Saturday, November 13, 2010

Kekurangan itu Kelebihan kita




Seseorang pernah berkata kepadaku:

"Kekurangan saya kadangkala adalah kelebihan saya."

Kerana kata-katanya itu, hingga kini, aku menerimanya seadanya.

Kerana kita kena sendiri sedar akan kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri sendiri. Aku tak secantik orang lain sampai setiap kali orang asyik nak ambil gambar aku atau bila orang lain pandang dia jalan sampai tergolek tersepak batu. Aku juga tak terlalu bijak hingga dapat belajar di luar negara ditaja dengan biasiswa (Sampai sekarang hutang PTPTN tak settle.)  Tambahan, aku juga tak punya harta yang banyak, sebab mak ayah aku bukan orang bisnes berjuta-juta.

Kerana kekurangan yang kita ada, tanpa kita sedar, kita akan selalu mengeluh, rendah diri, sedih dan malu untuk berhadapan dengan orang yang lebih sikit daripada kita. Kita jadi takut untuk mencabar diri kita untuk menunjukkan siapa diri kita, apa kemampuan yang kita ada, malah kita langsung tak mahu berusaha menjadi lebih baik daripada diri kita sekarang.

Aku ambil satu kisah yang berkaitan dengan seseorang yang sangat rapat denganku. Ceritanya, dia ada seorang makcik yang pekak. Makciknya ini memang pekak dan tak boleh mendengar, maka dia juga bisu sejak daripada lahir. Oleh kerana dia tinggal dengan keluarga yang kurang berkemampuan, dia langsung tak pernah bersekolah lantas langsung tidak tahu berbahasa isyarat, apatah lagi membaca dan menulis. Jadi untuk berkomunikasi dengannya, kita kena tunjuk dengan perbuatan supaya dia faham apa yang kita nak beritahu kepadanya.





Contohnya untuk makan, kena buat aksi menyuap makanan ke mulut. Nak beritahu warna, tunjuk kepada baju atau apa-apa warna yang ada di sekeliling kita. Hakikatnya aku sendiri kurang arif macam mana payahnya untuk berkomunikasi dengan orang yang pekak dan bisu yang langsung tidak tahu bahasa isyarat sebab aku sendiri tak pernah belajar cara-caranya. Tapi aku dapat rasakan, mesti payah untuk orang lain berkomunikasi begitu dan orang-orang tersebut mesti ada kesabaran dalam melayan dia yang langsung tak mampu bercakap dan mendengar.

Nak dijadikan cerita, suatu hari, makciknya jatuh hati kepada seseorang. Aku tak pasti macam mana temanku ini tahu apa yang hendak disampaikan oleh makciknya itu. Tapi mungkin sebagai anak saudara yang sudah lama tinggal dan hidup dengan makciknya, dia dapat menangkap apa yang makciknya cuba untuk sampaikan.

Pada ketika itu, cubalah anda bayangkan, bagaimana seorang yang bisu dan pekak, hendak menyampaikan isi hatinya yang tiada siapa pernah dengar, tahu dan mengerti kecuali Allah s.w.t. Dia menjerit-jerit ingin memberitahu perasaannya, tapi malangnya dia tak tahu bagaimana caranya. Dia menangis-nangis kerana perasaannya itu, tak dapat dizahirkan dengan kata-kata. Manakala anak saudaranya yang pada ketika itu masih ‘bawah umur’ juga juga tak tahu macam mana nak bantu makciknya ketika itu.





Dengan menggunakan ‘ilmu’ budak sekolah rendah, anak saudaranya itu hanya mampu menolong menulis surat cinta untuk membantu makciknya. Dalam usia yang masih muda, apalah sangat ayat-ayat cinta yang dapat dikarangkan di dalam surat itu. Itu belum fikir bahagian ‘tulisan’ kanak-kanak lagi. Adakah dengan cara tersebut, isi hati makciknya itu dapat diertikan kepada si dia yang dia suka?

Bila mendengar kisah duka ini, kami langsung menangis bersama-sama. Kami menangis, kerana kami boleh berkata-kata, kami boleh luahkan apa yang kami rasa malah kami boleh dengar luahan rasa antara kami. Berbanding dengan makciknya yang serba kekurangan. Nak luah isi hati, tapi tiada siapa yang mampu dengar dan fahami.

Lebih sedih, kata doktor beberapa bulan yang lalu, sebelah matanya sudah buta kerana diselaput benda. Sedihnya dia pekak dan bisu, tak mampu memberitahu orang lain yang dia tak nampak sebelah mata. Kalau kita yang mata masuk habuk ni, habis satu rumah tahu! Siap ramai yang tolong tiupkan. Tapi dia…

Kekurangan yang dia miliki tak membuatkan dia sekali pun mahu mengalah dalam hidup. Dia masih meneruskan rutinnya, tinggal di rumah sambil menjaga neneknya yang sudah tua. Dia pandai menguruskan rumah. Pandai mengemas, memasak dan semua yang dilakukannya teratur. Ternyata, di sebalik kekurangan yang dia ada, dia juga punya kelebihan tersendiri yang mungkin tak semua orang yang ‘sempurna’ ada, betul tak?

Untungnya dia yang pekak dan bisu juga, tak dia dengar hal-hal fitnah di sekeliling. Tak juga turut serta dalam ‘mesyuarat tingkap’ atau gosip antara kita. Malah dia juga dijauhkan daripada berkata nista dan yang sia-sia. Tapi kita yang sempurna dan boleh berkata-kata dan mendengar inilah yang menggunakan kelebihan berkata-kata dan mendengar ini untuk benda yang boleh menambah dosa.

Pernah tak terfikir, kadang-kadang mesti ada juga orang yang cemburu dengan kekurangan yang kita ada. Contohnya kita punya suara yang kuat bila bercakap. Itu mungkin kekurangan bagi sesetengah orang yang malu sebab apa kita nak cakap, satu Malaysia dengar. Tapi kelebihannya, kita dapat sampaikan apa yang kita nak cakap dengan jelas dan dapat didengari oleh semua. Bila kita tak cantik pada luaran, hakikatnya Allah s.w.t telah sorokkan bahagian yang cantik itu di sebalik diri kita dan hanya orang yang ‘tertentu’ atau istimewa saja yang boleh lihat. Untung tak?





Jadi dah nampakkan kenapa kita perlu bersyukur dengan kelebihan dan kekurangan yang kita ada? Kenapa kita mesti cemburu dengan kelebihan orang lain kalau kita sendiri ada keistimewaan sendiri. Selongkar, selami dan hayati diri sendiri apa yang tersorok dalam diri, bangkit majukan diri dan jangan mengalah untuk hidup walau seinci!


"Berkemungkinan yang kamu cintai itu terselit KEBURUKAN di dalamnya dan berkemungkinan yang kamu benci itu terselit KEBAIKAN di dalamnya."



3 comments:

  1. Tuhan jadikan setiap benda berpasang. Baik dan buruk, cantik dan hodoh. walaupun bertentang makna di antara kedua-duanya, terkandung satu persamaan, iaitu entiti. Yang baik membawa kebaikan, yang buruk membawa keburukan. Yang cantik membawa kecantikan. yang hodoh membawa kehodohan. tapi yang dibawa itu hanyalah luaran sedangkan yang tersurat di dalam zarah setiap entiti itu tidak menggambarkan apa yang tersurat di bahagian luaran. Ringkas kata, baik tak semesti baik, buruk tak semesti buruk kalau ditimbang menggunakan neraca yang jujur dan ikhlas.

    ReplyDelete
  2. Benar. Neraca yang jujur & ikhlas dapat menilai *kecantikan* & *keburukan* yang tersorok di balik jiwa seseorang...Tapi tak semua punya sifat begitu sebab *pandangan pertama* dijadikan kayu pengukur untuk menilai orang, bukan hati.

    ReplyDelete
  3. ini lah yang saya maksudkan :)

    ReplyDelete

Oh,anda sangat comel bila anda tinggalkan pesanan!