Pukul 8.30 malam. Hari Sabtu. Saya masih di Office saya. Di Cheras. Bawah ada kedai mamak. Tadi dah pesan roti kosong dan teh ais. Sebab dia hantar atas, aku belanja dia duit baki. (70 sen je pun. Haha)
Apa aku buat kat opis ni? Macam biasa, padah orang yang suka buat kerja *last minute*. Takpelah, lagipun esok cuti kan. Heh. Esok target aku, nak buat sesuatu yang aku tak tahu mampu ke tak. Sebab target aku minggu ni nak buat apa yang tertangguh, kebanyakannya tak berjaya *settle* dengan *smooth*. Aku cuma berserah, semoga Allah bantu aku Isnin ni. Amin~
Sesungguhnya, hidup ni bukan semudah yang kita rancang. Aku rasa semua orang rasa benda ni. Ujian tu takkan pernah tamat. Walau di kehidupan yang *satu lagi* tu pun, kita masih akan diberi ujian terutama bila kita kena hukum masuk neraka, betul tak? Apa-apa pun, mari sama-sama berdoa, semoga Allah melindungi kita daripada api nerakaNYA dan meletakkan kita di kalangan orang-orang yang beriman, yang mengaku bahawa DIA satu-satunya Tuhan kita dan Rasulullah s.a.w. itu pesuruhNYA.
Aku sedar aku tak baik. Serius, memang sangat banyak dosa aku. Hanya Allah yang Maha Mengetahui semuanya. Tapi DIA sangat baik bila DIA bagi aku peluang untuk hidup, masih ada family, masih ada kawan-kawan, masih ada kerja dan yang paling penting, masih diberikan rezeki olehNYA.
Sebab tu aku selalu berpegang kepada prinsip, "Kalau fikir DUIT kita akan SERABUT, tapi kalau kita fikir REZEKI, Insya-Allah kita akan BERSYUKUR. Perkataan *duit* tu aku memang sedaya-upaya elak daripada sebut selalu. Sebab kalau fikir duit, mesti aku sedih dan kecewa. Aku sangat perlukan duit untuk kahwin, perlu duit untuk bayar hutang dan perlu duit untuk capai semua impian aku.
Kalaulah duit itu boleh *turun dari langit* macam hujan yang turun menghentam lantai bumi, memang aku tadah setiap butir syiling yang jatuh. Tapi apakan daya, duit itu akan ada kalau kita ada *usaha* untuk dapatkannya, sama ada dengan cara yang baik atau tak baik, betul tak? Duit tu kalau ada, berjuta-juta pun tak tentu cukup. Aku tengok bos aku yang bisnes hari-hari jalan pun, pening kepala bila akhir bulan kena bayar gaji kami. Haha. (Saja jahat gelakkan bos.)
Lagi satu, apa guna gaji kau banyak tapi hutang masih banyak? Apa guna juga duit yang banyak kalau duit itu tak digunakan untuk kebaikan? Apa guna duit yang banyak kalau kita langsung susah nak bersedekah walau kepada ibu bapa atau keluarga kita sendiri? Part ni kita kena *alert* la. Bulan-bulan leh je *shopping* beli barang mahal-mahal. Makan kat Subway, Starbucks, Secret Recipe, etc, tapi RM50 pun susah nak hulur kat keluarga. Adeh.
Aku mengaku, aku memang cemburu dengan orang kaya. Siapa tak cemburu tengok orang nak buat *majlis* senang je. Mak ayah boleh tanggung setengah daripada budjet. Pastu dah kahwin boleh hidup bahagia dengan suami, mak ayah tak *claim* balik hutang kahwin tu. Oh, bahagia sungguh siapa yang diberi rezeki begitu! Jadi semua ini REZEKI ya Cik Ezdiani. (Ketuk kepala sendiri supaya sedar diri!)
REZEKI itu datang daripada Allah s.w.t.. Bukan daripada manusia yang kaya-raya. Bukan juga daripada pemimpin negara yang sibuk nak bina bangunan tinggi sampai 5 Billion! Bukan juga daripada bos yang suka nak *pow* belanja fast food! (Haha. Ye ke?)
Allah s.w.t. beri kita rezeki supaya kita BERSYUKUR dengan apa yang DIA bagi. Setiap orang Allah dah tulis berapa banyak rezeki yang DIA akan bagi. Kalau kita usaha dan doa betul-betul, Insya-Allah DIA akan bantu kita dapat rezeki yang baik.
Aku ada beberapa amalan yang aku rasa nak kongsi juga dengan korang macam mana nak dimurahkan Rezeki. Apa yang kita lakukan ni pun usaha gak. Jadi tak salah kalau kita buat dengan niat yang baik, insya-Allah.
Antara amalan-amalan yang aku selalu buat ialah membaca Surah Al-Waqiah pada waktu malam.
Sabda Rasulullah s.a.w. : “Barang siapa yang membaca surah Al-Waqi’ah setiap malam maka dia tidak akan tertimpa kefakiran dan kemiskinan selamanya. Dan surah Al-Waqi’ah adalah surah kekayaan, maka bacalah ia dan ajarkan kepada anak-anakmu semua.”
Satu lagi aku selalu amalkan baca Ayat 1000 Dinar. Aku rasa ramai orang tahu ni. Tapi tak salah kalau kita baca sebagai usaha kita untuk memperoleh rezeki daripada DIA kan?
Maksudnya: “Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (ath-Thalaq, 65: 2-3)
Bila dibaca setiap doa itu, kita patut YAKIN dengan apa yang kita baca itu. Kena yakin, yang akan makbulkan permintaan kita itu ialah Allah s.w.t., bukan orang lain. Kalau DIA lambat beri kita rezeki tu, kita kena sabar. Mungkin DIA masih nak uji kita tapi bila tiba saat rezeki itu dia kabulkan, masa tu barulah kita nampak betapa besarnya kuasa Allah s.w.t itu. Percayalah cakap aku k.
Jadi janganlah kusut, merungut, serabut, bersedih atau bermuram durja jika kita tiada duit. (Pesanan untuk diri sendiri juga!) Sedarlah Allah itu ialah Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani hambaNYA, iaitu aku, kau dan anda semua. Semoga Allah s.w.t. murahkan rezeki semua orang yang membaca blog aku selama ini. Amin~
No comments:
Post a Comment
Oh,anda sangat comel bila anda tinggalkan pesanan!