Tajuk entri macam nak tinggalkan wasiat terakhir je kan? Huhu. Tapi siapalah yang boleh ramal kematian. 3 benda yang Tuhan dah tentukan, JODOH (dah jumpa ke?) REZEKI (Insya-Allah ada) dan MATI. Tahu tak bila?
Apa-apa pun sebelum mati, setiap orang akan ada impian masing-masing. Orang yang tiada impian atau matlamat umpamanya tiada hala tuju yang jelas. Impian yang kita citakan itu boleh jadi mustahil atau akan jadi kenyataan suatu hari nanti. Malah, setiap impian kita itu boleh jadi dapat membantu orang lain atau hanya diri kita sendiri.
Sebab tu aku suka cara Candy Chang, seorang perancang bandar dan designer yang mengambil inisiatif untuk mengetahui impian penduduk di sekitar New Orleans. Beliau mengetahui kehendak dan impian mereka dengan mendirikan sebuah papan tulis di atas sebuah dinding rumah yang terbiar. Setiap penduduk boleh mengekspresikan kehendak itu dengan menyambung ayat *Before I die I want to* atau Sebelum aku mati aku mahu dan setiap impian mereka itu dapat dibaca oleh mereka yang melalui di jalan tersebut.
Usaha beliau itu ternyata memberi respon yang baik daripada penduduk di situ. Setiap patah kata yang tercatit di atas dinding hitam menggunakan kapur memaparkan impian orang ramai yang semestinya tidak mustahil untuk direalisasikan di muka bumi ini.
Adanya dinding sebegini, suara setiap orang dapat diluahkan dengan lebih abstrak dan kadangkala menyentuh hati nurani setiap orang yang membacanya. Niat baik manusia yang punya impian contohnya "Sebelum saya mati, saya mahu menyelamatkan hidup orang lain" menunjukkan masih ramai orang yang baik hati di dunia ini.