Pertama sekali aku bersyukur sangat kerana terbabit dengan penulisan blog ni walaupun aku dah jarang sangat update blog ni. Tapi alhamdulillah, blog ni masih dikunjungi disebabkan orang baca banyak entri aku yang dulu-dulu, terutama yang berkaitan dengan interior design atau hiasan dalaman. Kadang-kadang kita takkan sangka apa yang kita buat dulu berguna untuk orang lain pada masa akan datang. Sebab tu sejak dulu aku akan sedaya-upaya pastikan apa yang aku kongsi dalam blog bukan entri untuk *syok sendiri*, sebaliknya entri yang boleh memberikan *ilmu* atau *pengetahuan* yang bermanfaat untuk diri aku sendiri dan orang lain. Insya-Allah.
Berbalik kepada ceramah tadi, nak dikisahkan macam mana aku boleh dipanggil untuk bagi ceramah ni disebabkan seorang pensyarah di Kolej Komuniti Selandar, Kak Lynn telah terbaca blog aku. Kebetulan kolej mereka nak adakan kursus tentang hiasan dan dekorasi, dia jemput aku untuk bagi kursus kepada staf di kolej kat Melaka tu. Mula-mula aku pun rasa lawak juga nak bagi talk kat orang sebab selama ni, aku mana ada pengalaman nak bercakap kat depan orang ramai-ramai. Jumpa client atau present depan lecturer dulu pernahlah. Tapi peluang macam ni bukan selalu ada kan? Peluang untuk pergi ke Melaka juga dimanfaatkan untuk bertemu kekasih hati dan arwah mak kekasih hati itu juga. Alhamdulillah.
*Antara pemandangan di Kolej Komuniti Selandar, Melaka. Cantik juga kolej ni.*
Ceramah atau kursus yang aku bentangkan selama dua hari itu bertajuk Kursus Inspirasi Dekorasi. Antara tajuk-tajuk yang aku bentangkan ialah Hiasan dan Dekorasi, Susun atur dan Perancangan dalam Ruang, Inspirasi Warna, Material Dekorasi dan Hias dan Mampu. Pada waktu pagi aku bagi ceramah mengenai tajuk-tajuk di atas manakala waktu petang lebih kepada aktiviti praktikal yang seolah-olah *kelas pendidikan seni* bagi mereka. Haha.
Ceramah yang aku bagi ni lebih berkisar kepada dekorasi dalam ruang (Interior Decoration) berbanding hiasan dalaman (Interior Design) sebab kedua-dua perkataan dekorasi dan hiasan itu sendiri boleh memberi maksud yang berbeza. Semasa kursus, aku bagi penerangan secara ringkas dan mudah tentang contoh-contoh barang dekorasi sama ada yang boleh dibeli atau buat sendiri (DIY- Do it yourself), bagaimana nak susun perabot dalam ruang secara betul atau space planning, pemilihan warna dan material dan aku juga tolong mereka bagi cadangan untuk susun semula barang-barang mereka di pejabat.
*Mengajar orang susun perabot. Huhu*