Sunday, November 21, 2010

Cerpen: Bila Rintik Air Bertemu


Kisah ini berlaku 2 tahun yang lalu.

Mata berpandangan sekilas. Tapi rupa insan yang dilihat lekas pula melekat di kepala. Namun masing-masing ego ingin menyapa antara satu sama lain. Kalau nak beri salam tak salah. Lagipun salam itu sedekah. Tapi kedua-duanya mulut terkunci.

Mereka duduk hanya berbeza lebih kurang empat kaki. Hujan turun macam menangis. Seorang tunggu bas untuk pulang ke rumah sewa manakala seorang lagi hanya tumpang berteduh di pondok bas itu kerana terlupa membawa payung!

Telefon berdering.  “Hello!” Kepala terangguk-angguk menjawab panggilan. Mesti orang yang menelefon membebel panjang. “Ok. Kejap lagi Along balik belikan makanan. Hujan lebat ni.” Akhirnya ada ayat yang panjang keluar dari mulut.

Seorang lagi yang asyik memerhati lelaki bercakap telefon mula buka kotak minda. Dia menanti panggilan tersebut tamat. Cepatlah habis… Dia berdoa sendirian di dalam hati.

Saat lelaki itu mengalihkan telefon dari telinga dan hampir memasukkan semula ke dalam poket seluar, si dia yang dari tadi memandang cepat-cepat menghalang.

“Saudara, nanti dulu!”

Lantas lelaki yang digelar ‘saudara’ menghambur pandang. “Ya?”

“Erm… Boleh pinjam telefon?” Tanya si dia yang ingin pulang ke rumah sewa.

Tanpa fikir panjang tuan punya telefon bagi pinjam. Telefon bertukar tangan. Ikhlas.

Dengan tangan yang menggigil untuk menekan butang telefon Sony Ericsson, dia mula mendail nombor yang dia ingat tak ingat di dalam kepala. “Hello, Sarah! Ni aku Damia. Tolong datang ambil aku kat bus stop ni ha! Aku tak jadi pergi jumpa ‘dia’.” Bunyi perkataan ‘dia’ itu dialunkan dengan nada sayu.

Tuan punya telefon bernama Syamil buat-buat tak dengar perbualan sebentar itu. Dalam kepala otak berfikir sama ada minta ‘charge’ guna telefon atau minta nombor telefon orang itu. Sebaik panggilan berhenti, telefon tersebut terus dikembalikan kepadanya.

“Terima kasih. Sorry, telefon saya habis bateri.” Ujar Damia. Dia mengeluarkan not warna merah daripada dompet. “Nah, ni saya bayar duit kredit.”

Syamil jadi serba-salah untuk menerima duit tersebut. Tapi bila melihat duit yang dihulur masih belum berganjak, dia pantas mendapat satu idea.

“Duit yang awak bagi tu banyak sangat. Apa kata awak bagi saya nombor telefon awak. Nanti lain kali saya bagi awak baki.”

Damia jadi kaget dengan permintaan lelaki itu. Nak pulangkan baki sampai kena minta nombor telefon? Apa kena mamat ni? Dia angkat sebelah kening lalu berkata, “Awak nak tak duit ni?”

Amboi, jual mahalnya minah ni! Ingat cantik sangatlah tu. Getus hati Syamil. Terus dia hilang suara untuk menyambung cakap. Duit dan tuan punya duit dua-dua dijelingnya.

Seterusnya hujan masih menghentam kuat bumi. Guruh sabung-menyabung macam bertengkar di balik langit gelap. Damia dah mula cuak. Bilalah Sarah ni nak datang? Sesekali dia menoleh memandang Syamil yang selamba di situ bermain game di telefon bimbit.

“Awak...”

Tadi panggil ‘saudara’, kali ni panggil ‘awak’ pulak? “Ya.” Syamil langsung tak pandang. Pura-pura kusyuk main game.

“Pinjam telefon lagi...” Lembut Damia meminta.

“Tak boleh!”

“Kedekut!” Laju perkataan itu meluncur dari bibir Damia. Terus membuatkan mata Syamil menerjah muka Damia yang sama-sama memandangnya.

Serentak sebuah kereta Perodua Kelisa menghampiri stesen bas itu.

“Alhamdulillah.” Damia pantas bangkit dan berlari ke kereta. Langsung dia tidak mempedulikan Syamil lagi.

Syamil yang ternampak kereta itu tiba-tiba muncul lekas bangun dengan harapan diberi tumpang. Tapi malangnya belum sempat dia hendak menjerit memanggil Damia, kereta itu terus memecut laju meninggalkannya terkapai-kapai sendiri.

Syamil pasrah. Mungkin itulah balasannya kerana dia menjadi ‘kedekut’ sebentar tadi. Menyesal pula dia langsung tiada hati untuk berbuat baik kepada gadis itu. 

“Mana aku tahu ada kereta nak jemput dia...” Pada detik itu Syamil mengomel sendiri. Namun dia sedar, walau apapun terjadi, dia kini sendiri, menanti hujan reda dan menunggu mentari segera beri cahaya untuk dia pulang sebentar nanti.





Kini, selepas 2 tahun kisah itu...


Kisah Damia

Masa berlalu begitu pantas pada hari itu. Tiba-tiba sudah masuk waktu makan tengah hari. Damia sudah berkira-kira merancang hendak makan apa pada hari itu. Nampak benar dia merupakan orang yang paling bersemangat bila melihat jam di dinding sudah pukul satu!

“Amboi Damia, laju kau hari ni nak keluar lunch?” Tegur teman sepejabatnya, Bella yang memang terkenal dengan sikap suka memerli orang lain.

“Saja je, dah pukul satu kan. Takkanlah aku nak berpura-pura buat kerja tekan-tekan keyboard macam kau. Walhal sebenarnya tengah sibuk main Facebook!” Laju mulut Damia memulangkan paku buah keras kepada Bella.

Terus terpana Bella bila ditembak Damia begitu! Damia buat tak endah dan terus ke meja Aida yang terletak beberapa meter dari tempat dia berdiri.

“Aida, jom lunch!”

“Jom!” Aida bingkas bangun sambil mencapai tas kecilnya di atas meja.

“Kau nak makan apa hari ni?” Tanya Damia kepada Aida sebaik sahaja mereka tiba di kafeteria yang sudah mulai sesak dengan orang ramai.

“Aku rasa nak makan Soto Mak Yam kot. Tiba-tiba rasa malas nak makan nasi.” Ujar Aida.

Damia mencebik. “Hai, dietlah tu! Apa nak risau, baju kahwin kau bukan saiz L ke?” Dia ketawa mengusik.

Pantas jari-jari Aida mencubit pinggang Damia. “Hoi! Pandai-pandai kau kata aku tempah baju saiz L! Penat aku kuruskan diri nak jadi slim tau.”

“Iyalah.. Kau tak gemuklah Aida. Aku gurau ajelah. Kau makan je apa kau nak makan ok.”

         Aida senyum lega mendengar kata-kata Damia itu. Lalu dia pergi ke kedai Mak Yam di hujung kafeteria manakala Damia meluru ke kedai Nasi Ayam Hailan berdekatan dengan kaunter menjual air.

     Sedang Damia menanti pesanannya siap, ada bunyi salam diucap kepadanya dari belakang.

            “Assalammualaikum.”

       Bila Damia berpaling, sekuntum senyum terbit buatnya daripada lelaki yang tadi mengucap salam.

            “Wa.. Waalaikumsalam. Awak?”

            “Eh, awak masih ingat kepada saya?” Tanya Syamil kembali. Buat-buat terkejut.

       “Err.. Tak ingat kot.” Damia membuang pandang kepada nasi ayam yang sudah terhidang di atas dulang. Dia langsung membayar harga makanan tersebut lantas lekas berlalu pergi dari situ. Dari jauh dia nampak Aida sudah duduk di meja kegemaran mereka. Dia terus menghampiri meja tersebut.

            “Eh, kenapa awak lari?”

          Damia mengeluh. Tak disangka lelaki itu masih mengikutnya dari belakang. “Awak nak apa ni?”

       Syamil sengih lagi. “Saya nak tuntut hutang. Tapi nampaknya awak sibuk hari ni. Mungkin lain kali. Selamat menjamu selera.”

           Damia hanya memandang Syamil berlalu keluar dari kafeteria. Dia duduk menghadap Aida yang sudah mula menjamah Soto Ayam yang masih panas berasap.

            “Kau ni kenapa?” Aida pandang Damia, kaget.

            “Takde apa-apa.” Tipu Damia. Dia yang tadinya lapar hanya merenung Nasi Ayam di hadapannya. Benaknya bingung pada detik itu. Dia tertanya-tanya bagaimana lelaki itu boleh berada di situ. Bukankah perkara tersebut dah berlalu 2 tahun yang lepas? Macam mana lelaki itu boleh tahu dia bekerja di situ? Pelik dan aneh! Macam stalker pun ada gak. Terus Damia diserang gelabah!

          Pulang daripada kerja, dia terus meluru ke bilik Sarah yang masih menjadi teman serumahnya hingga kini. Sarah yang sedang kusyuk menghadap skrin Laptop separuh melatah bila biliknya diserbu tiba-tiba.

            “Sarah! Tolong aku!”

            “Hoi! Tak reti bagi salam ke?” Sarah mengusap dadanya, dia terkejut.

            “Sorry. Aku ada benda nak cerita kat kau ni Sarah. Kau ingat tak mamat kat bus stop hari tu?” Damia duduk di hujung katil Sarah.

       Sarah kembali menatap skrin. “Ingat. Kenapa?” Dia buat-buat kusyuk menelaah perkataan di hadapan matanya.

            “Tadi dia datang jumpa aku. Tuntut hutang.”

          “Hah, biar betul?” Sarah menyoal Damia, terkejut. “Mamat yang kisahnya aku tulis dalam novel aku tu?”

         Terus mereka sama-sama teringat, novel yang ditulis oleh Sarah tentang kisah tersebut. Walaupun perkara yang terjadi terlalu singkat, Sarah rasa perkara tersebut menarik untuk disambung kisahnya. Lantas Sarah yang sememangnya merupakan penulis novel, menggarap kisah benar itu menjadi sebuah novel bertajuk “Bila Rintik Air Bertemu” yang akhirnya laris terjual di pasaran kerana kisanya yang unik dan romantis. Walaupun dalam dunia realiti, tak mungkin berakhir sebegitu..

            Damia angguk. “Betul. Aku tak tahu macam mana dia boleh ingat aku. Lepas tu boleh pula datang tempat kerja aku. Menakutkan kau tahu tak!”

            “Erm... Agaknya kebetulan kot dia nampak kau. Lagipun dalam novel aku, memang aku tulis watak dalam tu akan bertemu tanpa sengaja..” Sarah cuba mengaitkan hal realiti pertemuan Damia tadi dengan novelnya.

            “Hei! Itu novel kau!” Laju tangan Damia membaling bantal ke arah Sarah yang mujur dapat mengelak balingan itu. “Sekarang ni hal aku dengan dia. Kau agak-agak, aku akan jumpa dia lagi tak lepas ni?”

            “Kalau dalam novel aku, korang akan jumpa lagi lepas ni.”

         “Sarah!” Terus sebiji lagi bantal singgah tepat ke muka Sarah hasil balingan Damia yang naik angin dengan ‘tilikan’ tak bertauliah Sarah itu.

        Namun esoknya, Damia berjodoh dengan Syamil lagi. Mula-mula dia langsung tak perasan, dirinya diekori. Tapi bila dia sedang menunggu tren LRT untuk pulang, sekali lagi Syamil menyapanya dari belakang.

            “Hai.”

         “Awak lagi!” Damia hampir mengeluarkan payung dari dalam beg untuk menyerang Syamil. Tapi Syamil cepat mengangkat tangan, tanda menyerah kalah.

            “Sorry. Maafkan saya. Saya tak ganggu awak lagi ok.”

         “Kenapa awak asyik ikut saya?” Tanya Damia, berlagak bengis. Dia cuba buat-buat berani. Lagipun ramai orang di situ. Kalau dia menjerit, mesti ramai yang akan menolong.

           Syamil angkat sebelah kening. “Ikut awak? Mana ada? Saya nak naik LRT lah. Nak balik rumah. Kalau awak kata saya ikut awak, maknanya orang-orang lain kat stesen ni juga semua nak ikut awak. Macamlah glamour sangat.” Ayat terakhir Syamil itu diucap perlahan, tapi masih kedengaran di telinga Damia.

            “Memanglah mereka tak ikut saya! Tapi awak je yang tegur saya!” Bangkang Damia, masih marah.

            “Sebab awak hutang saya. Dah lupa?” Syamil sengaja menduga Damia.

            Damia diam. Dia hampir lupa tentang perkara hutang kredit panggilannya dulu. Terus terngiang-ngiang suara Ustaz Hanafi, ustaznya di sekolah yang berkata, “hutang kalau tak dibayar, tak boleh masuk syurga.”

            Syamil senyum. “Sebelum awak bayar hutang saya, siapa nama awak ya?”

         “Damia.” Sekarang Damia mula berlembut. Malu menyerbu dirinya. Dia berhutang, tapi lari daripada membayar. Tak patut betul.

           “Nama saya Syamil. Panggil Am. Sebenarnya, saya ada kursus kat bangunan awak kerja tu seminggu. Kebetulan terserempak awak. Jadi saya tegurlah.” Jelas Syamil tanpa diminta.

            Serentak tren LRT tiba. Syamil yang akan menaiki tren ke aliran Ampang meminta diri.

            “Am, tapi saya tak bayar lagi hutang awak. Macam mana?”

            Syamil hadiah senyum lagi buat Damia. “Takpe, kalau ada jodoh, kita jumpa lagi.” Ucap Syamil sebelum melangkah menaiki tren, meninggalkan Damia di situ.

          Malam itu Damia masih memikirkan hal dia dan Syamil. Rasa pelik masih singgah dalam benaknya tentang bagaimana mereka boleh bertemu kembali setelah apa yang terjadi. Pertemuannya dengan Syamil sekali gus mengimbau kenangannya patah hati suatu ketika dulu.

            Hari pertemuannya dengan Syamil itu sebenarnya ialah hari dia putus cinta dengan Yusry, kekasih pertamanya. Dia sepatutnya berjumpa Yusry pada hari itu. Tapi pada saat dia sudah sampai di perhentian bas, Yusry menelefon dan membatalkan janji temu mereka. Selepas panggilan Yusry itulah, telefonnya mati. Dan seingatnya, itulah kali terakhir dia berbual dengan Yusry. Hatinya untuk Yusry terus padam bersama panggilan terakhir itu.

            Hujan masih berintik-rintik menjamah bumi. Damia termenung jauh, memandang dari tingkap pejabatnya. Mug berisi Nescafe yang masih berwap dilanggarnya dengan sudu. Cuba menyejukkan air yang sejuknya tak sama dengan cuaca di luar. Dia menanti hujan berhenti baru hendak pulang ke rumah. Lagipun hari itu hari Jumaat, mesti LRT ramai orang. Dia malas hendak bersesak-sesak dalam keadaan hujan-hujan begini.

          “Kau nak balik pukul berapa ni?” Soal Aida yang muncul entah dari mana. Beg tangannya sudah tersedia di bahu untuk pulang.

           Damia jeling jam di tangan. “Lepas Maghrib kot. Aku nak solat dulu baru balik. Lagipun malam ni Sarah takde kat rumah. Dia balik kampung seminggu, kakak dia nak kahwin.”

            Aida mengangguk. “Ok. Jaga diri. Aku balik dulu. Assalammualaikum.”

            “Waalaikumsalam.” Damia membalas, lalu kembali ke meja kerjanya.

 Rajin dia menyudahkan kerja yang tidak begitu penting untuk disudahkan segera. Sehingga dia tak sedar, jam sudah pukul tujuh malam. Lantas dia bersiap untuk bersolat Maghrib dan pulang ke rumah.

Ketika Damia sampai di pintu keluar bangunan pejabat itu, seseorang menyapanya tiba-tiba. Kali ini Damia tidak lagi diserang marah bila melihatnya. Tapi hanya tersenyum bila Syamil menghampirinya.

“Kenapa awak baru balik?”

“Kenapa? Awak tunggu saya ke?” Damia menyoal balas Syamil.

“Aah. Hari ni hari terakhir saya berkursus di sini. Ingat nak ajak awak keluar makan. Sudi tak?” Pelawa Syamil. Ada getar di sebalik ajakannya. Adakah dia takut?

Damia langsung tak berfikir panjang. Dia terus mengangguk. Mereka sama-sama berjalan ke restoran berdekatan bangunan itu. Keadaan jalan yang berlecak, membuatkan Damia berhati-hati ketika berjalan. Syamil yang berjalan sama, langsung tidak meninggalkan Damia di belakang berjalan perlahan, malah dilambatkan juga langkahnya agar seiring dengan wanita itu.

“Awak kerja apa sebenarnya?” Tanya Damia sebaik mereka selesai memesan makanan dan minuman di restoran itu.

Syamil meramas tengkuknya. Soalan yang tak mahu ditanya itu, membuatkan dia serba-salah. “Bisnes.”

“Bisnes apa? Sampai perlu pergi kursus?” Soal Damia lagi.

Syamil bagai terperangkap dengan soalan yang diajukan Damia. “Erm... Adalah. Bisnes kecil-kecil.”

Melihat Syamil kurang senang dengan soalan yang ditanya, Damia segera tukar topik. “Hari tu, lepas saya tinggalkan awak dari stesen bas, awak balik naik apa?”

Syamil ketawa. “Saya tunggu hujan berhenti. Baru balik!”

“Oh, maafkan saya! Kalau saya tahu, saya dah tumpangkan awak. Tapi masa tu awak...”

“Kedekut?” Syamil sambung ayat Damia yang tak habis. Terus tawa mereka sama-sama pecah. “Takpe. Sebenarnya hari tu saya kena belikan makanan untuk adik-adik saya. Tiba-tiba hujan lebat. Saya tak bawa payung. Sejak kejadian tu, saya bawa payung ke mana-mana.” Syamil menunjukkan sekaki payung panjang di sisinya.

“Bagus. Jarang saya tengok lelaki bawa payung. Selalu perempuan je.” Puji Damia, ikhlas.

Mereka berbual tentang pelbagai topik sepanjang makan malam yang singkat itu. Namun di akhir pertemuan itu, sewaktu Damia ingin membayar harga makanan, duitnya ditolak lembut oleh Syamil.

“Takpe, kali ni biar saya bayar.”

“Tapi hutang awak...”

Syamil hulur sehelai kertas yang sudah lama disimpannya untuk diberikan kepada Damia. “Ini nombor telefon saya, dan alamat restoran tempat awak kena belanja saya makan. Bila-bila awak free, awak telefon saya. Kita jumpa di restoran itu ya.”

Damia membaca alamat restoran itu berkali-kali walaupun semasa dia sudah sampai ke rumah. Dia perasan, alamat restoran itu berdekatan dengan rumah sewa lamanya sewaktu dia belajar di universiti dulu.

Jauh juga restoran ni. Fikirnya di dalam hati. Nombor telefon Syamil sudah siap disimpan dalam telefon bimbitnya. Hairannya, Syamil langsung tak minta nombor telefonnya. Mungkin masa kat restoran nanti dia suruh aku belanja macam-macam kot! Damia tiba-tiba tak sedap hati. Tadi macam pelik bila lelaki yang digelarnya ‘kedekut’ suatu ketika dulu jadi sangat ‘pemurah’ pula. Sekarang Damia rasa dia perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

Damia mengeluh bila mengenangkan, Sarah tiada di rumah pada detik itu. Kalau ada Sarah, bolehlah dia merancang misi dengan Sarah. Seraya otaknya diterpa satu idea. Pantas dia masuk ke bilik Sarah, mencari novel “Bila Rintik Air Bertemu” yang langsung tidak pernah dibacanya walau berulangkali dipaksa oleh Sarah.

Dia bukan tak suka baca novel. Tapi novel itu adalah kisahnya. Kisah sedih selepas kekecewaannya dengan Yusry yang membuatkan dia langsung tak percaya lelaki lagi selepas itu. Setiap kali mengenangkan watak ‘Amna’ dalam novel itu adalah dia, dia langsung terbantut untuk menyelak halaman novel itu sampai ke muka surat kedua.

Namun malam itu, dia tekad untuk mengkhatamkan novel tersebut. Digagahkan dirinya untuk menatap setiap ayat, bait-bait huruf dan jalan cerita seorang ‘Amna’, jelmaan dirinya manakala watak hero bernama ‘Haziq’, yang ‘kononnya’ adalah Syamil. Damia senyum sendiri.

Masuk muka surat ke dua puluh lima, adalah kisah bagaimana Amna bertemu dengan Haziq semula. Pada ketika itu, Damia mula kerut dahi. Pembacaannya kian serius. Dia kusyuk meneliti plot cerita tersebut. Hatinya berdegup kencang pada detik itu. Sampai Bab 23, Damia mula gigit jari. Jiwanya sesak. Apakah ini semua hanya suratan? Ataupun kebetulan? Damia terus diserang bingung dan keliru!



Kisah Syamil

            Banyak yang difikirkan oleh Syamil setelah ditinggalkan Damia seorang diri di stesen bas itu. Berapa jam dia menanti, hujan siang berhenti. Selepas itu dia nekad, tak mahu tersekat di balik hujan lagi.

            Azamnya, akan bawa payung ke mana-mana pada musim tengkujuh. Biar dikatakan macam perempuan, dia tak peduli. Asalkan dia tak perlu basah, bila hujan turun, dia sudah puas hati.
Keduanya, dia nekad untuk mempunyai restoran sendiri! Hari itu dia tersekat dalam hujan semata-mata ingin membelikan adik-adiknya makanan. Hanya kerana tiada bahan-bahan masakan di rumah, dia terpaksa meredah hujan, untuk membeli makanan. Sedih betul.

Kini setelah dua tahun berlalu, dia punya restoran sendiri, hasil perkongsiannya dengan seorang sahabat. Dia bangga dalam usia yang muda, dia punya aset sendiri. Restoran yang bertemakan masakan Melayu itu diusahakannya betul-betul untuk menepati selera Melayu asli. Bukan campuran masakan Barat atau benua lain.

Restoran yang diberi nama ‘Air Tangan Ibu’ itu berkongsepkan masakan Melayu yang dimasak oleh kaum-kaum ibu. Konsep makanan di restoran itu berkait rapat dengan kehadiran tukang masaknya yang terdiri daripada wanita-wanita Melayu yang merupakan ibu tunggal. Dia mahu membantu golongan tersebut untuk meringankan beban keluarga masing-masing akibat ditinggalkan suami. Sambil berbakti, dalam diam masakan di restorannya itu berjaya menarik ramai pelanggan yang sukakan selera masakan daripada ‘air tangan ibu’.

“Syima! Apa Syima buat tu? Pergi tolong Kak Syila ambil order!” Marahnya sebaik melihat adik bongsunya yang sedang pulang bercuti semester duduk goyang kaki di satu sudut restoran.

“Kejaplah Along. Syima baru tolong Abang Ikram kemas meja tadi. Bagilah Syima rehat jap.” Jawab Syima sambil menyambung membaca novel di tangannya.

Malangnya, baru Syima hendak selak kulit buku, Syamil lagi cepat merampas buku itu daripada tangan Syima. “Tolong Kak Syila dulu. Sekarang customer ramai. Nanti dah lengang, sambung baca!”

Syima terus tarik muka bila diarah Syamil begitu. Hendak tak nak, dia bangun juga bila mengenangkan, abang sulungnya itu yang bayar gajinya untuk mendapat pendapatan tambahan cuti semester itu.

Sementara itu, Syamil sempat membelek-belek buku di tangannya. “Buku apalah budak ni baca?” Terus dia duduk membaca buku itu. Helaian demi helaian disemak. Dia sangsi dengan jalan cerita buku tersebut, seolah-olah kisah itu pernah terjadi kepadanya.

Malam itu juga dia habis membaca buku tersebut. Pertama kali dia tak tidur malam kerana menghabiskan masa membaca novel! Nak ketawa pun ada juga. Tapi dia betul-betul berminat dengan jalan cerita novel itu. Terus dia mencari nama penulis di internet. Kebetulan penulis tersebut punya fan page di Facebook berserta alamat email untuk dihubungi.

Laju Syamil mengarang email kepada pengarang novel itu.

Assalammualaikum.
Nama saya Syamil. Saya telah membaca keseluruhan novel saudari bertajuk “Bila Rintik Air Bertemu”. Jalan ceritanya sungguh menarik. Tapi yang lebih menarik, ceritanya cukup sama dengan apa yang telah saya alami.

Beberapa hari kemudian, emailnya dibalas oleh penulis novel bernama Sarah. Dia mengajak Sarah untuk bertemu. Mereka berbual panjang. Sarah berterus-terang kepadanya tentang Damia, sahabatnya yang menjadi pencetus idea novel tersebut. Pada saat itu, Syamil baru tahu, rupa-rupanya gadis yang ditemuinya 2 tahun lepas namanya Damia. Dia teringat hutang kredit telefonnya yang belum dilunaskan oleh Damia.

Jadi dia meminta pertolongan Sarah untuk bertemu dengan Damia dengan alasan untuk menuntut hutang tersebut. Sarah sedikitpun tak menghalang. Dibantunya Syamil memberi info tempat kerja Damia. Tapi tanpa pengetahuan Sarah, sebenarnya Syamil sudah merancang sesuatu untuk wanita itu!

“Kau nak cuti seminggu, nak buat apa Am? Kalau kau takde, takkan aku seorang nak handle?” Rungut Ikram, rakan kongsinya. Ikram yang berkelulusan Seni Kulinari atau masakan memang tak berapa biasa menguruskan hal-hal pentadbiran restoran. Selalunya urusan itu lebih banyak diletakkan di bahu Syamil. Dia gusar jika dia tak mampu menguruskan restoran itu apabila Syamil tiada.

“Alah, tolonglah Ikram. Aku ada hal ni. Lepas ni kau pula boleh ambil cuti panjang ok. Aku janji.”

Setelah berjaya memujuk Ikram, Syamil memulakan projeknya untuk bertemu Damia di tempat kerjanya. Syamil merancang pertemuannya dengan Damia, serupa dengan jalan cerita dalam novel “Bila Rintik Air Bertemu”, iaitu pertemuan yang tak dirancang di kafeteria. Mulanya dia agak risau kalau-kalau Damia dapat menangkap plot tersebut. Tapi hingga ke hari ini, wanita itu sedikitpun tak menimbulkan syak terhadapnya.

Lagi-lagi bila Damia menelefonnya siang tadi. Hujung minggu itu, Damia mengajak Syamil berjumpa di restoran yang telah Syamil pilih. Restoran Air Tangan Ibu. Milik Syamil. Akhirnya Syamil dapat juga nombor telefon Damia!

“Hari ni, saya akan bayar hutang kredit panggilan awak.” Ujar Damia sebaik dia sampai di restoran itu.

Syamil menarik bibir senyum. “Terima kasih. Hari ni saya halalkan segala hutang awak kepada saya. Tapi kalau saya order lebih, macam mana ya? Awak bawa duit lebih tak?” Usik Syamil sambil ketawa.

Damia turut ketawa dengan pertanyaan Syamil itu. “Takpe, saya bawa kad kredit. Eh, sini boleh pakai ke?”

Syamil angguk. “Boleh, kenapa tak boleh?”

Damia angkat sebelah kening. “Eh, awak ni macam selalu datang sini je?”

Syamil yang berpura-pura menjadi pelanggan hari itu, dilanda cemas sedikit, namun lekas ditutup dengan nada yakin bila berkata, “Aah. Saya memang selalu datang sini. Masakannya sedap, dekorasinya menyenangkan. Awak tengok perabot-perabotnya tersusun je. Tak macam kedai mamak. Kerusi meja sampai bahu jalan pun ada.”

Damia sekadar angguk dan bersetuju dengan kata-kata Syamil itu. Dia akui restoran yang bertemakan masakan Melayu itu punya hiasan dalaman yang menarik. Warna temanya jingga kesumba, memberikan energi dan menaikkan selera makan sebaik menunggu makanan sampai. Ditambah hiasan dinding dengan lampu-lampu dekorasi yang tidak terlalu terang, memberikan impak relaks pada mata.

Sebaik makanan tiba, Syima yang menghantar makanan ke meja abangnya tersenyum sinis kepada Syamil. Syamil menjegilkan mata. Risau adiknya itu menggagalkan rancangannya pada hari itu.

“Pelik.” Ucap Damia sebaik Syima berlalu.

“Kenapa? Tak sedap ke?” Tanya Syamil, risau.

“Pelayan tu sengih-sengih kat awak, dia suka kat awak ke?”

Syamil bantai ketawa. “Awak cemburu ke? Dia senyum, sebab saya kacak kot?”

“Taklah. Sebab awak pandai ‘berlakon.’”

Syamil telan liur. “Berlakon?”

Damia pandang tepat ke mata Syamil. “Awak pernah baca novel?”

Tekak Syamil jadi tersekat untuk menjawab. “Per... Pernah.”

“Ok.” Damia menyambung makan.

“Ok je?”

Damia menganggukkan kepala. “Inikan pengakhiran novel yang awak baca tu, betul tak?”

“Damia, maafkan saya....” Syamil terus diterpa rasa serba-salah. Dia rasa Damia sudah berjaya menangkap rancangannya. “Saya tak berniat nak tipu awak. Betul, saya ikhlas nak kenal awak. Tolong bagi saya peluang.”

Damia diam. Dia menghabiskan makanannya. Selepas itu, dia ke kaunter bayaran. Bila dia hendak membayar, duitnya ditepis Syamil.

“Syamil, saya nak bayar hutang saya. Izinkan saya...” Damia terus menghulurkan wang RM50 kepadanya. Berat tangan Syamil mengambil wang itu.

Sebaik wang bertukar tangan, Damia pergi laju meninggalkannya di Restoran Air Tangan Ibu tanpa berpaling lagi, meninggalkan Syamil yang dibelenggu perasaan serba-salah yang amat.



Kisah mereka

Damia segera melangkah ke luar dari kedai. Dia lega kerana hutangnya kepada Syamil telah dilangsaikan. Memang itu pengakhiran kepada novel tulisan Sarah itu. Hutang dibayar. Dan...

Cinta sepatutnya berputik antara mereka. Tapi logik ke? Soal Damia dalam hati. Baru bertemu berapa kali, boleh jatuh cinta? Dahlah dia tak kenal siapa Syamil tu. Apa kerjanya? Kelulusan apa? Ada kereta tak?

Dia dahlah tiada kereta. Sebab itu dia menunggu bas di stesen bas yang sama, iaitu tempat pertama dia bertemu Syamil dulu. Malangnya dah berapa minit bas masih tak datang juga. Agak-agak lalu lagi ke bas di sini? Dia kurang pasti, sebab tadi untuk ke retoran, dia naik teksi.

Damia renung langit yang gelap. Aduh, nak hujan pula. Dia lupa bawa payung. Fikir pasal payung, teringat pula Syamil. Syamil yang bawa payung ke mana-mana. Dalam novel “Bila Rintik Air Bertemu”, watak Haziq memang suka bawa payung ke mana-mana. Mungkin Syamil sekadar berlagak menjadi watak itu. Daripada situ dia dapat agak, Syamil telah membaca novel tersebut.

Kalaulah dia baca novel itu dari dulu, mesti dia dapat menangkap muslihat Syamil. Jalan cerita yang hampir sama. LRT. Restoran. Makan untuk bayar hutang. Sama saja. Kecuali bahagian yang akhir itu. Jatuh cinta.

“Pandai-pandai je kau Sarah.” Damia teringat Sarah yang menulis jalan cerita yang baginya tak logik pada waktu itu. Bila Sarah pulang bercuti nanti, memang dia akan mencekik Sarah sampai mati! Marah betul dia.

Rintik-rintik hujan mula kelihatan. Damia diserang risau. Dia seorang di situ. Bas langsung tak nampak bayangan tayar, manusia juga langsung tak lalu-lalang di situ. Kemunculan sebuah kereta Toyota Vios berwarna hitam, membuatkan ketakutan Damia bertambah dua kali ganda!

Seorang lelaki keluar membawa payung, datang merapati Damia. Damia macam kenal payung itu.

“Damia, masuk kereta saya, cepat!”

“Kereta awak?” Damia tak tahu soalannya itu bunyi sarkastik atau tak. Dah Syamil kata itu keretanya, lagi dia mahu soal siasat.

“Ya, kereta saya. Takkan awak nak berhujan kat sini? Cik Sarah awak takkan datang dengan kereta Kelisa, nak jemput awak!” Tukas Syamil sambil sempat mengusik Damia pada saat hujan sudah makin laju menerkam jalan.

Damia mencebik, geram. “Kalau saya naik kereta awak, apa saya dapat?”

“Awak dapat saya.” Syamil senyum nakal.

“Syamil!”

Syamil ketawa lagi. “Saya gurau sajalah. Awak jangan ajak saya bergaduh waktu hujan lagi boleh tak? Kali ni, babak ni tak tertulis dalam novel ok.”

“Ok. Tapi saya nak tahu, kalau saya naik kereta awak, apakah isi kandungan seterusnya dalam novel itu?”

“Awak betul-betul nak tahu?” Syamil tanya Damia kembali.

“Ya. Saya nak tahu daripada awak, bukan penulis novel bernama Sarah.” Damia tertawa kecil. Dalam suasana hujan itu mereka masih bersoal jawab.

“Dalam pengakhiran novel yang Sarah tulis, Amna dan Haziq, hidup bersama. Tapi kita...”

“Tapi kita?” Damia menanti kata akhir daripada mulut Syamil.

Syamil memandang Damia, tepat ke mata. “Kita belajar untuk hidup bersama. Jadi diri kita. Bukan watak Amna dan Haziq. Setuju?”

Damia akhirnya mengangguk. Dia mengikut Syamil, meredah hujan bersama.

Rintik-rintik air yang menimpa mereka, terlindung dek payung Syamil. Itulah perlindungan mereka. Bila rintik-rintik air bertemu, tak tahu bila berhenti. Tapi bila matahari menyinggah, mereka tahu, ada sinar menanti masa depan yang tidak tahu kesudahan yang pasti.

Damia dan Syamil sama-sama berserah dan pasrah dengan kesudahan novel yang mereka karang sendiri. Kerana semua itu semua pasti, ketentuan Dia Ilahi.


*Hakcipta Terpelihara 2010. Karya asal : Airaniez Wirdani. Dilarang membuat salinan. Terima Kasih)*

No comments:

Post a Comment

Oh,anda sangat comel bila anda tinggalkan pesanan!