Friday, November 26, 2010

1000 Hari: Saya ada Awak. Awak ada Saya



1000 Hari.
Bermula 1 Mac 2008 hingga hari ini 25 November 2010.
Terlalu banyak Kenangan yang kita kongsikan...
Terlalu banyak Tangisan yang kita titiskan...
Terlalu banyak Masa yang kita habiskan...
Terlalu banyak Wang yang kita laburkan...
Terlalu banyak Kisah yang kita ceritakan...
Terlalu banyak Memori yang kita pahatkan...
Terlalu banyak Kegembiraan yang kita raikan...
Terlalu banyak Ketawa yang kita alunkan...
Terlalu banyak Rasa yang kita luahkan...
Terlalu banyak Pengorbanan yang kita lakukan...
Terlalu banyak Janji yang kita patrikan


Tapi yang paling indah dan nyata...

Terlalu banyak Kasih yang kita berikan...
Terlalu banyak Sayang yang kita ucapkan...
Terlalu banyak CINTA yang kita ciptakan...


Hingga kini...
2 Tahun, 8 bulan, 3 minggu dan 3 hari.


Saya Ada Awak. Awak Ada Saya.


Kerana DIA yang temukan kita. Kerana DIA yang satukan Hati ♥ kita.


Thursday, November 25, 2010

Bilik Kanak-Kanak

Risau lama tak update blog. Maka masuk gambarlah ya. Apa guna ada gambar banyak-banyak tak nak share. Ini pun sebahagian ilmu gak kan? Oh, saya memang sangat suka budak-budak. Lagi-lagi yang comel dan comot. Mari melihat gambar bilik kanak-kanak terbaik. (Kalau mampu dan mahu design, mari datang opis saya buat furniture!)


*Untuk kanak-kanak yang suka study*




*Simple Bedroom with simple storage*


*Connected Study table & Wardrobe*



*Pinky Bedroom with Extra Storage*

Tuesday, November 23, 2010

ADUAN yang Dilayan

Secara jujur, aku sebenarnya adalah orang yang paling susah nak puji *kerajaan* Malaysia sekarang. Lagi-lagi bila melihat situasi negara yang konon nak *maju*, tapi rakyat bagai *mengemis* di negara sendiri. Sangat susah nak survive dalam keadaan ekonomi yang menunjukkan orang kaya makin kaya, orang miskin makin miskin manakala orang yang sederhana (macam aku), hidup hanya *cukup-cukup makan*.

Ditakdirkan minggu lepas. Hari Jumaat. Aku sangat lapar. Isteri bos dan bos bagi kerja bertubi-tubi. Taip quotation, scan, fax, buat 3D, macam-macamla. Jadi pukul 3 camtu, aku baru berpeluang nak pergi lunch. 

Aku gerak laju-laju, pergi kat Restoran Nana Cafe, yang terletak sebaris ofis aku. Aku sebenarnya dah berapa bulan tak pergi situ. Satu sebab takde kawan nak makan sama. Lagi satu sebab servisnya sangatlah lembab padahal pekerja sikit punya ramai. Tapi yang paling tak puas hati, harga makanan sangatlah MAHAL!

*Sempat ambil gambar balik tadi pakai telefon*

Monday, November 22, 2010

Mereka Di Sekeliling..

Kita hidup dalam harapan. Kita hidup dalam kepentingan orang lain yang memerlukan kita. Kita hidup dalam kebahagiaan, bila orang yang bersama, beri kita senyum, beri kita gembira dan beri kita ketawa. Tapi orang sekeliling yang kadang-kadang menjatuhkan kita, yang buat kita kecewa dan yang paling sinis, mereka melukai kita, sedangkan kita berkorban apa saja untuk mereka.

Kita selalu berharap, kita tak jumpa mereka yang melukakan. Kita belajar hidup sendiri. Pedulikan orang lain. Itu hidup mereka. Tapi sedarkah kita, tanpa orang lain, kita bukan siapa-siapa? Di bumi Tuhan yang kita sembah ini, kunci syurga itu salah satunya berbakti kepada orang lain. Sedangkan untuk masuk syurga, doa anak-anak soleh, amal jariah dan ilmu yang tersebar, bukankah melibatkan orang lain?

Jadi siapa kita tanpa mereka? Mereka yang membuat kita menangis? Mereka yang buat kita berduka? Kesakitan itu datangnya daripada hati. Hati ini. Kita derita kerana punya sayang. Diberi kepada orang yang salah. Dikongsi bersama orang yang tak patut. Perlukah begitu?

Malangnya kita bukan punya kuasa. Bisa menilik hati manusia. Yang kadang-kadang penuh penipuan. Penuh dengan tipu daya. Penuh dengan hasad dengki. Tapi kita yang punya dua mata, dua telingat, mulut dan satu hati hanya mampu berserah kepadaNYA. Dia yang bantu kita, tunjuk kita, orang yang benar.

Sunday, November 21, 2010

Cerpen: Bila Rintik Air Bertemu


Kisah ini berlaku 2 tahun yang lalu.

Mata berpandangan sekilas. Tapi rupa insan yang dilihat lekas pula melekat di kepala. Namun masing-masing ego ingin menyapa antara satu sama lain. Kalau nak beri salam tak salah. Lagipun salam itu sedekah. Tapi kedua-duanya mulut terkunci.

Mereka duduk hanya berbeza lebih kurang empat kaki. Hujan turun macam menangis. Seorang tunggu bas untuk pulang ke rumah sewa manakala seorang lagi hanya tumpang berteduh di pondok bas itu kerana terlupa membawa payung!

Telefon berdering.  “Hello!” Kepala terangguk-angguk menjawab panggilan. Mesti orang yang menelefon membebel panjang. “Ok. Kejap lagi Along balik belikan makanan. Hujan lebat ni.” Akhirnya ada ayat yang panjang keluar dari mulut.

Seorang lagi yang asyik memerhati lelaki bercakap telefon mula buka kotak minda. Dia menanti panggilan tersebut tamat. Cepatlah habis… Dia berdoa sendirian di dalam hati.

Saat lelaki itu mengalihkan telefon dari telinga dan hampir memasukkan semula ke dalam poket seluar, si dia yang dari tadi memandang cepat-cepat menghalang.

“Saudara, nanti dulu!”

Lantas lelaki yang digelar ‘saudara’ menghambur pandang. “Ya?”

“Erm… Boleh pinjam telefon?” Tanya si dia yang ingin pulang ke rumah sewa.

Tanpa fikir panjang tuan punya telefon bagi pinjam. Telefon bertukar tangan. Ikhlas.

Dengan tangan yang menggigil untuk menekan butang telefon Sony Ericsson, dia mula mendail nombor yang dia ingat tak ingat di dalam kepala. “Hello, Sarah! Ni aku Damia. Tolong datang ambil aku kat bus stop ni ha! Aku tak jadi pergi jumpa ‘dia’.” Bunyi perkataan ‘dia’ itu dialunkan dengan nada sayu.

Tuan punya telefon bernama Syamil buat-buat tak dengar perbualan sebentar itu. Dalam kepala otak berfikir sama ada minta ‘charge’ guna telefon atau minta nombor telefon orang itu. Sebaik panggilan berhenti, telefon tersebut terus dikembalikan kepadanya.

“Terima kasih. Sorry, telefon saya habis bateri.” Ujar Damia. Dia mengeluarkan not warna merah daripada dompet. “Nah, ni saya bayar duit kredit.”

Syamil jadi serba-salah untuk menerima duit tersebut. Tapi bila melihat duit yang dihulur masih belum berganjak, dia pantas mendapat satu idea.

“Duit yang awak bagi tu banyak sangat. Apa kata awak bagi saya nombor telefon awak. Nanti lain kali saya bagi awak baki.”

Damia jadi kaget dengan permintaan lelaki itu. Nak pulangkan baki sampai kena minta nombor telefon? Apa kena mamat ni? Dia angkat sebelah kening lalu berkata, “Awak nak tak duit ni?”

Amboi, jual mahalnya minah ni! Ingat cantik sangatlah tu. Getus hati Syamil. Terus dia hilang suara untuk menyambung cakap. Duit dan tuan punya duit dua-dua dijelingnya.

Seterusnya hujan masih menghentam kuat bumi. Guruh sabung-menyabung macam bertengkar di balik langit gelap. Damia dah mula cuak. Bilalah Sarah ni nak datang? Sesekali dia menoleh memandang Syamil yang selamba di situ bermain game di telefon bimbit.

“Awak...”

Tadi panggil ‘saudara’, kali ni panggil ‘awak’ pulak? “Ya.” Syamil langsung tak pandang. Pura-pura kusyuk main game.

“Pinjam telefon lagi...” Lembut Damia meminta.

“Tak boleh!”

“Kedekut!” Laju perkataan itu meluncur dari bibir Damia. Terus membuatkan mata Syamil menerjah muka Damia yang sama-sama memandangnya.

Serentak sebuah kereta Perodua Kelisa menghampiri stesen bas itu.

“Alhamdulillah.” Damia pantas bangkit dan berlari ke kereta. Langsung dia tidak mempedulikan Syamil lagi.

Syamil yang ternampak kereta itu tiba-tiba muncul lekas bangun dengan harapan diberi tumpang. Tapi malangnya belum sempat dia hendak menjerit memanggil Damia, kereta itu terus memecut laju meninggalkannya terkapai-kapai sendiri.

Syamil pasrah. Mungkin itulah balasannya kerana dia menjadi ‘kedekut’ sebentar tadi. Menyesal pula dia langsung tiada hati untuk berbuat baik kepada gadis itu. 

“Mana aku tahu ada kereta nak jemput dia...” Pada detik itu Syamil mengomel sendiri. Namun dia sedar, walau apapun terjadi, dia kini sendiri, menanti hujan reda dan menunggu mentari segera beri cahaya untuk dia pulang sebentar nanti.