Thursday, April 26, 2012

Kursus Inspirasi Dekorasi


Sebelum ni cerita pasal kisah sedih, kali ni biarlah aku kongsikan kisah gembira pula ye. Kisah ni berlaku awal bulan April yang lalu bila aku telah dijemput untuk bagi ceramah tentang perkara yang berkait rapat dengan bidang Interior Design, bidang yang aku dah hadap bertahun-tahun ni. Huhu.

Pertama sekali aku bersyukur sangat kerana terbabit dengan penulisan blog ni walaupun aku dah jarang sangat update blog ni. Tapi alhamdulillah, blog ni masih dikunjungi disebabkan orang baca banyak entri aku yang dulu-dulu, terutama yang berkaitan dengan interior design atau hiasan dalaman. Kadang-kadang kita takkan sangka apa yang kita buat dulu berguna untuk orang lain pada masa akan datang. Sebab tu sejak dulu aku akan sedaya-upaya pastikan apa yang aku kongsi dalam blog bukan entri untuk *syok sendiri*, sebaliknya entri yang boleh memberikan *ilmu* atau *pengetahuan* yang bermanfaat untuk diri aku sendiri dan orang lain.  Insya-Allah.


*Gaya masa bagi ceramah. Gaya muka comot tak letak kat sini. Haha*

Berbalik kepada ceramah tadi, nak dikisahkan macam mana aku boleh dipanggil untuk bagi ceramah ni disebabkan seorang pensyarah di Kolej Komuniti Selandar, Kak Lynn telah terbaca blog aku. Kebetulan kolej mereka nak adakan kursus tentang hiasan dan dekorasi, dia jemput aku untuk bagi kursus kepada staf di kolej kat Melaka tu. Mula-mula aku pun rasa lawak juga nak bagi talk kat orang sebab selama ni, aku mana ada pengalaman nak bercakap kat depan orang ramai-ramai. Jumpa client atau present depan lecturer dulu pernahlah. Tapi peluang macam ni bukan selalu ada kan? Peluang untuk pergi ke Melaka juga dimanfaatkan untuk bertemu kekasih hati dan arwah mak kekasih hati itu juga. Alhamdulillah.



*Antara pemandangan di Kolej Komuniti Selandar, Melaka. Cantik juga kolej ni.*

Ceramah atau kursus yang aku bentangkan selama dua hari itu bertajuk Kursus Inspirasi Dekorasi. Antara tajuk-tajuk yang aku bentangkan ialah Hiasan dan Dekorasi, Susun atur dan Perancangan dalam Ruang, Inspirasi Warna, Material Dekorasi dan Hias dan Mampu. Pada waktu pagi aku bagi ceramah mengenai tajuk-tajuk di atas manakala waktu petang lebih kepada aktiviti praktikal yang seolah-olah *kelas pendidikan seni* bagi mereka. Haha.



*Memo Board yang mereka hasilkan sendiri semasa kursus.*

Ceramah yang aku bagi ni lebih berkisar kepada dekorasi dalam ruang (Interior Decoration) berbanding hiasan dalaman (Interior Design) sebab kedua-dua perkataan dekorasi dan hiasan itu sendiri boleh memberi maksud yang berbeza. Semasa kursus, aku bagi penerangan secara ringkas dan mudah tentang contoh-contoh barang dekorasi sama ada yang boleh dibeli atau buat sendiri (DIY- Do it yourself), bagaimana nak susun perabot dalam ruang secara betul atau space planning, pemilihan warna dan material dan aku juga tolong mereka bagi cadangan untuk susun semula barang-barang mereka di pejabat.


*Mengajar orang susun perabot. Huhu*

Tuesday, April 24, 2012

Kehilangan


Semuanya jadi dalam sekelip mata. Macam mimpi pun ada gak. Tapi siapalah kita untuk mengagak apa yang akan jadi pada masa depan kita. DIA lebih mengetahui segalanya. Subhanallah...

Aku rasa macam sekejap je kenal arwah mama Hafiz, yang sepatutnya menjadi ibu mertuaku insya-Allah hujung tahun ni. Baru tahun lepas aku datang rumah Hafiz dan jumpa mama, abah dan adik-adiknya. Dah 4 tahun hubungan kami, baru sedia nak jumpa keluarga masing-masing. Masa kali pertama jumpa rasa cuak juga. Maklumlah, nak kahwin dengan anak lelaki sulung dan tunggal dia. Siapa tak cuak kan?

Tapi alhamdulillah masa jumpa kali pertama tu semuanya ok. Aku lagi banyak berbual dengan abah Hafiz berbanding mama dia masa tu. Tapi aku tahu mama Hafiz memang baik. Kalau anak dia nak datang KL jumpa aku, dia yang hantar Hafiz sampai ke Melaka Sentral. Sebelum turun kereta mama dia akan pesan "baik-baik.." Adalah satu *nada* ni, Hafiz selalu ajuk masa kitorang berjumpa. Maksudnya dia kenalah ingat pesan mama dia tu masa jumpa aku. Huhu.


Tanpa diduga awal tahun hari tu mama Hafiz tiba-tiba sakit dan kena buat satu pembedahan untuk check sakit apa. Faham-faham sajalah hospital kerajaan. Nak buat pembedahan mesti kena tunggu giliran dulu. Patutnya boleh bedah awal lagi. Lambat sangat, dalam tengah bulan baru boleh operate dan bila dah tahu result, rupa-rupanya ada ketumbuhan di payudaranya. Dengan kata lain, dia disahkan menghidap barah payudara atau breast cancer.

Ada sesetengah barah yang boleh pulih dengan melakukan kemoterapi atau rawatan-rawatan lain. Macam arwah mak mertua kakak aku, lebih 4 tahun dia survive sebab barahnya masih boleh dibuat rawatan susulan. Tapi kes mama Hafiz ni lain sikit. Barahnya cepat sangat merebak. Jadi kena buat pembedahan seterusnya di Hospital Putrajaya walaupun sakit masa pembedahan pertama tu masih belum hilang.

Di Hospital Putrajaya, sekali lagi dia kena tunggu. Tapi kali ni kena tunggu doktor pakar pembedahan plastik pula sebab lepas buat pembedahan kena tampal atau ganti dengan kulit daripada bahagian lain. Tak boleh nak dibayangkan sakitnya kan. Tuhan je yang tahu...

Masa mama Hafiz kat Putrajaya tu aku datang melawatnya seorang diri tanpa ditemani sesiapa. Rupa-rupanya dia pun takde teman. Dia duduk sorang-sorang kat tepi tingkap dan bila nampak aku, dia langsung terkejut dan menangis kat aku. Aku ni dah memang semulajadi senang sangat menangis. Makanya sama-sama berendam air mata la... Aku rasa dia mesti tak sangka aku boleh datang sorang-sorang hari tu. Itulah kali pertama aku berborak lama dengan bakal mak mertua aku dan aku cuba sedaya-upaya bagi dia semangat supaya teruskan pembedahan sebab dia dah hampir putus asa masa tu bila doktor tak datang-datang untuk buat pembedahan. 

Thursday, March 29, 2012

Rindu UIA! Tau tak?



Ahad yang lepas aku ke UIA ajar seorang junior 3D. Saja buat *part time* kongsi ilmu dengan orang lain. Pastu masa jalan-jalan kat dalam bangunan KAED tu macam ada perasaan *sayu* dan *rindu* je dengan suasana belajar kat Kuliyyah tu... Dah berapa tahun tinggalkan UIA, barulah nak rindu kan!


*Gambar UIA masa aku 1st year*

Enam tahun belajar di UIA memang banyak kenangan yang manis dan pahit masa belajar kat sana. Perkara paling best ialah bila dapat jumpa ramai *sahabat-sahabat* yang baik yang ukhuwahnya berkekalan hingga sekarang. Aku takkan lupa, walaupun aku jalan sorang-sorang dalam UIA tu mesti tengah-tengah jalan tu akan terserempak dengan orang yang aku kenal. Tak kira course apa dan mahallah mana, kalau baru tegur sekali, mesti akan tegur sapa lagi buat kali kedua.


*Sahabat-sahabat terbaik di UIA*

Suasana kat UIA juga best sebab ada banyak pokok-pokok dan dikelilingi bukit terutama di belakang Mahallah (asrama) aku, Mahallah Asma. Masa aku duduk kat Blok H dulu, bangun pagi aku boleh nampak dari tingkat bilik aku matahari terbit di balik bukit-bukit tu. Pergh! Cantik betul pemandangan tu. Pastu UIA kalau pagi-pagi memang sejukla. (Walaupun belum mandi lagi!. Haha)


*Pemandangan salah sebuah Mahallah. Aku tak ingat ni Mahallah aku ke atau Mahallah lain.*

Di UIA juga aku belajar *survive* dan jadi berdikari. Disebabkan aku ambil course yang sibuk dan selalu lepak studio, aku dengan selamba selalu balik mahallah malam-malam dengan roommates aku Lyn dan kadang-kadang balik seorang diri. Pernah sekali pagar mahallah aku tutup jadi nak tak nak aku ajak Dekna, studiomates aku tidur kat masjid UIA. Haha. (Siap ada akak ni kejut Qiamullail lagi tuh!) 


*Rindu kepada studiomates AAD!*


Pastu apa yang aku suka, makanan di UIA boleh kira murah jugala. RM2 boleh dapat nasi + lauk ayam. (Kalau sekarang area Bandar Sri Permaisuri ni jangan harap dapat harga camtu.) Pastu banyak kemudahan-kemudahan yang UIA bagi free contohnya internet free (zaman aku dulu selalu pergi Lab KAED download model 3D, lagu, etc..Haha) dan Library UIA boleh tahan banyak bukunya. Aku paling suka masa 1st Year, 1st Sem masuk UIA aku semangat study kat library sampai tertidur-tidur. Pergh! Masa tu *single* so adala ajak geng-geng nakal- Fatimah @ Timi dan Lyn usha-usha *pemandangan menarik* kat library tu. (Haha. Gile nakal!) Alhamdulillah senakal-nakal aku, aku berjaya gak grad daripada UIA dengan pointer above. Huhu...

Masa belajar di UIA juga aku join macam-macam event walaupun aku ni takdela *aktif* sangat macam orang lain. Banyak event aku join pun event yang kulliyyah dan department aku buat je. Contohnya macam KAEDfest, TigaBelas dan event paling besar yang aku incharge ialah APSDA - Asian Pasific Space Designers Association. Event ni melibatkan Interior Design Student dari serata benua Asia. Pada tahun 2006, APSDA ni buat event di Malaysia dan UIA jadi tuan rumah, maka ramai student dari Filipina, Indonesia, Korea dan Malaysia join event ni. Kenangan terbaik masa tu ialah sebab aku belajar incharge event besar dan jadi *multitasking* sebab event tu dihadiri lebih 200 orang, committee kitorang 25 orang je. Kiki...



*APSDA 2006*

Banyak kali aku cakap kat *bakal suami aku*, kalau ada anak nanti aku akan suruh dia belajar di UIA. Tak kesahla, kalau dia nak ambil Medic ke, Law ke, dan nak ikut jejak bonda dan ayahanda dia ambil Architecture kena masuk UIA gak! Aku tak peduli! Hahaha...



Terima kasih kepada tukang buat video ni - EDAYlead kerana buat video tentang UIA. Oh, rindu UIA dan orang-orang yang pernah ada di UIA dengan aku, tahu tak?



P/s: Mari singgah tengok portfolio terbaru aku dan Hafiz! Sila klik sini - Ilusi Hafiezd

Wednesday, March 14, 2012

I Pray


I pray to  ALLAH  to give me patience to face all the difficulties

I pray hopefully ALLAH will help me to make my way easier to get married

I pray that  ALLAH  can find my family home to stay after this

I pray to  ALLAH  to help me find the best job after I resign

I pray for  ALLAH  to make him tough due to so many obstacles he has to gone through

I pray that  ALLAH make his mother’s operation success and she can see us getting married

I pray that  ALLAH  give us enough money to get married

I pray to  ALLAH  to send all my girlfriends - BFF a good guy to be their husband ^_^

I pray to  ALLAH  to give all people around me happiness and success in their life both dunia and akhirah…

Amin~




Wednesday, March 7, 2012

Rekaan Ruang Masuk Rumah / Foyer



Persoalan tentang Rekaan Ruang Masuk atau Foyer Design ini ditanya oleh adik Da Yah pada bulan lepas. Kesian adik ni. Lama dah soalan dia tergantung di Facebook Page AiraniEz's Life. Tuan punya blog ni pula asyik buat-buat sibuk je. Walhal tangan ni tak sibuk, cuma otak yang *sibuk* berfikir masalah yang tak pernahnya kurang. Huhu.


 

Berbalik kepada rekaan ruang masuk rumah atau foyer, ruang tersebut kini menjadi semakin berfungsi bagi kebanyakan orang yang mementingkan kecantikan dalam segenap ruang dalam rumah. Pada masa kini, ruang masuk ini menjadi ruang yang penting bagi memelihara privasi tuan rumah kerana apabila ada tetamu datang, mereka takkan sesuka hati masuk ke dalam ruang rumah yang lain sebelum dibenarkan oleh tuan rumah.

Selain itu, ruang masuk atau foyer ini juga boleh memberikan impresi positif terhadap tuan rumah kerana sebaik tetamu masuk ke ruang masuk yang cantik dihias elok, sekelip mata membuatkan tetamu rasa senang dan selesa untuk datang ke rumah kita.


Terus-terang, bukan semua rumah ada ruang masuk yang besar kecuali rumah tersebut dibina dia atas tapak yang luas. Pada pandangan aku juga, tidak banyak rumah di Malaysia ini yang mempunyai ruang masuk yang sempurna. Selalunya ruang yang ada agak sempit dan hanya muat-muat untuk meletakkan rak kasut atau kabinet yang rendah.

Jadi bagi mereka yang ingin menghias ruang masuk mereka untuk nampak lebih cantik, di sini aku kongsi beberapa tips untuk korang semua.

Cat 

Korang patut cuba mengecat warna ruang masuk dengan ruang lain dengan warna yang berbeza. Warna panas seperti merah atau coklat boleh membuatkan ruang nampak mesra, umpama menjemput tetamu masuk.




Lampu

Kalau nak guna lampu di ruang masuk, pastikan lampu yang digunakan ialah lampu yang boleh dilaraskan tahap kecerahannya. Walaupun kita nak ruang masuk kita nampak cerah, tapi kalau boleh elakkanlah daripada terang sangat ya. 


Selain itu, kalau kita nak ruang tersebut nampak mewah atau ada class, kita boleh tambah chandelier di tengah-tengah siling ruang itu. Walau bagaimanapun, kalau ruang masuk kita itu sempit, jangan gunakan lampu chandelier, sebaik-baiknya gunakanlah designer lamp atau lampu yang simple tapi ada ciri-ciri designer gitu. Aku rasa itu lagi bagus kot.



Cermin

Disebabkan ruang masuk mempunyai keluasan yang terhad, penggunaan cermin juga merupakan salah satu idea yang baik untuk rekaan ruang masuk rumah korang. Cermin yang tergantung di dinding boleh memantulkan imej menarik ruang yang bertentangan dengan ruang masuk selain boleh membuatkan ruang tampak luas dan cantik.



Dekorasi

Kalau korang rasa korang orang yang berseni, apa kata  korang  paparkan lukisan yang menarik, gambar-gambar keluarga atau barang-barang dekorasi kecil yang lain. Amatlah tidak digalakkan meletakkan doorgift yang  korang  dapat daripada kenduri-kendara yang pernah  korang  hadiri. Tolong ya. Tahulah suka pergi kenduri kahwin, tapi janganlah sampai habis tayang semua doorgift yang ada di depan pintu masuk rumah!


Wednesday, February 15, 2012

Susahnya...



Susahnya nak update blog.  Susahnya nak karang ayat.  Susahnya nak luah rasa.  Susahnya nak kongsi idea. Susahnya nak mulakan cerita. Susahnya nak tunjuk rasa.  Susahnya Susahnya...

Dalam hidup ni apa yang tak susah cuba cakap kat aku sikit? Kalau kita teliti kehidupan kita hari-hari, kita akan sedar betapa susahnya kita hendak bangun awal pagi. Bila dengar azan Subuh berkumandang adakah sepantas kilat kita bangun untuk menghadap Ilahi? Bila jam handphone berbunyi berapa kali kita tekan-tekan HP tu supaya bunyinya berhenti?



Dah bangun dan mandi, kita nak kena bersiap pergi kerja pula. Susahnya nak pilih baju yang matching dengan tudung! Kalau baju tu warna purple, takkan nak pakai tudung warna kuning pulak kan. Nanti orang kata 'buta warna' pulak! Susah. Oh, susah! Lepas tu nak gosok baju lambat pula seterika panas. Susahnya nak hilangkan kedut kat baju! (Bukan kedut di muka ye.)

Lepas tu masa pergi kerja, kena hadap jalan raya yang banyak kereta. Selalu kena pecut kereta sebab takut tak lepas lampu isyarat. Susahnya nak lepas berapa banyak traffic light di kawasan Bandar Sri Permaisuri tu! Kadang-kadang rasa nak hon je kereta yang lembab kat depan. Dah nampak traffic light warna hijau lagi nak ajak kura-kura lumba kat sebelah. Tak faham betul!

Sampai ofis pagi-pagi perut dah lapar. Nak fikir sarapan pagi apa pun susah. Entah apa-apa kan? Selalu ada masalah nak makan apa. Itu baru sarapan, makan tengah hari apatah lagi. Susah betul nak fikir makanan yang bertepatan dengan bajet dan menyihatkan ni. Tambah-tambah nak diet, tak makan nanti lapar dan tak boleh buat kerja pula. Susahnya nak kurus! (Tiba-tiba terasa gemuk. Uiks.)




Tuesday, February 7, 2012

Terima Kasih Cinta


Semalam ialah Hari Lahir saya yang ke 27. Cinta telah datang dan bagi saya bunga ni. (Tak tahulah berapa harganya. Tak berani nak tanya. Haha.) Apa-apa pun inilah bunga pertama daripada Cinta selepas 4 tahun. Harap ada lagi bunga untuk tahun-tahun berikutnya. ^_^


Friday, January 13, 2012

Dhuha



Tajuk: Dhuha
Penyanyi: Sahrul Gunawan

Ku berdoa, dalam dhuha
Dua tangan menadah, ku meminta
Limpahan rahmat, limpahan rizki
Rizki halal dan baik, yang Kau ridhoi

Bila masih di langit, Engkau turunkan
Bila di dalam bumi, Engkau keluarkan
Bila masih jauh, Engkau dekatkan
Bila masih sulit, Engkau mudahkan
Tuhan…

Ku tertunduk dan bersila
Dua mata terpejam, khusuk berdoa
Sajadah panjang, basah terbentang
Airmata menetes, mohon dikabulkan

Bila masih di langit, Engkau turunkan
Bila di dalam bumi, Engkau keluarkan
Bila masih jauh, Engkau dekatkan
Bila masih sulit, Engkau mudahkan
Tuhan…

Bila masih di langit, Engkau turunkan
Bila di dalam bumi, Engkau keluarkan
Bila masih jauh, Engkau dekatkan
Bila masih sulit, Engkau mudahkan
Tuhan…

Bila masih haram, Engkau sucikan
Bila masih kotor, Engkau bersihkan
Tuhan…

Semoga ALLAH s.w.t. murahkan rezeki kita semua.. Amin~

**Sorry lama tak update blog. Melalui awal Januari yang pasrah lagi berserah..huhu.. T_T

Wednesday, December 28, 2011

Bulan Perkahwinan


Bulan November dan Disember ni memang boleh digelar sebagai *Bulan Perkahwinan*. Boleh dikatakan setiap minggu aku terpaksa ambil cuti pada hari Sabtu sebab nak datang kenduri dan ada juga yang terpaksa ditolak jemputannya sebab terlalu banyak majlis dalam satu hari.

Bermula akhir November, dua orang budak sekolah menengah aku kebetulan kahwin pada hari yang sama. Kebetulan juga dua-dua kahwin di Negeri Sembilan jadi aku terpaksa menggunakan *driver import* dari Melaka untuk teman aku ke sana. Memang banyak ujian masa nak pergi tu dan salah satu ujiannya ialah tayar aku pecah masa kat Jalan Kuala Pilah. Sabar jela. Alhamdulillah masa nak balik tu perjalanan ok dan dapat satu pengajaran yang tak diduga... (Pengajaran apa? Adala... Hihi. ^_______^)

*Nurul Nadiah dan Saiful Hisham*
(26 November 2011)

Majlis Perkahwinan pertama ni ialah majlis kahwin sahabat baik aku masa sekolah menengah - Nadiah. Dulu kami berkawan baik 4 orang tapi sekarang tinggal 3 orang je sebab seorang lagi dah MIA. Haha. Walaupun terpaksa menempuh ujian sepanjang perjalanan, (kebetulan masa sampai hujan lebat pula, habis baju basah!) Tapi alhamdulillah dapat juga datang kenduri dia sebab Nadiah ni memang sahabat yang setia dengan aku. Walaupun jarang jumpa, tapi tak pernah lost contact dan kalau contact tu memang banyak cerita boleh dikongsi. Apa-apa pun tahniah Nadiah. Memang eloklah jodohnya orang Kuala Pilah, lepas tu bertugas di Hospital Kuala Pilah bersama-sama pula. Orang kata apa, 'jodoh orang dekat'? Heh.


*Geng kembar- Laila dan Laily bersama pengantin - Mashitah*
(26 November 2011)


Mashitah atau Machit ni kawan satu kelas dan satu dorm dengan aku di sekolah menengah aku dulu. Memang ramai budak sekolah aku kahwin pada hari yang sama hari tu tapi aku baik dengan dua orang ni je. Takde kerja aku nak tawaf satu Negeri Sembilan nak pergi majlis semua orang. Haha. Machit ni rajin pergi kenduri kahwin semua orang dan boleh dikatakan dia ada connection dengan kebanyakan budak sekolah kami. Mungkin sebab itulah majlis dia paling ramai orang datang. Kot. ^_~

*Sempat bergambar dengan Aina dan bakal ibu- Farhana / Paan*


*Pasangan Erni Dekritawati Yuliana dan Khamarul*
(4 Disember 2011)


Perkahwinan pada bulan Disember pertama yang aku hadir ialah Majlis Perkahwinan Rita atau Erni (masa sekolah kami panggil dia Erni) dan Khamarul. Rasanya sesetengah orang tahu siapa Erni ni. Aku tak mahu ulas panjang pasal background family dia sebab aku kenal dia masa sekolah rendah di Convent Bukit Nanas 1 dulu sebagai kawan sekelas. Nak kata rapat tu bolehlah juga sebab walau aku dah pindah sekolah menengah lain pun Friendster dan Facebook dia aku ada. Dia ni memang langsung tak sombong dan happy-go-lucky masa aku kenal dia dulu. Alhamdulillah dia dah jumpa jodoh yang terbaik dan harap dapat jaga dia lepas ni. Amin~

Tuesday, December 27, 2011

Patah Seribu



Lagu ni buat aku menangis sekali masa drive. Aduhai... Tak tahu kenapa bila dengar teringat *orang jauh*... T_T

Walau kau tiada di sini
Ku tetap ingat semua pesanmu
Ku hidup seolah-olah kau masih ada
Bisikan kata kepadaku

Bilakah kau akan utuskan surat buatku
Aku terus menunggu tibanya kata cintamu

oh.. patah seribu hatiku
Bila mengenangkan segala yang kita bina bersama
Haruskah ku lupa kerna engkau telah pergi

Biar pergimu tanpa relamu
Namun hatiku tetap rasa
Kejamnya kau meninggalkanku dengan nota-nota
Cinta buat kita berdua bila kan ku bisa menerima ketiadaanmu
Kan ku bakar semua hapuskan semua kenangan

Patah seribu hatiku
Bila mengenangkan segala yang kita bina bersama
Haruskah ku lupa kerna engkau telah pergi

Sayangku mohon padamu
Segera tinggalkanku
Pergilah kau ke tempat yang kau tuju
Pasti ada hikmah buatmu dan juga buat diriku

Pergilah…

Nak tengok versi yang kedua klik sini ok.

Thursday, December 8, 2011

Belajar Bidang Seni Reka Dalaman (Interior Design)


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih kepada sesiapa yang melawati blog ini walaupun tuan punya blog asyik ikut *masa* dan *mood* untuk update blog. Maafkan daku. Maaf. Maaf... (Harap ucapan maaf ni ada bunyi *keikhlasan*. Huhu.) Apa pun jadi pada malam ini, aku kena juga update blog ni disebabkan satu soalan oleh pembaca blog bernama Fatihah Zulkaffli. Soalan beliau ialah:

"Sis..susahkah belajar course interior design? Boleh bagi tips tak?"

Untuk pengetahuan pembaca blog sekalian, aku dah lebih dua tahun habis belajar Interior Design atau Seni Reka Dalaman. Dulu aku belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia atau UIAM dan ada Ijazah Sarjana Muda Seni Gunaan dan Seni Reka (Seni Reka Dalaman) atau dalam Bahasa Inggerisnya Bachelor of Applied Arts and Design (Interior Design) atau AAD (ID). 


*Bukti ada Degree. Haha*

Sebelum dapat ambil kos ni, aku masuk Matrik UIA (sekarang dah panggil Pusat Asasi) ambil jurusan Senibina atau Architecture. Masa di matrik kami belajar perkara-perkara asas untuk design seperti sketches, drawing manually (melukis secara manual), modelling (buat model pakai *gam panas* yang akhirnya melekatkan jari - bukannya melekatkan model!) dan banyak lagi.

Selepas matrik barulah aku sambung degree ambil AAD. Dalam AAD ada lagi 3 kursus atau majoring yang ditawarkan iaitu Industrial Design, Conservation Design dan kos yang paling best yang aku tak pernah menyesal ambil - Interior Design

*Studiomates AAD yang BEST!*

Kenapa aku kata Interior Design atau ID best? ID ni best sebab bidang ni warna-warni. Haha. (Gelak jap. Betul ke statement ni?) Hakikatnya, di sebalik bidang yang berwarna-warni ini memang banyak sangat perkara yang perlu ditempuh dan dilalui semasa aku ambil kos ni. Jadi di sini aku kongsi serba sedikit pengalaman dan tips untuk belajar jurusan Seni Reka Dalaman ni.

1. Perlu banyak Idea dan Kreatif

Untuk pengetahuan semua, kos ID ni tak memerlukan seseorang itu perlu sangat pandai melukis. Sebenarnya tak guna juga kalau korang pandai melukis, tapi idea takde atau idea yang diberi tak logik! Idea tu mesti datang dengan research atau kajian terlebih dahulu sebelum nak diaplikasikan ke dalam design. Kalau idea korang hebat macam mana pun, contohnya nak buat rumah penuh dengan glass atau kaca tapi korang tak tahu macam mana nak construct atau boleh tak benda tu construct, tak guna juga kan? Sebab itulah pentingnya ada kesungguhan untuk membuat kajian sebelum design. 



Seorang pereka juga perlu belajar *meniru* sebelum mereka atau mencipta sesuatu. Kenapa aku cakap macam tu? Sebabnya idea yang kita fikirkan itu mungkin pernah direka dan dicipta oleh orang lain sebelum kita. Tapi kita tak patut tiru bulat-bulat idea mereka sebaliknya kita perlu meniru dan menjadikan ciptaan itu lebih baik dari yang sebelumnya. That's why, design means - solving problems!


Lagi satu, macam mana nak jadi kreatif? Jawapannya sama macam di atas. Perlu ada kesungguhan dan kerajinan dalam mencari idea iaitu melalui majalah, internet dan buku-buku design yang ada kat muka bumi ni. Masa zaman aku belajar dulu, hari pertama studio, dapat je 1st project, petang tu aku dan kawan-kawan dah pergi serbu library UIA untuk pinjam buku sebelum orang lain dapat dulu. (Maafkan saya ex-studiomates!) Tapi sekarang dah kerja setiap kali sebelum mula design, aku akan ambil masa satu hingga dua jam tengok gambar-gambar kat internet sambil sketch *bodoh-bodoh* kat atas kertas sebelum aku mulakan design di 3D.


*Contoh Image Board zaman aku belajar dulu.*