Kisah ini berlaku 2 tahun yang lalu.
Mata berpandangan sekilas. Tapi rupa insan yang dilihat lekas pula melekat di kepala. Namun masing-masing ego ingin menyapa antara satu sama lain. Kalau nak beri salam tak salah. Lagipun salam itu sedekah. Tapi kedua-duanya mulut terkunci.
Mereka duduk hanya berbeza lebih kurang empat kaki. Hujan turun macam menangis. Seorang tunggu bas untuk pulang ke rumah sewa manakala seorang lagi hanya tumpang berteduh di pondok bas itu kerana terlupa membawa payung!
Telefon berdering. “Hello!” Kepala terangguk-angguk menjawab panggilan. Mesti orang yang menelefon membebel panjang. “Ok. Kejap lagi Along balik belikan makanan. Hujan lebat ni.” Akhirnya ada ayat yang panjang keluar dari mulut.
Seorang lagi yang asyik memerhati lelaki bercakap telefon mula buka kotak minda. Dia menanti panggilan tersebut tamat. Cepatlah habis… Dia berdoa sendirian di dalam hati.
Saat lelaki itu mengalihkan telefon dari telinga dan hampir memasukkan semula ke dalam poket seluar, si dia yang dari tadi memandang cepat-cepat menghalang.
Lantas lelaki yang digelar ‘saudara’ menghambur pandang. “Ya?”
“Erm… Boleh pinjam telefon?” Tanya si dia yang ingin pulang ke rumah sewa.
Tanpa fikir panjang tuan punya telefon bagi pinjam. Telefon bertukar tangan. Ikhlas.
Dengan tangan yang menggigil untuk menekan butang telefon Sony Ericsson, dia mula mendail nombor yang dia ingat tak ingat di dalam kepala. “Hello, Sarah! Ni aku Damia. Tolong datang ambil aku kat bus stop ni ha! Aku tak jadi pergi jumpa ‘dia’.” Bunyi perkataan ‘dia’ itu dialunkan dengan nada sayu.
Tuan punya telefon bernama Syamil buat-buat tak dengar perbualan sebentar itu. Dalam kepala otak berfikir sama ada minta ‘charge’ guna telefon atau minta nombor telefon orang itu. Sebaik panggilan berhenti, telefon tersebut terus dikembalikan kepadanya.
“Terima kasih. Sorry, telefon saya habis bateri.” Ujar Damia. Dia mengeluarkan not warna merah daripada dompet. “Nah, ni saya bayar duit kredit.”
Syamil jadi serba-salah untuk menerima duit tersebut. Tapi bila melihat duit yang dihulur masih belum berganjak, dia pantas mendapat satu idea.
“Duit yang awak bagi tu banyak sangat. Apa kata awak bagi saya nombor telefon awak. Nanti lain kali saya bagi awak baki.”
Damia jadi kaget dengan permintaan lelaki itu. Nak pulangkan baki sampai kena minta nombor telefon? Apa kena mamat ni? Dia angkat sebelah kening lalu berkata, “Awak nak tak duit ni?”
Amboi, jual mahalnya minah ni! Ingat cantik sangatlah tu. Getus hati Syamil. Terus dia hilang suara untuk menyambung cakap. Duit dan tuan punya duit dua-dua dijelingnya.
Seterusnya hujan masih menghentam kuat bumi. Guruh sabung-menyabung macam bertengkar di balik langit gelap. Damia dah mula cuak. Bilalah Sarah ni nak datang? Sesekali dia menoleh memandang Syamil yang selamba di situ bermain game di telefon bimbit.
Tadi panggil ‘saudara’, kali ni panggil ‘awak’ pulak? “Ya.” Syamil langsung tak pandang. Pura-pura kusyuk main game.
“Pinjam telefon lagi...” Lembut Damia meminta.
“Kedekut!” Laju perkataan itu meluncur dari bibir Damia. Terus membuatkan mata Syamil menerjah muka Damia yang sama-sama memandangnya.
Serentak sebuah kereta Perodua Kelisa menghampiri stesen bas itu.
“Alhamdulillah.” Damia pantas bangkit dan berlari ke kereta. Langsung dia tidak mempedulikan Syamil lagi.
Syamil yang ternampak kereta itu tiba-tiba muncul lekas bangun dengan harapan diberi tumpang. Tapi malangnya belum sempat dia hendak menjerit memanggil Damia, kereta itu terus memecut laju meninggalkannya terkapai-kapai sendiri.
Syamil pasrah. Mungkin itulah balasannya kerana dia menjadi ‘kedekut’ sebentar tadi. Menyesal pula dia langsung tiada hati untuk berbuat baik kepada gadis itu.
“Mana aku tahu ada kereta nak jemput dia...” Pada detik itu Syamil mengomel sendiri. Namun dia sedar, walau apapun terjadi, dia kini sendiri, menanti hujan reda dan menunggu mentari segera beri cahaya untuk dia pulang sebentar nanti.