FARAH AFEEFA
“Cinta itu buta. Tapi hati tidak.”
Aku jadi cemas apabila mak di kampung beria mahu menjodohkan aku dengan Asyraf, abang musuh ketatku di zaman sekolah, Asiah. Semasa di sekolah dulu aku dengan Asiah selalu bertekak di Mesyuarat Pengawas, membahaskan isu-isu yang berbangkit dan sengaja diungkit lalu menyebabkan kami tak pernah sebulu.
Pernah satu masa aku mempertikaikan kenapa ada segelintir pengawas sekolah yang dibenarkan untuk keluar awal pada waktu rehat sedangkan ketika itu, mereka tidak bertugas. Asiah dengan lantang menjawab pertikaian aku itu dengan mempertahankan kawan-kawan dan dirinya yang keluar awal disebabkan mereka perlu mengawal kawasan kantin yang sesak pada waktu rehat. Tapi aku tetap dengan prinsipku. Tak suka mereka menggunakan jawatan yang mereka ada untuk kepentingan diri sendiri. Jadi aku dan Asiah terus bertelagah dalam mesyuarat tersebut sehinggalah dileraikan oleh Ketua Pengawas Sekolah.
Satu sekolah anggap kami adalah ‘lagenda’ musuh ketat di sekolah itu disebabkan kami berada di dua puak yang berbeza. Tambahan Asiah merupakan anak Ketua kampung Parit Lima, manakala aku merupakan cucu Ketua Kampung Parit Dua. Hubungan tidak sebulu kami berdua hampir diketahui satu kampung tetapi apabila aku berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti, kisah tersebut dilupakan begitu sahaja.
Jadi bila usul Mak untuk menjodohkan aku dengan Asyraf, yang kini bertugas sebagai seorang Akauntan di Telekom Malaysia, aku begitu pantas menolak.
“Mak ni, takkan orang nak kahwin dengan si Asyraf tu Mak. Mahu orang bersilat dengan Asiah masa kenduri kahwin kami nanti?” Aku berusaha meluahkan rasa kepada Mak yang masih tak faham-faham kenapa aku menolak lamaran Asyraf.
Mak membidas. “Eh, kamu nak bersilat dengan Asiah tu kenapa pula? Bukannya kamu nak berkahwin dengan dia, tapi abang dia! Dulu-dulu punya perbalahan, janganlah sampai ke tua berterusan. Buruk benar tu Farah!”
Aku menarik muka masam. Sempat pula Mak mengutuk sikapku yang degil ini. “Orang bukan tak nak kahwin Mak, tapi Mak takde calon lain ke, selain Asyraf?”
“Takde. Setahu Mak, Asyraf tu je, jejaka berpendidikan tinggi di kampung ni yang masih bujang. Manakala kamu tu jela, anak dara di kampung ni yang belum kahwin-kahwin. Kan elok tu, sekufu. Sedar sikit Farah, umur kamu tu dah nak dekat 30 tahun. Tak kahwin-kahwin, nanti orang bilang apa pula.”
Aku sebenarnya paling tak suka bila soal usia menjadi isu dalam soal perkahwinan. Pantang umur dah lanjut, mesti soal kahwin diajukan. Bukannya nak tanya, kerja apa sekarang? Tinggal di mana sekarang? Maknanya, aku lebih selesa orang bertanya tentang soal kerjaya atau soalan lain berbanding soal kahwin! Aduh, beban otak aku berfikir!
“Kalau kamu ada calon lain, Mak tak kesah Farah. Tapi kamu jangan tak kahwin. Mak ni teringin juga nak menimang cucu daripada benih kamu.” Luah Mak sebelum masuk ke dalam bilik, menyimpan kain baju yang baru habis dilipat.
Perbualan itu berakhir di situ tanpa kata putus sama ada aku sudi menerima pinangan Asyraf ataupun tidak. Sehinggalah satu panggilan telefon yang tak dikenali masuk ke dalam telefon bimbitku.
“Hello, Farah’s speaking.”
“Farah, ni Asyraf. Abang Asiah. Kenalkan?”
Aduhai, kenapalah dia telefon masa aku tengah sibuk ni? Lepas tu, kenapa dia mesti sebut nama adiknya? Aku mengomel di dalam hati tapi lekas berlagak professional untuk meneruskan perbualan telefon itu.
“Ya, saya kenal. Encik Asyraf telefon ada apa ya?”
“Alah, tak perlulah ber’encik-encik’ dengan saya. Panggil Asy dahla. Eh, Farah free tak malam ni? Boleh saya jumpa Farah sekejap?”
Eh, mamat ni! Baru sekali bercakap telefon dah ajak jumpa? Aku cukup tak suka lelaki begini. Walhal aku bukannya kenal dia sangat. Muka dia pun aku dah lupa. Rasanya dulu kurus dan skema, entah-entah sekarang dah berubah jadi lain. Ish, tak nak aku!
“Maaflah Asy, saya tak free buat masa sekarang. Sibuk. Ada dateline project. Anyway, how do you get my number?” Sengaja aku membalas dalam Bahasa Inggeris. Bukan riak. Tapi supaya mudah menyampaikan rasa kurang senang aku untuk menjawab panggilannya.
“Asy dapat nombor telefon Farah daripada Mak Farah. Dia yang suruh Asy berkenalan dengan Farah dengan lebih rapat. Tapi, Farah ni macam jual mahal saja…”
Aku jadi terpukul dengan kata-kata Asyraf itu. Aku bukan jual mahal okay! Tapi aku memang tak ‘jual’ langsung diriku ini untuk lelaki bernama Asyraf!
Namun apabila aku memikirkan hati Mak yang begitu berharap aku berkahwin cepat, membuatkan egoku tiba-tiba surut. Apalah salahnya aku menggembirakan Mak dengan pergi bertemu dengan jodoh pilihannya ini sekali? Kalau tak berkenan, aku larilah! Haha. Sempat aku ketawa sendiri.
Oleh sebab itu, janji temu aku dengan Asyraf berlangsung dua malam berikutnya di Restoran Nasi Lemak Antarabangsa. Aku yang memilih lokasi itu kerana tiba-tiba tekakku terasa nak menjamah nasi lemak paru yang enak di situ. Aduhai Cik Farah, nak makan ke, nak ‘dating’ ni?
Malam itu aku berpakaian simple dengan blaus labuh berwarna biru laut bercorak bunga tulip halus dan seluar slack berwarna hitam. Tudung selendang biru laut kulilitkan di kepala dan baki lilitan tudung elok menutup dada. Memang sepatutnya tudung itu patut dipakai menutup bahagian dada. Itu sudah termaktub dalam kitab Allah dan adab memakai tudung seperti ini sering dilupakan oleh orang pada zaman sekarang. Bertudung tapi dada terbuka untuk tatapan mata yang nakal. Rugi betul!
Aku sengaja memilih meja yang berhampiran dengan pintu supaya mudah untuk Asyraf mengesan kehadiranku di situ. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 8.30 malam. Patut kelibat Asyraf sudah nampak pada detik itu. Tapi hampa. Dia tiba lewat sepuluh minit dari waktu yang dijanjikan.
“Sorry Farah, Asy lambat sebab pick-up dua orang member Asy ni. Kenalkan, ini Muaz dan ini Mary.”
Aku sedikit terkejut apabla diperkenalkan dengan dua orang yang menemani Asyraf pada malam itu. Aku ingatkan pertemuan itu hanya membabitkan kami berdua, tapi Asyraf boleh bawa teman pula!
Takpelah, aku pun sebenarnya rasa elok ada orang lain bersama kami. Taklah aku kekok bila berbual dengan Asyraf. Tapi nampaknya Asyraf lebih banyak berbual dengan wanita bernama Mary ini berbanding denganku yang lebih banyak berdiam diri. Aku senang menikmati dan menjamah nasi lemak yang aku idamkan sejak dua hari yang lepas daripada berbual mesra dengan Asyraf, yang baru bertanya tiga soalan kepadaku. Macam orang asing pula aku rasa.
“Asy, what do you think. Which phone should I sell? My iPhone or this Blackberry?” Tanya Mary, beria menunjukkan kedua-dua telefon ke arah Asyraf. “ I sayanglah dua-dua phone ni, tapi ada banyak pun, tak guna juga!”
“Alah, susa-susah Mary, you bagi jelah I satu phone you tu!” Orang lain yang ditanya, orang lain yang menjawab. Muaz menghulur tapak tangannya ke arah Mary. Sedangkan Asyraf hanya tersenyum simpul.
“You jangan beranganlah Muaz! Kalau I ada 10 telefon pun, I takkan beri kepada you, okay. You ada duit, you belilah sendiri!” Mary menjelir lidah sebagai tanda mengejek Muaz.
Muaz tidak membalas sebaliknya menghadiahkan senyuman ke arahku. Senyuman yang cukup manis lantas terus memanah hatiku. Aku seraya tunduk dan pura-pura menyambung makan. Kenapa aku jadi serba tak kena ni?
Tiba-tiba telefon Asyraf berbunyi. “Excuse me,” ucapnya sambil bangkit dan berlalu untuk menjawab panggilan.
“Excuse me too.” Giliran Mary bangun sambil memberi isyarat dia ingin ke bilik air.
Maka tinggallah aku dengan Muaz berdua di meja itu. Pingganku sudah hampir licin. Hanya beberapa butir nasi dan lebihan sambal nasi lemak masih berbaki. Mataku liar memandang sekeliling restoran bertemakan warna hijau daun dan perabot kayu supaya tidak bertemu dengan mata Muaz yang kini terarah kepadaku. Aku jadi segan.
“So, Farah! You dah lama kenal Asyraf?” Tanya Muaz sebagai soalan klise darinya untukku, mungkin sekadar cara untuk kami memulakan bicara.
“Lama juga. Kami bersekolah di sekolah yang sama, cuma dia senior dua tahun dari I.” Aku pula cuba bertanya Muaz. “How about you?”
“I kenal dia dari kecil.”
“Ha? Kenapa I tak pernah nampak you?”
Muaz tertawa kecil. “Asyraf tu sepupu I. Tapi I ni famili sebelah emak dia di Perak. Masa kecil selalu juga I datang rumah dia. Terutama masa hari raya. Eh, jadi you ni mesti kenal Asiah kan?”
Bila nama ‘Asiah’ disebut, mood aku untuk menjadi ‘peramah’ dengan Muaz, terus lari. Aku hanya mengangguk bagi menjawab soalan Muaz itu.
Mujur Mary muncul beberapa saat kemudian dengan muka yang berkerut dan bertanya di mana Asyraf berada. “ I rasa I nak baliklah. Perut I tak selesa makan sambal ni.”
“You tu memanglah, ‘orang putih celup’!” Ejek Muaz tanpa berlapik. “Nama Mariam jadi Mary! Hinggakan perut you tu pun dah tak jadi perut ‘Melayu’ dah!”
Aku cuba menahan ketawa daripada terkeluar akibat kata-kata Muaz itu. Dasyat juga mulut mamat ni! Fikirku. Akibat kata-katanya, Mary kembali bangun dan mencari Asyraf untuk dihantar pulang dengan segera. Sensitif betul!
“Sorry Farah, I need to send her home. One more, can you help me to send Muaz home too?” Asyraf memalingkan mukanya sekejap kepadaku, sekejap kepada Muaz yang aku perasan ada senyum nakal di hujung bibirnya pada ketika itu.
“Okay, no problem.” Aku menjawab permintaan Asyraf itu separa ikhlas. Selepas ni, taubat aku nak keluar dengan kau Asyraf!
Hati siapalah tak bengkak apabila pertemuan kali pertama yang sepatutnya berjalan tanpa wujudnya watak lain dan akhirnya begini jadinya? Sudahlah kami langsung tak sempat ingin mengenali diri masing-masing dengan lebih rapat. Sekarang aku pula yang menjadi mangsa atau orang suruhan yang perlu menghantar temannya pulang ke rumah!
“You macam marah je bila kena hantar I balik ni, Farah.” Muaz bersuara seolah-olah dapat mengesan wajahku yang sudah masam mencuka.
Aku meneruskan langkah menuju ke keretaku yang diparkir di sebelah kereta BMW berwarna perak. Langsung aku tak menjawab soalan Muaz itu.
“Wow, kereta you ke ni?” Muaz terus menarik perhatianku.
“Kereta I Honda City ni. Bukan BMW tu!” Balasku dan laju memasuki perut kereta.
Tawa Muaz pecah tiba-tiba. “I said ‘wow’ because of this car la- Honda City. For me, you’ve a great taste. I suka juga design Honda City. Casual yet exclusive!”
Aku tersenyum di dalam hati bila dipuji begitu. Pandailah kau ambil hati aku Muaz. Mentang-mentang aku sanggup hantar kau balik…
“Farah, I nak minta something boleh?” Muaz mengeluarkan telefon bimbit dari poketnya.
“Apa dia?”
“I nak nombor telefon you boleh?”
“Nak buat apa?” Aku kaget. Sekilas aku memandangnya sambil terus memandu.
“Saja.” Nada suara Muaz kian menurun.
“Tak boleh.” Jawabku. Hai, aku baru bagi tumpang kereta dah berani minta nombor telefon? Rasa geram yang masih berbaki terhadap Asyraf berjangkit kepada Muaz pula. Aku jadi berhati-hati dengan sepupunya walaupun aku tahu, mereka bukan orang yang sama. Pesimis betul aku ni!
“Kalau macam tu, takpelah.” Telefon bimbitnya tadi kembali disorok ke dalam. Dia senyap sepanjang perjalanan sehinggalah bila saat hampir tiba di kawasan rumahnya untuk menunjuk jalan.
Aku tahu dia hampa kerana aku menolak permintaannya itu. Tapi kerana terlalu kecewa, terlalu butanya aku mencari cinta, hatiku dengan mudah mengatakan ‘tidak’ kepada permintaan berikutnya. Tidak lagi!
kak ezd..
ReplyDeletemakin baca makin best plak :)
em tp saya rasa ade pembetulan sket la..saya rasa kan perkataan 'fetch' tu patut digantikan dgn 'send' dlm ayat di bawah
“Sorry Farah, I need to send her home. One more, can you help me to fetch Muaz home too?” Asyraf memalingkan mukanya sekejap kepadaku, sekejap kepada Muaz yang aku perasan ada senyum nakal di hujung bibirnya pada ketika itu.