Sunday, October 24, 2010

Suka N, Sayang R & Cinta M



Suka N

N ialah orang terakhir yang saya kenali antara R dan M. N orangnya manis, bersopan, kelakar dan positif dalam memberi nasihat. N tak pernah buat saya sakit hati. Kalau saya bercerita tentang N, mesti saya akan happy atau tersenyum sendiri. N banyak memberi nasihat bila saya perlukan, tak kira kisah peribadi atau hal-hal remeh di ofis atau hal-hal berkaitan komputer. saya juga senang mendengar masalah N dan akan ada untuknya bila dia perlukan pertolongan.

Saya suka N sebab dia sahabat yang baik. Saya juga suka N sebab dia selalu memberikan nasihat yang positif. N bicaranya lembut dan halus. Tak macam kebanyakan lelaki yang suka cakap kasar dengan bahasa yang mengguris jiwa. N orangnya tak suka burukkan orang lain. Kalau bercerita, N bercerita dengan teliti, satu persatu detail takkan ditinggalkan. 

N memang sangat menarik sebab N juga punya minat yang sama dengan saya. N sokong pasukan bola sepak antarabangsa yang sama dengan saya. N juga suka explore benda baru tentang komputer sama macam saya. N hebat dalam 3D modelling dan kami saling tukar pandangan tentang itu. Serius saya memang suka N. Tapi saya rasa N juga sama dengan saya. Kami suka sama suka sebagai sahabat. Apa-apa pun saya harap N berjumpa gadis yang baik suatu hari nanti. Sebab saya suka N. Hanya suka...

Sayang R

R saya kenal hampir 10 tahun lamanya. R orangnya kacak, tinggi dan diam. Tapi dengan saya bualnya tak pernah habis. Sekali saya telefon R, panggilan macam tak mahu diletakkan. Begitu juga kalau chat di YM. (Yahoo Messenger) Kami akan berbual tak kira waktu kerja atau waktu lewat malam. ada saja benda yang nak dibualkan. Tak pernah habis!

R sahabat yang baik. R akan ada bila saya perlukan dia. R akan marah kalau ada lelaki mainkan saya. R sanggup susah-payah bila saya perlukan pertolongannya. R lelaki pertama yang bersahabat dengan saya tanpa memandang rupa saya. R orangnya simple. Dia genius. Tapi malas. R adalah sahabat yang sama-sama membesar dengan saya sejak dari sekolah hingga kami sama-sama kerja.

Saya juga banyak membantu R. Memberi kata-kata semangat, memberi pendapat dan berkongsi masalah. R tempat saya luah masalah yang kadangkala saya tak mampu ceritakan kepada orang lain. R sokong saya daripada belakang. Saya banyak kali bertemu dengan R. Dia seorang lelaki yang langsung tak berkira tentang duit. Kalau keluar, antara kami tak kesah untuk belanja satu sama lain.

R punya banyak minat yang sama dengan saya. Contohnya *komputer*. R banyak tolong saya tentang hal ini. Bila ada masalah tentang komputer, saya akan terus menghubunginya. R suka bercerita tentang hal-hal semasa, politik atau peribadi dengan saya. Saya pun suka dengar dia bercerita. Kami banyak berkongsi rahsia dan rasa dan saya sangat rindu dia.

R punya teman wanita. Tapi teman wanitanya macam tak sukakan saya. Masa dia ada teman wanita, saya tak tahu nak kata saya gembira atau tidak. Mungkin ada sedikit cemburu. Sebab saya lagi lama kenal R. Kenapa R tak pilih saya? Bila dengar lagu ni, saya mesti teringat akan dia...


*WHY are We still Friends- 98 Degrees*

Tapi saya rela, asalkan R masih sahabat saya. Dia memang sahabat yang tak pernah lupa kawan. Dia memang sahabat lelaki yang paling saya sayang. Saya sayang dia... Sampai bila-bila...

Cinta M

M ialah lelaki yang menemukan saya dengan N. (Kira mereka ini kawan, tapi tak rapat.) M ialah *jodoh* saya. Jodoh yang saya minta Allah s.w.t temukan. M adalah lelaki yang banyak sikapnya berlawanan daripada saya. M senang berubah sikap sejak saya mengenalinya 3 tahun yang lepas.

M sebenarnya seorang yang positif. Kadang-kadang. M pendengar yang baik. Tapi bukan penasihat yang terbaik. Keistimewaan M ialah kesabarannya dengan sikap saya. M jarang marah. M sebenarnya seorang yang baran tapi selalu lembut hati dengan saya. Lagi-lagi bila senjata *air mata* saya terhambur kerananya. Pada saat itu juga, dia akan tewas. Haha. Padan muka.

Memang M selalu buat saya menangis. Selalu kecil hati dengan dia. Dia selalu abaikan saya bila saya perlukan dia. Selalu kot. (Tiba-tiba saya tak pasti.) M orangnya *buta IT*. Saya dah agak awal-awal saya akan dijodohkan dengan orang sebegini. Saya kadang-kadang *angin* juga bila kena ajarnya tentang IT. Tapi saya kena ingat, dia juga sabar dengan perangai mengada-ngada saya ini. Sabar ya M... Huhu.

M orang yang bertanggungjawab, matang dan kacak tapi tak tinggi. Heh. M banyak ada dengan saya tatkala saya ditimpa kesusahan walaupun dia jauh. Hari-hari berhubung dengan M. Tapi tak bosan. hari-hari kena dengar suara dia. Walaupun dia selalu buat saya marah, benci, sakit hati dan sedih, tapi M orang yang selalu buat saya gembira, senyum, ketawa dan yang paling penting, bahagia.

Saya sangat cinta M. Hati saya masih kata, M orangnya cuma jodoh kami untuk hidup bersama satu rumah belum lagi tercapai. Doakan kami!



Saya SUKA N, SAYANG R dan CINTA M. 

Mereka adalah 3 orang lelaki yang berlainan karektor, peribadi dan matlamat hidup. Mereka bertiga antara lelaki yang pernah hadir dalam hidup saya. Saya hargai kehadiran mereka. Allah s.w.t. yang temukan saya dengan mereka.

Secara jujur, saya anggap N adalah pengganti kepada R yang telah pergi menemui Ilahi beberapa bulan yang lepas. Baca ini. Saya masih merindui R. Hari-hari saya rindu dia dan kadang-kadang saya akan menangis bila terkenangkan dia. Saya sedih kerana saya kehilangannya terlalu awal. Apa-apa pun, Al-fatihah buat Ruzaini Azrin.

Tapi baru-baru ni saya senang dengan kehadiran N. Walaupun sudah hampir 3 tahun juga saya kenal N, tapi saya mulai sedar, N juga sahabat yang baik seperti R. Saya bersyukur sangat Allah mengurniakan saya sahabat seperti N.

M pula, walaupun dia sentiasa ada dengan saya, saya sedar manusia seperti saya masih perlukan sahabat lain seperti R dan N. M sentiasa memahami saya. Sebab tu antara mereka bertiga bagi saya, saya memang paling sayang M. M yang penyabar, M yang mendengar, M yang setia (kot) dan M yang melengkapi hidup saya.  

Alhamdulillah. Syukur kepadamu Ya Allah. Terima kasih kerana mempertemukan aku dengan mereka. 

SAYA SUKA N
SAYA SAYANG R
SAYA CINTA M

TAPI CINTA TERAGUNG SAYA MASIH DIA, ALLAH S.W.T.♥



Saturday, October 23, 2010

Antara DUIT & REZEKI

Pukul 8.30 malam. Hari Sabtu. Saya masih di Office saya. Di Cheras. Bawah ada kedai mamak. Tadi dah pesan roti kosong dan teh ais. Sebab dia hantar atas, aku belanja dia duit baki. (70 sen je pun. Haha)

Apa aku buat kat opis ni? Macam biasa, padah orang yang suka buat kerja *last minute*. Takpelah, lagipun esok cuti kan. Heh. Esok target aku, nak buat sesuatu yang aku tak tahu mampu ke tak. Sebab target aku minggu ni nak buat apa yang tertangguh, kebanyakannya tak berjaya *settle* dengan *smooth*. Aku cuma berserah, semoga Allah bantu aku Isnin ni. Amin~

Sesungguhnya, hidup ni bukan semudah yang kita rancang. Aku rasa semua orang rasa benda ni. Ujian tu takkan pernah tamat. Walau di kehidupan yang *satu lagi* tu pun, kita masih akan diberi ujian terutama bila kita kena hukum masuk neraka, betul tak? Apa-apa pun, mari sama-sama berdoa, semoga Allah melindungi kita daripada api nerakaNYA dan meletakkan kita di kalangan orang-orang yang beriman, yang mengaku bahawa DIA satu-satunya Tuhan kita dan Rasulullah s.a.w. itu pesuruhNYA.

Aku sedar aku tak baik. Serius, memang sangat banyak dosa aku. Hanya Allah yang Maha Mengetahui semuanya. Tapi DIA sangat baik bila DIA bagi aku peluang untuk hidup, masih ada family, masih ada kawan-kawan, masih ada kerja dan yang paling penting, masih diberikan rezeki olehNYA.

Sebab tu aku selalu berpegang kepada prinsip, "Kalau fikir DUIT kita akan SERABUT, tapi kalau kita fikir REZEKI, Insya-Allah kita akan BERSYUKUR. Perkataan *duit* tu aku memang sedaya-upaya elak daripada sebut selalu. Sebab kalau fikir duit, mesti aku sedih dan kecewa. Aku sangat perlukan duit untuk kahwin, perlu duit untuk bayar hutang dan perlu duit untuk capai semua impian aku.



Kalaulah duit itu boleh *turun dari langit* macam hujan yang turun menghentam lantai bumi, memang aku tadah setiap butir syiling yang jatuh. Tapi apakan daya, duit itu akan ada kalau kita ada *usaha* untuk dapatkannya, sama ada dengan cara yang baik atau tak baik, betul tak? Duit tu kalau ada, berjuta-juta pun tak tentu cukup. Aku tengok bos aku yang bisnes hari-hari jalan pun, pening kepala bila akhir bulan kena bayar gaji kami. Haha. (Saja jahat gelakkan bos.)

Lagi satu, apa guna gaji kau banyak tapi hutang masih banyak? Apa guna juga duit yang banyak kalau duit itu tak digunakan untuk kebaikan? Apa guna duit yang banyak kalau kita langsung susah nak bersedekah walau kepada ibu bapa atau keluarga kita sendiri? Part ni kita kena *alert* la. Bulan-bulan leh je *shopping* beli barang mahal-mahal. Makan kat Subway, Starbucks, Secret Recipe, etc, tapi RM50 pun susah nak hulur kat keluarga. Adeh.

Aku mengaku, aku memang cemburu dengan orang kaya. Siapa tak cemburu tengok orang nak buat *majlis* senang je. Mak ayah boleh tanggung setengah daripada budjet. Pastu dah kahwin boleh hidup bahagia dengan suami, mak ayah tak *claim* balik hutang kahwin tu. Oh, bahagia sungguh siapa yang diberi rezeki begitu! Jadi semua ini REZEKI ya Cik Ezdiani. (Ketuk kepala sendiri supaya sedar diri!)



REZEKI itu datang daripada Allah s.w.t.. Bukan daripada manusia yang kaya-raya. Bukan juga daripada pemimpin negara yang sibuk nak bina bangunan tinggi sampai 5 Billion! Bukan juga daripada bos yang suka nak *pow* belanja fast food! (Haha. Ye ke?)

Allah s.w.t. beri kita rezeki supaya kita BERSYUKUR dengan apa yang DIA bagi. Setiap orang Allah dah tulis berapa banyak rezeki yang DIA akan bagi. Kalau kita usaha dan doa betul-betul, Insya-Allah DIA akan bantu kita dapat rezeki yang baik. 

Aku ada beberapa amalan yang aku rasa nak kongsi juga dengan korang macam mana nak dimurahkan Rezeki. Apa yang kita lakukan ni pun usaha gak. Jadi tak salah kalau kita buat dengan niat yang baik, insya-Allah.

Antara amalan-amalan yang aku selalu buat ialah membaca Surah Al-Waqiah pada waktu malam. 

Sabda Rasulullah s.a.w. : “Barang siapa yang membaca surah Al-Waqi’ah setiap malam maka dia tidak akan tertimpa kefakiran dan kemiskinan selamanya. Dan surah Al-Waqi’ah adalah surah kekayaan, maka bacalah ia dan ajarkan kepada anak-anakmu semua.”

Satu lagi aku selalu amalkan baca Ayat 1000 Dinar. Aku rasa ramai orang tahu ni. Tapi tak salah kalau kita baca sebagai usaha kita untuk memperoleh rezeki daripada DIA kan?


Maksudnya: “Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (ath-Thalaq, 65: 2-3)

Bila dibaca setiap doa itu, kita patut YAKIN dengan apa yang kita baca itu. Kena yakin, yang akan makbulkan permintaan kita itu ialah Allah s.w.t., bukan orang lain. Kalau DIA lambat beri kita rezeki tu, kita kena sabar. Mungkin DIA masih nak uji kita tapi bila tiba saat rezeki itu dia kabulkan, masa tu barulah kita nampak betapa besarnya kuasa Allah s.w.t itu. Percayalah cakap aku k.

Jadi janganlah kusut, merungut, serabut, bersedih atau bermuram durja jika kita tiada duit. (Pesanan untuk diri sendiri juga!) Sedarlah Allah itu ialah Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani hambaNYA, iaitu aku, kau dan anda semua. Semoga Allah s.w.t. murahkan rezeki semua orang yang membaca blog aku selama ini. Amin~