Friday, December 14, 2012

Perbezaan antara Interior Designer dan Interior Decorator


Assalammualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih kerana sudi menjenguk blog yang senyap bertapa selama beberapa purnama ini. Tuan punya blog macam biasa sangat sibuk dengan kerjaya dan keluarga. Tambahan bila dah ada *orang baru* ni. Hihi.

Entri tentang Perbezaan antara Interior Designer dan Interior Decorator ni memang dah lama aku nak tulis. Disebabkan sekarang ni ramai yang menghubungi aku tak kira melalui email atau panggilan telefon dan SMS untuk bertanyakan tentang servis Interior Design yang aku tawarkan. Ada yang nak tanya pendapat tentang susunan perabot, design bilik kanak-kanak, material dapur dan banyak lagilah. Ada juga yang bila nak gunakan khidmat interior design consultant atau penasihat pereka dalaman mereka, cakap punyalah pung-pang-pung-pang (bunyi kompang bertalu), demand nak buat itu ini. Semua nak glamour. Bila sebut harga terus kata mahal dan ada yang *senyap membisu* terus. Macam-macam kerenah orang ramai ni. Sabar ajela. Maka di dalam blog ni aku terangkan dengan lebih jelas mengenai bidang kerjaya aku - Interior Designer atau Pereka Dalaman dan perbezaannya dengan Interior Decorator atau Penghias Dalaman.


*Perbezaan jelas Interior Designer dan Interior Decorator. Klik untuk imej lebih besar*

Sebenarnya ramai yang guna istilah Interior Designer tapi mereka tersalah faham bahawa kerja Interior Designer ni hanya menghias rumah, susun perabot dan pasu-pasu bunga, pilih cat, gantung lampu, etc. Aku tak salahkan korang sebab salah faham tentang bidang ni. Kadang-kadang puncanya ialah media massa macam rancangan TV - Deco Bersama Eric, Casa Idaman, etc. Bila tengok rancangan tu macam *senang* je kerja Interior Designer ni kan. Sampai aku pergi hospital, aku sakit dan stress sebab kerja, doktor yang rawat aku boleh tanya, "Sibuk sangat ke kerja Interior Designer ni?" Erk???

Inilah masalah masyarakat yang hanya tahu tentang kerjaya sendiri je lantas menyebabkan mereka ni macam tak hormat atau respect kerjaya orang lain. Aku tak kata semua macam tu. Ada sesetengah golongan yang bekerja dalam bidang professional memang rasa kerja merekalah yang paling hebat dan sibuk dalam dunia! (Siapa kata kerja cikgu senang? Aku pernah jadi guru ganti sebulan tau...Erk... Tiba-tiba...)

Secara jelas Rekaan Dalaman atau Interior Design adalah:


"Seni dan sains dalam memahami tingkah laku manusia untuk mewujudkan ruang yang berfungsi dalam bangunan."

*Interior Design Consultation*

Manakala Dekorasi Dalaman atau Interior Decoration adalah:

"Penyediaan perabot dan bahan-bahan atau menghiasi ruang dengan perkara-perkara yang bergaya atau cantik". 

*Interior Decorator Advice*



Baiklah, di bawah ni aku senaraikan perbezaan antara kerja Interior Designer dan Interior Decorator.


Taraf Pendidikan


Interior Designer atau Pereka Dalaman adalah bidang kerjaya yang memerlukan kami mempunyai taraf pendidikan tertentu dan latihan formal sebelum dapat masuk ke dalam bidang ini. Sebelum ini aku pernah tulis artikel tentang Belajar Bidang Seni Reka Dalaman (Interior Design). Jadi kepada sesiapa yang nak belajar bidang ni boleh rujuk di dalam artikel tersebut.

Di Malaysia, Interior Designer memerlukan sekurang-kurangnya Diploma untuk bekerja di ID firm atau Syarikat Pereka Dalaman. Hal ini disebabkan kerana kerjaya ini memerlukan kepakaran dalam space planning (susun atur dalam ruang), drawings (lukisan pelan bangunan, detail perabot, pelan siling dan lampu, etc), pemilihan material seperti fabrik dan wallpaper, rekaan perabot, construction atau pembinaan dan banyak lagi.Taraf pendidikan ini juga penting kerana semasa belajar, Interior Designer telah dilatih supaya melakukan kajian, analisis dan menggabungkannya dengan kreativiti yang mereka ada dan dilatih dengan pelbagai kemahiran sebelum boleh masuk ke dalam dunia pekerjaan yang sebenar.

*Ada ilmu membaca plan dan drawing!*

Interior Designer perlu mengaplikasikan kreativiti dan penyelesaian teknikal mereka kepada pengubahsuaian struktur supaya berfungsi dengan baik, menarik, selesa dan berguna kepada orang yang mendiaminya. Rekabentuk dan ubahsuai tersebut juga perlu mematuhi undang-undang yang dikenakan terhadap pemilik bangunan atau premis (selalunya untuk projek komersial) dan bersesuaian dengan fungsi bangunan tersebut.

Selain itu, kerjaya Interior Designer memerlukan kami tahan *lasak* (tahan kena marah, tahan debu, tahan mata tengok site kelam-kabut, dll) dan mempunyai banyak kemahiran untuk bertahan lama dalam bidang ini. Tambahan sekarang ini syarikat-syarikat amat mementingkan kepakaran dalam menggunakan komputer kerana banyak kerja kami mahu kami reti guna software untuk design macam 3Ds Max dan AutoCad. Terus-terang, kalau anda tak banyak skill memang susah sangat nak survive dalam bidang ni ditambah kesungguhan dan kerajinan untuk belajar sesuatu yang baru. (Contohnya - Turun ukur site, present design depan client, kenal material, dll)


Sebaliknya, Interior Decorators atau Penghias Dalaman tidak memerlukan apa-apa kursus atau latihan formal kerana Interior Decorators lebih terarah menjadikan sesebuah ruang itu nampak cantik dan *sedap mata memandang*. Namun, ada juga kursus-kursus pendek yang Penghias Dalaman boleh ambil seperti kursus pembuatan perabot dan jahitan untuk menambahkan skil mereka. 

Interior Decorators juga tidak terbabit dalam renovations atau ubahsuai ruang atau structural planning atau perancangan struktur dalam ruang bangunan. Selalunya Interior Decorators hanya boleh mula *bekerja* setelah semua kerja Interior Designer dah habis dan mereka akan mula melakukan dekorasi demi mencantikkan ruang tersebut.



Kelayakan


Di sesetengah negara, golongan professional perlu lulus dalam peperiksaan dan berdaftar dengan persatuan atau pertubuhan sebelum mereka layak bergelar professional. Begitu juga di Malaysia, golongan professional seperti doktor, jurutera, arkitek dan lain-lain perlu mengambil peperiksaan sebelum mendapat gelaran seperti Dr. , Ir. dan Ar. Setahu aku, Pereka Dalaman atau Interior Designer di Malaysia telah diangkat sebagai bidang professional sejak tahun 2006. 

Walau bagaimanapun, Pereka Dalaman atau Interior Designer yang ingin mendapat taraf professional kalau tak silap aku kena ada pengalaman lebih 10 tahun dan berdaftar dengan pertubuhan rasmi Interior Designer di Malaysia. Dua pertubuhan besar Pereka Dalaman tersebut ialah Malaysian Society of Interior Designers (MSID) yang telah bergabung dengan Institut Perekabentuk Dalaman Malaysia (IPDM) menjadi Malaysian Interior Industry Partners Association (MIID) atau Pertubuhan Perekabentuk Dalaman Malaysia (PPDM).

Lain halnya dengan Interior Decorators yang langsung tidak memerlukan apa-apa kelayakan atau sijil untuk menjalankan bisnes mereka. Sayangnya kebanyakan orang masih menganggap kelayakan Interior Designer adalah sama dengan Interior Decorators tanpa memahami perbezaan ketara kedua-dua bidang ini.

Skop Bidang Kerja


Skop bidang kerja antara Interior Designer dan Interior Decorator mempunyai sedikit persamaan namun skop kerja Interior Designer beribu kali lebih luas berbanding Interior Decorators. Skop kerja Interior Designer merangkumi susun atur pelan lantai yang membantu mereka bentuk dan mengubahsuai ruang dalaman bangunan. Bermula daripada merangka pelan lantai hinggalah meletakkan susun atur bahan-bahan untuk mencantikkan ruang semuanya dilakukan oleh Interior Designer . Di sini boleh dilihat bahawa kerja Interior Designer  bukan hanya mencantikkan sesebuah ruang itu malah mereka juga menjadikan sesebuah ruang itu berfungsi dengan baik.