hodoh...
Kau Bijak, tapi kau bijak menipu...
Kau Kaya, tapi tak mahu bersedekah kepada yang miskin...
Kau Terkenal, tapi ramai orang dengki dan benci...


Lebih BERUNTUNG


Kau sedar itu semua REZEKI kurniaan Allah s.w.t. dan kau BERSYUKUR.


Lebih MALANG


Kau alpa dengan kurniaanNYA dan kau terus SESAT dan SESAT....


Wednesday, October 27, 2010

N. Kenapa kau selalu ADA? M. Maafkan saya...

N.
Dia muncul buat aku keliru.
Dia watak yang sudah lama wujud dalam kamus hidup tapi hati ini tiba-tiba rasa lain bila dia muncul.
Dia bukan istimewa. Mungkin.
Dia ada *sesuatu* yang misteri.
Bila tengok gambar dia tiba-tiba senyum.
Aku ni gila.
Bila tengok message dia tiba-tiba seronok.
Aku tak sedar diri!


M.
Maafkan saya ya.
Hati saya masih milik awak.
Jujur. M orangnya.
Jodoh.
M yang terbaik.
Sabar.
M sabar sangat!


TUHAN.
Tolong usir perasaan *aneh* yang terbit antara aku dan N.
TUHAN.
Tolong terus rapatkan hati-hati aku dan M.
TOLONG.



Monday, October 18, 2010

Tak Tahu Nak Kata Apa...

"If I should die tonight and the reason remains unknown, tell not the whole world, but the one I love that I died of a broken heart, not because he loved me too little but because I loved him too much."


Recently kalau orang yang *alert* Facebook aku,mesti akan perasan ayat *Heart-broken* aku. Aku ingat orang tak nak peduli. Tiba-tiba masuk hari ni, dah 2 orang tanya in private kenapa dengan aku. Erm... Aku pun tak tahu nak kata apa.


Hati ni sebenarnya dah LOST lama dah. Tak pasti, tak yakin, gusar, takut, serabut, benci dan yang terakhir... Sayang. Sayang untuk memutuskan apa yang dah terjadi. Sayang untuk melepaskan. Sayang untuk menyakiti. Sayang dia.. Sangat sayang...


Dan sangat benci kepada diri sendiri kerana selalu sakitkan hati sendiri. Kesian hati saya tau. Dah terlalu banyak sabar, memendam rasa. Serius sangat sakit. Satu sebab tak boleh nak cerita kat orang lain, apa yang sebenarnya tersirat dan tersurat. Satu lagi sebab satu-satunya yang tahu ialah orang yang buat kita sakit tu.


Sekarang ni banyak sangat menangis. Banyak sangat cakap benda yang *merapek*. Banyak sangat mengungkit benda yang dah jadi. Macam menyalahkan *takdir* DIA pula. Kan tak elok tu? Sikit-sikit cakap, "kalaulah waktu boleh diundur." Apa kes? (Ok. mood emo dah muncul sikit. Astagfirullah.)


Satu lagi. Sangat malu dengan DIA. Siang tadi dah menangis kat Aina dan Aina pujuk dengan satu kata-kata yang cukup menyentuh hati. Dia kata, "Ada orang lagi buat jahat daripada kau. Allah tu bagi peluang berkali-kali. Tapi orang nampak macam sekali je."


Peluang yang berkali-kali itu selalu aku sia-siakan. Aku pun tak faham, kenapa aku jadi macam ni? Kenapa teruk sangat aku ni? Kadang-kadang rasa nak keluar terus daripada dunia ni. Tapi boleh ke aku selamat di dunia lagi satu tu? Azab di sana tu mesti lagi besar. Kalau azab kat dunia ni aku dah mengeluh berjuta kali. Kat sana nanti, tak tahulah.


Aku juga sangat kecewa dengan diri aku. Selalu tangguh untuk buat benda baik. Kalau buat jahat tu, laju je aku. Ish. Teruk betullah aku ni kan? Siapa boleh tolong *basuh* aku? Aku sangat rindu kawan-kawan aku kat UIA. Terutama mereka yang sanggup mendengar dan memberi nasihat. Bukan yang dengar, tapi lepas tu, tabur masalah balik kat aku. Memang tak suka orang macam tu.


Aku sangat letih. LOST. Hilang arah. Dah berapa bulan ni, aku stuck. Hanya sebab aku tak berjaya nak hampiri matlamat aku yang satu ni, benda-benda lain tak dapat cover. Memang sangat sakit hati! Aku menyesal kerana aku silap percaturan hidup. Aku dah rancang elok-elok, jumpa dia, buatkan aku sesak! 


Nafasku sesak.
Hela yang terhenti.
Kepayahan meneruskan langkah.
Kepedihan yang menghambur air mata.
Kesetiaan yang memakan diri.
Kejujuran yang sudah tipis.
Kesakitan yang menyerang jiwa.
Kekosongan yang sunyi daripada bahagia.
Kebencian yang ingin membunuh!
Persoalan yang menyulitkan benak.
Bertubi-tubi soalan.
Kenapa dan kenapa?
Jawapan tiada.
Hanya maaf. Konon.
Menyerah kalah mudah.
Menabur janji mudah.
Merobek hati mudah.
Tapi mengubat?
Tak mampu dan tak mahu.
Hanya tahu lari daripada tanggungjawab.
Hanya mahu lepas daripada beban.
Hanya pastikan diri selamat daripada bahaya.
Seorang diri.
Tinggalkan aku.
Sesak. Nafas untuk kuhela....





Tuesday, October 12, 2010

Kebanyakan Manusia

Kebanyakan manusia...
Mahu BERCERITA tapi tak mahu MENDENGAR
Mahu MENGAMBIL tapi tak mahu MEMBERI
Mahu MELIHAT tapi tak mahu MENOLONG
Mahu MENCACI tapi tak mahu MEMBAIKI
Mahu BERJAYA tapi tak mahu BERUSAHA
Mahu MEMBAHAGIAKAN tapi tak mahu MEMBERI SENYUMAN...

Thursday, October 7, 2010

Hati yang kau Sakiti

Bila kutanya
Kau marah
Bila kusoal
Kau Bising
Tapi jawapan.
Masih kau sembunyi.

Bila kumerajuk.
Kau pujuk.
Bila kumarah.
Kau redakan.
Tapi kau masih ulang.
Perkara yang buatku merajuk dan marah.

Kalau hati ini adalah untuk kau sakiti,
Kenapa kau berani curi?
Kalau hati ini untuk kau racuni,
Kenapa kau taburkan cinta, bukan benci?

Tuesday, October 5, 2010

Dear...I cinta you...

Kenapa tajuk ni macam aneh?

Sebab tiba-tiba terdetik rasa cinta kepada seseorang. Sebab orang tu panggil saya cinta malam tadi. Tiba-tiba...

Sebab orang tu dengar saya membebel sejam. Saya sendiri tak sedar apa yang saya bebelkan.

Sebab orang tu demam. Saya harap, saya dapat ada dengan dia. Bagi atau suapkan ubat. Tapi dia jauh. Jadi saya hanya boleh cakap...

Dear...I cinta you...

Harap dia cepat sembuh.
Demi cinta yang makin mekar.
Demi kasih yang tak pernah berkurang.
Demi sayang yang hari-hari diucap.

Dear...I cinta you...

Monday, October 4, 2010

KELUH . BEBEL . TAIP

Bukan mahu mencoret keluh
Tapi mahu meluah rasa
Letih tak habis
Penat tak kurang
Mengantuk tak celik...

Bukan mahu membebel panjang
Tapi mahu mempamer diri
Yang hilang arah tuju
Yang tak keluar buntu
Yang kadang-kadang disapa sendu...

Aku menaip baris ayat
Kekunci komputer berhuruf konsonan
Tanpa matlamat
Tanpa tujuan
Mata kuyu
Menunggu waktu pulang

Tapi dalam hidup
Aku lakukan mana yang mampu
Matlamat samar
Tujuan kadang-kadang sesat
Mata celik
Tapi benak fikir balik...
Kepada DIA..yang akan ambil nyawa...bila-bila masa...