FARAH AFEEFA
“Ada rasa aneh yang datang. Ada hati irama berdendang. Suka.”
Aku dan Kak Nani sedang elok mengambil lauk di sebuah gerai makanan berhampiran pejabat kami. Sebaik menghampiri kaunter untuk membayar harga makanan, seseorang menyapa Kak Nani dari belakang.
“Muaz!” Ujar kak Nani dengan nada gembira. “ Apa hang buat kat sini?”
“Beli basikal.” Muaz berjenaka. “Dak eh, beli makananlah tadi. Boleh terserempak Nani kat sini.” Terlontar sedikit loghat utara daripada Muaz.
Aku yang terkesima apabila melihatnya hanya diam. Tak dapat digambarkan betapa hati ini berdegup lain macam ketika itu. Muaz pula pandai bermain mata. Hanya sejenak dia menoleh ke arahku, selebihnya lebih tertumpu ke arah Kak Nani yang leka bertanya macam-macam kepadanya.
“Lama eh dak jumpa hang. Apa cerita?” Kak Nani menyoal sambil bergerak ke meja makan.
“Biasa ja Nani. Hang kerja mana? Aku kebetulan ja lalu sini. Ada appoinment dengan client kat bangunan tu. “ Ulas Muaz. Jari telunjuknya menunjukkan arah bangunan yang dia sebutkan.
“Oh, jumpa client! Aku pun kerja kat bangunan tu juga. Advertising company. Hang dah makan ka? Kalau belum, join kami.” Bersungguh Kak Nani mengajak. “Ni Farah, kawan aku.”
Aku dan Muaz saling mengangguk sesama kami. Entah kenapa dua-dua tak mahu memberitahu Kak Nani bahawa kami kenal antara satu sama lain.
Mereka kembali berbual-bual kosong dengan loghat utara yang menunjukkan mereka sebenarnya sudah kenal lama. Selang beberapa minit kemudian, Muaz meminta diri dan beredar dari situ.
Kami mula menikmati makanan selepas terbantut akibat kedatangan Muaz tadi. Aku menyuap nasi berlauk ikan keli masak sambal dan sayur kangkung tumis. Tindakanku tak sama dengan riak hatiku yang sebenarnya. Melihat muka Muaz tadi membuatkan aku jadi tak senang duduk.
“Muaz tu ex-schoolmate Kak Nani. Best student tu!”
Tanpa dipinta Kak Nani becok bercerita. Kak Nani ni macam tahu-tahu aku sedang terfikirkan Muaz. Mulalah ditambah hal peribadi Muaz yang tak pernah aku bongkar.
“Dia tu pemuda harapan kampung dia. Walaupun kampung di Perak, tapi sekolah di Kedah. Sebab tu ada loghat utara tu. Lepas tu, setahu Kak Nani, dialah orang pertama dari kampung dia yang belajar hingga ke luar negara.” Kak Nani masih mahu menambah puji untuk Muaz. “Dia tu baik orangnya. Tapi pelik, sampai sekarang belum berpunya.” Ujar Kak Nani lalu minum milo ais. Mungkin kering tekaknya bila bercerita panjang.
“Kak Nani tak nak try mengorat dia ke?” Acahku, bergurau. “Tadi tengok mata Kak Nani bersinar lain macam bila nampak dia.” Aku ketawa kecil.
Kak Nani turut bantai ketawa. “Bukan Akak tak nak. Muaz tu hensem sangatlah Farah. Tak sesuai dengan Kak Nani yang montel ni.”
Itulah Kak Nani yang aku kenal. Suka menggelar dirinya montel. Padahal montelnya bukan membuatkan dia kurang cantik, malah bertambah comel.
Comel. Bila teringat perkataan itu, kepala langsung teringat Muaz. Muaz yang ‘comel’. Aku tersenyum seorang diri.
Malam itu aku tinggal seorang di rumah. Dua orang teman serumahku keluar dating dengan teman lelaki masing-masing. Maka tinggallah aku yang ‘single’ ini seorang diri. Elok juga Lina yang kecoh tiada dan Timah yang ‘hantu’ tengok TV keluar pada masa yang sama. Boleh aku duduk aman di rumah ini buat seketika. Lagipun malam ini ada banyak cerita best di TV.
Sempat aku membancuh teh panas untuk digabungkan dengan biskut cream crackers bergula. Gabungan ‘ideal’ itu boleh dikunyah sambil menonton TV. Wah, sungguh bahagia aku pada malam ini seorang diri!
Kebahagiaan yang kusangka bertahan lama, tiba-tiba diganggu dek bunyi telefon yang kuletak jauh dari tempat aku duduk. Dengan malas, aku pergi juga ke meja kayu tepi pintu untuk mengambil telefon bimbitku.
Nombor yang tidak kukenali masuk. Nombor rumah atau pejabat. Bank manalah pula yang telefon aku malam-malam ni? Aku rasa duit kereta aku dah lunaskan. Erm…
“Hello, assalammualaikum. Boleh saya bercakap dengan ‘Puan’ Farah Afeefa?”
“Waalaikumsalam. Yes, Farah’s speaking. Siapa ni?”
“You dah kahwin ke Farah? Betul you dah jadi ‘Puan’? Hancurlah harapan I…”
“What?” Aku terkejut dengan kenyataan tersebut sehingga frekuensi suaraku naik sedikit.
Ada bunyi ketawa lahir dari celah corong telefon. Nada tawa tersebut mengingatkan aku kepada seseorang. Lalu, hati ini berdendang lagi. Lagu yang aneh. Bukan lagu rock, jazz ataupun hip hop. Tapi lagu lain.
“Farah, I ni Muaz. Sorry to disturb you. You jangan marah okay. I sengaja nak bergurau dengan you.” Muaz bersuara normal. Mungkin dia takut aku marah atas kata-katanya sebentar tadi.
“Oh, you Muaz! I ingatkan siapalah.” Aku buat-buat tak tahu. Walhal ketawanya kini sudah sinonim untuk aku cam bunyinya. “Anyway, you dapat nombor I daripada siapa?” Janganlah Asyraf! Pintaku dalam hati.
“I dapat daripada Nani. Sorry tau Farah. You jangan marah Nani pula. I yang merayu untuk dapatkan nombor you daripadanya. Sejak I nampak you siang tadi, hati I tak boleh terima kenyataan yang I masih belum dapat nombor telefon you.”
Apa yang Muaz ungkapkan, sememangnya boleh membuatkan hatiku cair. Tapi hati perempuanku juga perlu bijak menilai sama ada kata-kata yang diluahkannya itu ikhlas atau tidak. Aku tak mahu cepat percaya. Itu prinsipku.
“Jadi sekarang you dah dapat nombor I, you puas hati ke? Satu lagi, kenapa pakai nompor telefon rumah?”
“This is my office number. Actually I’m still at the office. Ada banyak kerja nak diselesaikan. Tapi I memang puas hati dapat nombor telefon you. Lepas ni, bolehlah I kacau-kacau you.” Muaz mengusik aku lagi.
“Nombor handphone you berapa?”
“Nanti I email you.”
Bijak Muaz memutar belit permintaanku. Dah dapat nombor telefon, mahu email pula. “Nak email I pulalah tu. You nak buat apa dengan email I? Nak forward gambar-gambar you ke?”
Muaz menjawab sambil ketawa. “Haha. Kalau you nak gambar-gambar I, I memang akan bagi. You ni macam tahu-tahu niat I memang nak bagi you gambar I. Saja bagi you tengok, nak ubat rindu you kepada I!”
“Thanks a lot Muaz! I pun tak ingin sangatlah nombor you. Sebab I pun boleh minta daripada Kak Nani!”
“Eh, you sebut ‘Kak Nani’, how old are you actually?” Tanya Muaz, kaget.
“27, you?” Soalku kembali.
“29, I sebaya Nani.”
Bermula daripada situ, kami mula menyoal sesama sendiri, pelbagai soalan peribadi. Aku sungguh senang dan gembira bila dapat berbual dengan Muaz, mengetahui secara mendalam latar belakangnya termasuk keluarga dan kerjaya sebenar Muaz. Pada detik itu aku langsung tidak peduli dia adalah sepupu kepada Asyraf. Aku cuma ingin berbual dengannya, berkongsi cerita dan mendengar suaranya.
Kerana terlalu leka berbual dengan Muaz, air teh yang kubancuh sudah hilang haba. Biskut cream crakers di dalam balang sikitpun tak kusentuh. Malah TV yang terpasang menyiarkan cerita yang best, langsung tak kulayan jalan ceritanya.
Semuanya akibat penangan lelaki bernama Muaz Hakimi Bin Husin. Itu nama penuhnya. Baru aku tahu.