Bulan lepas aku berjaya membeli lima buah buku. Empat buah buku Bahasa Inggeris dan satu buku Melayu karya penulis kegemaranku, Faisal Tehrani. Buku bertajuk Tiga Kali Seminggu ini merupakan buku keempat tulisan beliau yang aku baca selepas novel Manikam Kalbu, 1515 dan 1511H Kombat.
Sebelum aku ulas lebih panjang tentang buku Tiga Kali Seminggu, ingin aku kisahkan mengapa aku begitu menggemari karya Pemenang Hadiah Sastera ini. Cerpen pertama beliau yang aku baca dalam buku teks Sastera suatu masa dulu, Kerana Manisnya Epal merupakan rujukan utama ku untuk menyusun ayat-ayat indah dalam penulisan ku. Seterusnya buku 1515 yang aku pinjam dari perpustakaan UIA tambah menguatkan minat ku terhadap hasil karyanya. Watak srikandi Tun Nyemah Mulya dalam buku tersebut begitu mempengaruhi aku sehingga aku pernah mencari kebenaran sama ada watak tersebut wujud atau tidak semasa zaman Portugis menjajah Melaka. 1511H Kombat juga aku pinjam dari perpustakaan namun jalan ceritanya aku sedikit lupa. Novel Manikam Kalbu pula adalah novel pertama yang aku beli berkisar tentang sisipan sejarah asal-usul baju kurung dan pakaian tradisional Melayu.
Berbalik kepada buku Tiga Kali Seminggu, buku yang menghimpunkan 15 cerpen karya Faisal Tehrani ini baru diterbitkan tahun lepas namun nukilannya adalah kesinambungan hasil karya beliau dari zaman awal penulisan beliau hingga kini. Cerpen Tiga Kali Seminggu yang diangkat menjadi tajuk buku merupakan ocehan beliau tentang seorang ustaz bernama *Ustaz Agil* yang menjadi rebutan di sebuah kampung. Kisahnya bersangkutan pula dengan janda bernama *Zaheeda* yang kesunyian setelah diceraikan suami. Cerpen ini ditulis dengan niat memberikan kisah sensasi dalam bentuk hiburan kerana nama watak utama hampir mirip kisah seorang ustaz atau *celebriti* di negara ini yang akhirnya berkahwin dengan seorang penyanyi bertudung. (Rasanya semua orang sudah dapat menangkap siapa mereka.)