Showing posts with label Sasteraku...Seniku....Simfoniku.... Show all posts
Showing posts with label Sasteraku...Seniku....Simfoniku.... Show all posts

Wednesday, November 23, 2011

Warna Itu


Merah itu...
Warna cintanya hati...
Warna bata dirinya bangunan...
Warna harumnya mawar...
Warna panasnya api..
Warna meronanya pipi...


Kuning itu...
Warna enaknya langsat...
Warna manisnya madu...
Warna masamnya lemon...
Warna silaunya emas...
Warna kembangnya cempaka...


Biru itu...
Warna langit cerah azur... 
Warna laut sian...
Warna kilat porselin...
Warna baju firus..
Warna sakit lebam...


Hijau itu...
Warna indahnya alam...
Warna segarnya rumput...
Warna batu lumut...
Warna gagahnya tentera...


Ungu itu...
Warna masaknya terung...
Warna hujung senja...
Warna cahaya lembayung...
Warna ranumnya manggis...
Warna aura romantis...


Putih itu...
Warna sejuknya salju...
Warna enaknya susu...
Warna cantiknya mutiara...
Warna tajamnya gading...
Warna wajah pucat lesi...


Kelabu itu...
Warna kebalnya arang...
Warna kepulan asap..
Warna sembunyinya tikus...


Hitam itu...
Warna terangnya dakwat...
Warna terbangnya gagak...
Warna hinggapnya kumbang...
Warna legamnya kulit...


"Warna itu...
Pancarnya indah...
Saratnya madah...
Cerianya menyerlah...
Hilangnya tak betah..."


Friday, February 4, 2011

Menulis Dari Hati


Menulis itu satu cabang seni yang senyap tapi bernyawa..
Menulis  itu satu kepuasan yang kental daripada keinginan yang menebal..
Menulis  itu satu kondisi yang kadangkala mahu diri diingati daripada karya dihargai...
Menulis  itu satu pisau yang tajam, yang membuatkan suara hati menyakiti yang lain, atau disakiti tanpa disenangi..
Menulis  itu satu realiti yang terjadi atau satu mimpi yang tercipta sendiri...
Menulis  itu satu ilmu yang diekspresikan dalam baris tulisan yang indah lagi bermadah...
Menulis  itu satu perkongsian yang mengiyakan atau menidakkan satu kebenaran...
Menulis  itu satu pencapaian yang tak terjangkal akal yang dangkal dan akal yang bijak melawan sengal..
Menulis  itu satu kesaktian daripada jari-jemari yang pantas menulis baris ayat dan bait kata yang diyakini asli atau mencuri hasil orang lain...
Menulis  itu satu kerinduan untuk menciptakan kegembiraan atau kesedihan untuk si pembaca yang mahu berfikir terus daripada otak dan menilai lurus daripada hati...
Menulislah dan berkongsilah...
Kerana Menulis  itu satu keistimewaan dalam diri yang asli, yang unik lagi yang dikurnia oleh DIA Ilahi...


Tuesday, January 4, 2011

Bukan Aku Membenci

Bukan aku membenci...
Kau yang punya wang...
Tapi aku benci...
Kau hidup bersenang-lenang...
Orang susah di sebelah kau tak pandang...
Pekerja di bawah kau tempik garang...
Asal salah sedikit kau tunjuk berang..
Lalu kau fikir kau yang menang?
Diam-diam orang bengang...
Tak takut satu hari nanti kau diserang?

Sunday, November 21, 2010

Cerpen: Bila Rintik Air Bertemu


Kisah ini berlaku 2 tahun yang lalu.

Mata berpandangan sekilas. Tapi rupa insan yang dilihat lekas pula melekat di kepala. Namun masing-masing ego ingin menyapa antara satu sama lain. Kalau nak beri salam tak salah. Lagipun salam itu sedekah. Tapi kedua-duanya mulut terkunci.

Mereka duduk hanya berbeza lebih kurang empat kaki. Hujan turun macam menangis. Seorang tunggu bas untuk pulang ke rumah sewa manakala seorang lagi hanya tumpang berteduh di pondok bas itu kerana terlupa membawa payung!

Telefon berdering.  “Hello!” Kepala terangguk-angguk menjawab panggilan. Mesti orang yang menelefon membebel panjang. “Ok. Kejap lagi Along balik belikan makanan. Hujan lebat ni.” Akhirnya ada ayat yang panjang keluar dari mulut.

Seorang lagi yang asyik memerhati lelaki bercakap telefon mula buka kotak minda. Dia menanti panggilan tersebut tamat. Cepatlah habis… Dia berdoa sendirian di dalam hati.

Saat lelaki itu mengalihkan telefon dari telinga dan hampir memasukkan semula ke dalam poket seluar, si dia yang dari tadi memandang cepat-cepat menghalang.

“Saudara, nanti dulu!”

Lantas lelaki yang digelar ‘saudara’ menghambur pandang. “Ya?”

“Erm… Boleh pinjam telefon?” Tanya si dia yang ingin pulang ke rumah sewa.

Tanpa fikir panjang tuan punya telefon bagi pinjam. Telefon bertukar tangan. Ikhlas.

Dengan tangan yang menggigil untuk menekan butang telefon Sony Ericsson, dia mula mendail nombor yang dia ingat tak ingat di dalam kepala. “Hello, Sarah! Ni aku Damia. Tolong datang ambil aku kat bus stop ni ha! Aku tak jadi pergi jumpa ‘dia’.” Bunyi perkataan ‘dia’ itu dialunkan dengan nada sayu.

Tuan punya telefon bernama Syamil buat-buat tak dengar perbualan sebentar itu. Dalam kepala otak berfikir sama ada minta ‘charge’ guna telefon atau minta nombor telefon orang itu. Sebaik panggilan berhenti, telefon tersebut terus dikembalikan kepadanya.

“Terima kasih. Sorry, telefon saya habis bateri.” Ujar Damia. Dia mengeluarkan not warna merah daripada dompet. “Nah, ni saya bayar duit kredit.”

Syamil jadi serba-salah untuk menerima duit tersebut. Tapi bila melihat duit yang dihulur masih belum berganjak, dia pantas mendapat satu idea.

“Duit yang awak bagi tu banyak sangat. Apa kata awak bagi saya nombor telefon awak. Nanti lain kali saya bagi awak baki.”

Damia jadi kaget dengan permintaan lelaki itu. Nak pulangkan baki sampai kena minta nombor telefon? Apa kena mamat ni? Dia angkat sebelah kening lalu berkata, “Awak nak tak duit ni?”

Amboi, jual mahalnya minah ni! Ingat cantik sangatlah tu. Getus hati Syamil. Terus dia hilang suara untuk menyambung cakap. Duit dan tuan punya duit dua-dua dijelingnya.

Seterusnya hujan masih menghentam kuat bumi. Guruh sabung-menyabung macam bertengkar di balik langit gelap. Damia dah mula cuak. Bilalah Sarah ni nak datang? Sesekali dia menoleh memandang Syamil yang selamba di situ bermain game di telefon bimbit.

“Awak...”

Tadi panggil ‘saudara’, kali ni panggil ‘awak’ pulak? “Ya.” Syamil langsung tak pandang. Pura-pura kusyuk main game.

“Pinjam telefon lagi...” Lembut Damia meminta.

“Tak boleh!”

“Kedekut!” Laju perkataan itu meluncur dari bibir Damia. Terus membuatkan mata Syamil menerjah muka Damia yang sama-sama memandangnya.

Serentak sebuah kereta Perodua Kelisa menghampiri stesen bas itu.

“Alhamdulillah.” Damia pantas bangkit dan berlari ke kereta. Langsung dia tidak mempedulikan Syamil lagi.

Syamil yang ternampak kereta itu tiba-tiba muncul lekas bangun dengan harapan diberi tumpang. Tapi malangnya belum sempat dia hendak menjerit memanggil Damia, kereta itu terus memecut laju meninggalkannya terkapai-kapai sendiri.

Syamil pasrah. Mungkin itulah balasannya kerana dia menjadi ‘kedekut’ sebentar tadi. Menyesal pula dia langsung tiada hati untuk berbuat baik kepada gadis itu. 

“Mana aku tahu ada kereta nak jemput dia...” Pada detik itu Syamil mengomel sendiri. Namun dia sedar, walau apapun terjadi, dia kini sendiri, menanti hujan reda dan menunggu mentari segera beri cahaya untuk dia pulang sebentar nanti.



Sunday, November 14, 2010

Ada Mata...



Dan ketika itu...
Ada mata yang memandang duka...
Ada mata yang kuyu letih...
Ada mata yang celik, mulut terbuka...
Ada mata yang memerhati tapi minda lari...
Ada mata yang terpejam memang tak wujud lagi...
Ada mata yang meliar tajam, meneliti hakikat hidup...
Ada mata yang duduk diam. Berkelip bila perlu...
Ada mata yang terkebil-kebil, tak tahu diri di mana...
Hakikat manusia, memerhati, meneliti, memandang, mencari menggunakan mata..
Melihat dengan hidayah Tuhan...
Menilai dengan hati..
Namun mata adakalanya silap...
Adakalanya salah menilai...
Kerana bukan menilai dengan hati..
Hati yang suci bersih...
Dan ketika itu, mata menipu lagi..
Tanpa disedari oleh hati yang tercemar dek titik hitam...

Airaniez Wirdani
17 Februari 2004 

Friday, July 16, 2010

5 JIWA. 1 RASA. (LIMA)

FARAH AFEEFA

“DIA takkan satukan hati kita kerana mahu kita sengsara. Tapi DIA satukan hati kita agar kita mampu kecapi bahagia.”

Hari-hari berikutnya kulalui ditemani lelaki bernama Muaz Hakimi. Hidupku kini cukup berbeda daripada yang terdahulu kerana Muaz ada denganku boleh dikatakan pada setiap masa. Mungkin dia tidak mendampingiku 24 jam tapi sekurang-kurangnya aku tahu dia ada kerana setiap satu jam pada waktu siang, akan terpacul pesanan ringkas di telefon bimbitku ini.

“Selamat pergi kerja Cik Farah. Mesti senyum di pagi hari kerana senyumanmu seindah mentari. =) “ Tepat jam 7.30 pagi SMS datang daripada Muaz buatku sebelum aku pergi ke pejabat.

Lantas aku membalas. “Terima kasih Encik Muaz. Selamat pergi kerja dan jangan lupa sarapan. Baru ada tenaga nak mula kerja. ^_^ “

Aku kerap tersenyum setiap kali mendapat SMS daripadanya. Dia terlalu ‘sweet’! Hatiku juga acapkali berbunga bila teringatkan dia. Tapi ada satu soalan yang asyik bermain-main di benak ini tentang status aku dan Muaz. Apa dia anggap aku sebenarnya? Adakah hanya sekadar teman biasa? Atau lebih daripada itu? Erm…

“Kak Nani tengok Farah asyik senyum je sekarang ni. Ni mesti ‘kerja’ Muaz kan” Usik Kak Nani, suatu hari sewaktu kami bersarapan bersama di pantri ofis.

Aku kembali ukir senyum. “Kak Nani macam tahu-tahu je kan? Ke, Muaz ada beritahu Kak Nani apa-apa ni?” Giliran aku pula yang serkap jarang. Kadangkala timbul syak kalau-kalau dua sahabat itu ada rahsia yang tersembunyi antara mereka dan aku pula langsung tak tahu apa-apa.

“Ish, takdelah Farah!” Laju Kak Nani menafikan. “Lepas Muaz minta nombor telefon Farah daripada Akak, itulah kali terakhir kami berhubung. Maklumlah, sekarang dia contact Farah seorang je kan, takkan nak contact Kak Nani pula!”

Lega aku mendengar pengakuan Kak Nani itu. Semestinya aku juga dapat rasakan, Muaz terlalu kerap menghubungiku dan mungkin sukar baginya untuk mengubungi orang lain. Tambahan setahu aku, Muaz sibuk orangnya. Waktu malam dia lebih banyak menghabiskan masa di ofis berbanding di rumah.

Malam itu Muaz menelefonku dari pejabat lagi. Pukul 9 malam. Betul-betul sebaik aku selesai makan malam dengan teman-teman serumah.

“Farah dah makan?”

“Dah, Muaz?”

“Belum.”

“Kenapa tak makan lagi?”

“Tunggu you.”

“Tunggu I, kenapa?” Soalku, hairan.

“Tunggu you suapkan.” Muaz ketawa mengusik.

Aku turut ketawa. “Amboi, manja you ni! Tapi takde I pun, you kena makan tau Muaz. Jaga kesihatan you tu.” Pesanku dan kembali bertanya. “You nak balik pukul berapa ni?”

“Sekejap lagi. Eh, Farah! I nak tanya you somethingla.”

“Yes, apa dia?” Aku sempat memperbetulkan kedudukanku di atas katil. Baru lepas makan, takkan nak baring! Jadi bantal tidur kusandarkan ke kepala katil dan tubuhku elok disokong bantal tadi. Ha, baru best nak borak dengan Muaz! Ujarku dalam hati.

“You ada ‘baju kurung’ tak?”

Aku jadi pelik dengan soalannya. “Apa soalan you ni? Mestilah ada.”

“Okay, you ada baju kurung warna biru?”

“Biru apa you nak? Biru cair, gelap, turqoise… Heh, sebenarnya I ada 5 pasang baju kurung warna biru.” Bangga aku memberitahu. Memang boleh dikatakan setiap tahun akan ada satu pasang baju kurung warna biru aku tempah atau beli siap. Tak kira untuk baju raya atau baju ‘jalan-jalan’.

“5 pasang baju biru!” Ada simfoni terkejut daripada nada suaranya. “Is that your favourite colour?”

Aku angguk sendiri. “Yup! My favourite colour is blue. Tapi I masih tak faham kenapa you tanya I soalan ni?”

Muaz berdehem sebelum menyambung bicaranya. “Sebenarnya I suka tengok perempuan berbaju kurung. You tahukan, baju kurung ni macam-macam jenisnya. Ada baju kurung teluk belanga, ada baju kurung cekak musang dan yang sekarang ni orang dah tambah, baju kurung moden.”

Aku kusyuk mendengar ocehan mulut Muaz yang semangat bercerita. “ Baju kurung punya corak saja melambangkan sesuatu. You pernah dengar corak ‘semut beriring’? Ha, corak semut beriring ni dikaitkan dengan semangat bekerjasama antara satu sama lain. Kalau corak bunga-bunga yang orang perempuan suka pakai tu pula melambangkan keindahan, kecantikan, dan kesucian.”

Semut beriring? Tak pernah aku tengok corak semut-semut ni. Erm... Aku pun bukannya rajin pergi melawat kedai kain macam KAMDAR atau Nagoya beli kain.

“Pada zaman dahulu, nak pakai baju kurung bukan sembarangan boleh pakai ikut warna kita nak. Kalau kuning, untuk raja-raja dan bangsawan sebagai lambang kekuasaan. Umum atau rakyat boleh pakai baju warna merah sebagai lambang rakyat jelata. Hijau dan putih dipakai alim ulama sebagai menunjukkan agama utama yang dipeluk masyarakat iaitu Islam. Warna kegemaran you, biru disarung dek orang besar kerajaan sebagai lambang orang berpengaruh manakala hitam untuk pemangku dan pemuka adat sebagai tanda ‘hidup dikandung adat, mati dikandung tanah’. Kalau hulubalang atau panglima biasa pakai warna hitam.”

“Bagusnya, orang ‘government’ je boleh pakai baju warna biru ya. I kerja swasta tak bolehla ye?” Sempat aku berjenaka.

Muaz dan aku sama-sama ketawa.

“Kalau tak boleh you janganlah pergi kerja. Duduk rumah pakai warna apa-apa you nak.” Seraya Muaz berkata lagi, “Orang kata, pakaian ni untuk melindungi tubuh dan sebagai perhiasan. Jadi selaku pakaian masyur wanita Melayu, baju kurung juga membantu seorang wanita itu menutup aurat, aib dan malu.”

“Maksud you?” Aku cuba memahami maksud yang ingin disampaikan oleh Muaz sebenarnya.

“Untuk pengetahuan you Farah, baju kurung ni ada syarat dalam rekaannya. Syarat-syarat tersebut meliputi cara ia dijahit iaitu mesti berlengan panjang dan ukur badan longgar. Seelok-eloknya ada corak-corak polos dan berbunga-bunga dan tak boleh tembus pandang atau dengan nama lainnya, jarang!”

Aku hampir tergelak mendengar penerangan Muaz yang tiba-tiba macam ‘Pensyarah Rekaan Pakaian Melayu’! Dia menyampaikan info tersebut seolah-olah ada teks ucapan yang terhidang di depan mata pula! Skema sungguh!

“Farah, kenapa you macam nak tergelak pula ni?” Muaz macam dapat mengesan tawaku yang ditahan.

“Takdelah. I cuma curious. How do you know about all these information?”

“Mary. You tahukan dia tu Fashion Designer. Masa belajar di universiti dulu, I selalu curi-curi tengok nota dia. Bila nampak bab ‘Pakaian Tradisional’ ni, I jadi berminat nak tengok. Lepas tu bila I tanya Mary, dia rajin pula nak cerita detail. Knowledge Mary tu banyak. Tapi sayangnya, I hanya tengok dia pakai baju kurung masa ada kenduri kahwin. Itu pun dah tak rupa baju kurung asli. It’s more to modern style while the fabric is quite transparent. Erm...”

Aku sedikit terpukul dengan kata-kata Muaz. Bukan part ‘transparent’ tu, tapi bila dia mengungkit tentang Mary yang memakai baju kurung hanya pada waktu kenduri kahwin. Hakikatnya aku juga jarang menggayakan pakaian kebangsaan itu untuk ke tempat kerja. Kalau aku bekerja di sektor kerajaan mungkinlah wajib pakai, tapi aku ni kerja swasta. Banyak bergerak sana-sini bertemu pelanggan. Namun sekarang aku sedar akan kekhilafan diriku ini.

“I sokong dengan kata-kata you yang baju kurung adalah baju yang sepatutnya dipakai untuk menutup aurat seorang wanita Melayu itu. Sejujurnya Muaz, I pun dah jarang pakai baju kurung ni. Ikut mood. I selalu pakai pun hari Jumaat kot.”

Ada tawa sinis yang kudengar dari corong telefon. “Dear, don’t feel bad. I don’t mind if you don’t wear ‘baju kurung’ often. Apa hak I nak kawal you pakai apa pun kan? You sendiri mesti tahu jaga adab dan pakaian you. Sebab tu I...” Ayat Muaz terputus seketika. Tapi dia menyambung ayatnya dan berkata, “Tapi I ada permintaanlah Farah.”

Aku angkat sebelah kening walaupun Muaz tak nampak menandakan aku ‘suspicious’ dengan permintaan yang bakal Muaz ucapkan. “Apa dia lagi Encik Muaz?”

“Untuk kali pertama I minta dan I harap you takkan tolak. I nak ajak you keluar dengan I, boleh?”

“Boleh.” Selaju petir aku membalas. Tak fikir sesaat pula tu!

“Tapi you kena pakai baju kurung warna biru!”

“What?”