ADELIA
“Bila berlima. Jadi ceria.”
Aku begitu teruja apabila Kak Nani mengajak aku datang makan malam di rumahnya malam ini. Tambahan apabila diberitahu bahawa makan malam yang dirancang bersempena dia dinaikkan pangkat sebagai Ketua Bahagian itu turut dihadiri oleh beberapa teman sekerja kami yang lain.
Sebenarnya, apa yang membuatkan aku gembira adalah kerana belum pun sebulan aku bekerja di syarikat pengiklanan Colour Advertising, aku sudah mula diterima oleh mereka. Semestinya peluang untuk merapatkan lagi hubungan aku dengan teman-teman baruku itu, tak mungkin aku sia-siakan. Aku mahu menjadi seseorang yang senang didekati dan mudah bergaul dengan semua orang, memandangkan aku tidak punya ramai kawan sebelum ini.
Hari itu hari Jumaat. Usai pulang dari ofis, aku pulang ke rumah dahulu untuk mandi dan bertukar pakaian. Walaupun cuma makan malam biasa, aku tak betah kalau datang ke rumah orang dalam keadaan berpeluh dan tidak mandi! Aduh, cerewet betul aku ni!
Jamuan makan di rumah Kak Nani akan bermula pada pukul 9 malam. Lantas aku bersolat Maghrib dan Isya’ dahulu sebelum keluar dari rumah. Aku bajet masa perjalanan dalam 20 minit sebelum aku boleh sampai ke rumah Kak Nani yang tinggal tidak berapa jauh dari rumahku ini.
Baru aku hendak keluar rumah, tiba-tiba telefonku berbunyi. Siapa pula ni? Apabila melihat imej dan nama si pemanggil, aku tersenyum sendiri.
“Hai, baru satu malam tak jumpa dah rindu?” Usikku kepadanya.
Azam tergelak kecil. “Bukan rindu. Tapi risaukan awak nak memandu malam-malam macam ni, kan bahaya? Sepatutnya…”
Belum sempat dia menghabiskan ayatnya, aku lekas memotong, “Azam, saya dah banyak kali kata, saya tak suka awak selalu hantar saya ke mana-mana. Saya reti drive, saya boleh pergi sendiri!”
“Kalau tempat yang awak biasa pergi, it’s okay my dear. Tapi kalau tempat yang awak tak pernah pergi, entah lorong mana awak akan masuk. Selepas tu mulalah call saya, tanya awak kat ‘negara’ mana sekarang.” Tambah Azam bersama kisah lama yang sengaja diungkit untuk terus memerli aku.
Aku mengaku bahawa aku memang selalu tersesat jalan. Lagi-lagi sewaktu melalui kawasan perumahan. Acapkali terlalu banyak lorong yang aku kerap tersalah masuk dan akhirnya aku akan menelefon Azam untuk membuka ‘Google Maps’ untuk mencari jalan keluar. Kasihan Azam, selalu jadi mangsa!
“Okaylah Azam, saya nak keluar dah ni. Doakanlah saya tak sesat ya. Saya dah buka Google Maps dah siang tadi. Siap print lagi.” Aku masih cuba menyakinkan Azam yang kedengaran masih risaukan aku.
“Baiklah, jangan balik lewat sangat sayang. Sampai rumah, message.” Pesan Azam sebelum mengakhiri perbualan.
Aku mula bergerak keluar menuju ke kereta selepas mengunci pintu rumah. Jam sudah pukul 8.45 malam. Alamak, lima minit telah dibazirkan kerana berbual dengan Azam tadi! Benci betul. Rungutku sambil dalam hati berdoa, janganlah aku tersesat jalan malam ni!
Aku memandu dengan cermat menuju ke rumah Kak Nani. Di kepala aku asyik mengingati tanda petunjuk jalan yang aku hafal daripada Google Maps siang tadi. “Okay. Sekolah. Lepas tu jumpa bangunan pejabat. Lepas tu…”
Aku bercakap-cakap seorang diri semasa memandu sehinggalah aku jumpa Kondominium Melewar yang terletak di tepi bukit, tempat tinggal Kak Nani. Yes! Akhirnya aku berjaya juga sampai di situ sebelum pukul 9 malam! Paling aku excited sebab aku berjaya memandu tanpa tersesat jalan.
Sempat aku menghantar SMS kepada Azam.
“Saya dah sampai. Tak sesat. J”
Selang beberapa minit kemudian dia membalas.
“Alhamdulillah. Jangan lupa jalan pulang ke rumah. :P“
Giliran aku pula yang tergelak bila membaca pesanan ringkasnya. Azam memang begitu. Kuat mengusik. Tapi aku tak mudah berasa hati kerana selama berpuluh tahun kami berkawan, aku sudah terlalu kenal akan sikapnya yang satu itu. Sabar sahajalah.
Kak Nani tinggal di tingkat dua, Blok A. Jadi aku hanya menaiki tangga ke rumahnya. Tak salah sekali-sekala naik tangga, boleh exercise kan?
Exercise lah sangat! Sampai depan pintu rumah Kak Nani, nafasku sudah terhencut-hencut. Terpaksa aku tarik nafas panjang sebelum memberi salam. (Nampak sangat dah lama tak bersenam. Baru naik tangga sikit dah semput!)
Kak Nani membuka pintu rumah dengan muka yang diukir senyum gembira. “Wah, sampai juga Adelia ke rumah Kak Nani! Jemput masuk.”
Aku membalas senyum Kak Nani sambil menghulurkan sebuah bungkusan kepadanya. “Minta maaf Kak Nani, saya terlewat sikit.” Ujarku sekadar berbasa-basi. Sebenarnya bukan lewat sangat. Sekarang baru pukul 9.05 malam. 5 minit lewat, apalah sangat.
“Takpe. Farah dan Balqis dah ada di dalam tu. Terima kasih bagi hadiah ni. Susah-susah saja Lia ni.” Kak Nani menyentuh bahuku dan mengiringiku sehingga ke ruang tamu. Kelihatan Farah dan Balqis sedang berbual-bual dan berhenti bercakap sebaik melihat aku datang.
Aku melangkah perlahan menuruti Kak Nani menuju ke ruang tamu rumahnya itu. Walaupun tinggal seorang diri, rumah Kak Nani yang masih bujang itu kelihatan begitu tersusun dengan perabot moden yang kebanyakannya bertona putih gading. Ciri-ciri minimalis jelas kelihatan di ruang tamu namun apabila aku tertoleh sekilas ke ruang dapur, warna cat bertukar ceria menjadi warna kuning raja. Kak Nani juga menyerapkan warna ceria iaitu jingga di salah satu dinding di ruang makan yang setahu aku, boleh menambah selera sewaktu makan. Kukira Kak Nani mesti telah mengkaji efek setiap warna sebelum mengaplikasikannya ke setiap ruang kediamannya. Ruang kondominium yang tidak begitu besar boleh jadi cantik kalau tuan rumah bijak memilih warna.
“Lia, baru sampai!’ Farah bangun dan bersalaman denganku, diikuti Balqis selepas itu. Aku membalas huluran tangan mereka.
“Ingatkan Lia tak datang,” ujar Balqis sambil duduk kembali. Dia yang kini mengandung tujuh bulan memang tak boleh berdiri lama-lama. Cepat letih katanya. “Rugi kalau Lia tak datang. Sebab malam ni, ‘Chef Nani’ kita masak macam-macam makanan yang sedap. Ala Western katanya!”
“Ha, bergosip pasal akulah tu!” Kak Nani muncul dari dapur sambil membawa dulang berisi jag dan air minuman untuk kami.
“Aku tak bergosiplah! Cuma puji masakan kau. Tadi sempat aku cuit sikit kek coklat kau. Sedap!” Balqis mengenyit mata, nakal. Walaupun sedang berbadan dua, sifatnya yang suka berjenaka tak pernah berkurang.
Kak Nani bercekak pinggang, pura-pura marah Balqis kerana merasa kek coklat istimewa yang dibuatnya itu. “Oi, orang lain pun lapar juga! Kau cuit dulu kek aku tu kenapa? Anak kat dalam tu lapar ke, maknya yang lapar?”
“Anak kat dalam ni, pantang nampak coklat.”
“Dalam perut, nampak coklat?” Farah buat muka hairan bila mendengar alasan Balqis itu.
Balqis tarik muka. “Iyalah, maknya yang lapar. Dah setengah jam aku duduk rumah kau ni, dari tadi kau hidang air je?” Dia memandang Kak Nani, merayu simpati sambil tangannya mengusap-usap perut. “Kat rumah tadi, aku sempat kunyah keropok je Nani.”
Mendengar rungutan Balqis itu, Kak Nani lekas menjemput kami ke meja makan. “Sebenarnya aku ingat nak tunggu Mimi dulu. Tapi dia lambat pula. Takpelah, kita makan dulu.”
Aku tak sangka Kak Nani turut mengundang Mimi, seorang lagi teman sepejabat kami ke rumahnya. Mimi yang aku kenal agak dingin dengan teman-teman yang lain. Dia gemar bersendiri dan kurang mesra denganku walaupun kami hanya duduk selang semeja.
“Daripada kau jemput dia datang, baik kau ajak Saiful, office boy kita tu. Beria dia nak join, tapi kau kata, untuk wanita-wanita saja malam ni. Kesian dia!” Omel Balqis sambil mula menuang kuah spagetti yang masih berwap ke dalam pinggan. Dia nampak begitu berselera untuk makan. Mungkin anak di dalam kandungannya sudah ‘nampak’ spagetti yang begitu menyelerakan itu.
“Aku bukan tak nak ajak budak-budak lelaki ofis kita. Tapi aku ni kan masih single. Tak seronok kalau jiran-jiran nampak aku ajak lelaki beramai-ramai ke rumah aku ni.” Kak Nani mengulas sebab-musabab dia tidak menjemput teman sekerja lelaki datang ke rumahnya malam itu.
Aku mengangguk, faham. Sebenarnya aku sendiri pada awalnya hairan, kenapa mereka semua tidak bertudung pada malam itu. Rupa-rupanya jamuan itu hanya untuk kaum perempuan. Walau bagaimanapun tudung di kepalaku masih belum tertanggal. Tak sedap pula hendak buka tudung tiba-tiba begini. Lalu aku terus memperagakan fesyen ‘muslimah’ iaitu bertudung warna monokromatik yang disesuaikan dengan blaus hitam dan skirt kelabu labuh.
Tiba-tiba loceng rumah berbunyi. Kak Nani lekas meluru ke pintu. Semua sudah maklum siapa tetamu yang baru tiba lantas kami meneruskan sesi menjamu selera yang baru bermula.
Mimi masuk dan tersenyum ke arah kami dengan ucapan minta maaf tak sudah-sudah kepada tuan rumah. Aku rasa itulah kali pertama aku lihat dia tersenyum sepanjang tempoh kami bekerja di pejabat yang sama. Terasa diriku bersalah kerana terlalu mudah berperasangka buruk terhadap orang lain. Ish, tak baik betul aku ni!
“Lia tadi datang dengan siapa? Boyfriend hantar ke?” Tanya Farah tiba-tiba tatkala aku baru meneguk air limau ais dari gelas. Farah memang tahu tentang hubungan aku dengan Azam kerana sudah beberapa kali dia nampak Azam menjemputku pulang dari tempat kerja.
Aku geleng. “Eh, takdelah. Lia datang sendiri tadi. Farah pula datang dengan siapa?”
“Farah datang sendiri juga. Tunang Farah ada hal malam ni.” Balas Farah lalu gilirannya pula meneguk air dari cawan.
“Eh, Farah! Kau cakap pasal tunang kau tu, dia jadi tak ikut kau jumpa Wedding Planner yang aku cadangkan tu?” Balqis menyampuk tiba-tiba.
Farah jungkit bahu. Tangannya menguis-nguis bebola daging di dalam pinggan sebelum menjawab. “Entahlah Qis, dia asyik sibuk je. Aku ajak dia survey barang-barang hantaran pun dia takde masa. Tengoklah, bila tarikh dah nak dekat nanti, barulah cemas!”
Mimi yang sejak tadi diam tiba-tiba bersuara. “Farah nak kahwin bila?”
“Hujung tahun ni, insya-Allah. Kalau memang dia jodohnya…” Farah tunduk apabila mengungkapkan ayat terakhirnya itu.
Kak Nani muncul lalu duduk di sebelah Farah. “Aduhai Cik Farah, kenapa cakap begitu? Dah memang tertulis jodoh kamu dengan Muaz, takkan ke mana punya.” Lekas tangannya memukul peha Farah. “Lagipun, penat tau Kak Nani jadi ‘match maker’ kamu berdua! Kalau tak kahwin, siaplah Muaz tu aku ganyang!”
Kami semua ketawa bila melihat aksi Kak Nani mencantumkan buku lima dengan tapak tangannya yang satu lagi. Garang betul!
“Hai, kau ke ‘match maker’ mereka, Nani? Tak tahu pula aku?” Balqis bersuara tidak puas hati. Dia ingat dia tahu banyak benda, tapi rupa-rupanya masih ada rahsia yang terlepas untuk dihidu.
Kak Nani ketawa bila mendengar kata-kata Balqis itu. “Kalau korang nak tahu cerita sebenar, kenalah tanya tuan punya badan. Aku cuma membantu, mencantumkan dua hati, menjadi satu!”
Farah jadi tersipu-sipu bila diusik begitu. Setelah dipujuk berkali-kali, barulah dia sudi membuka mulut, membuka lembaran kisah cinta antara Farah Afeefa dengan Muaz Hakimi.
kak ezd, this is superb! u are so talented tau..wah publish la novel ni kang ble da siap..best2..best sgt cara penulisan kak ezd ni..
ReplyDelete