Tuesday, April 24, 2012

Kehilangan


Semuanya jadi dalam sekelip mata. Macam mimpi pun ada gak. Tapi siapalah kita untuk mengagak apa yang akan jadi pada masa depan kita. DIA lebih mengetahui segalanya. Subhanallah...

Aku rasa macam sekejap je kenal arwah mama Hafiz, yang sepatutnya menjadi ibu mertuaku insya-Allah hujung tahun ni. Baru tahun lepas aku datang rumah Hafiz dan jumpa mama, abah dan adik-adiknya. Dah 4 tahun hubungan kami, baru sedia nak jumpa keluarga masing-masing. Masa kali pertama jumpa rasa cuak juga. Maklumlah, nak kahwin dengan anak lelaki sulung dan tunggal dia. Siapa tak cuak kan?

Tapi alhamdulillah masa jumpa kali pertama tu semuanya ok. Aku lagi banyak berbual dengan abah Hafiz berbanding mama dia masa tu. Tapi aku tahu mama Hafiz memang baik. Kalau anak dia nak datang KL jumpa aku, dia yang hantar Hafiz sampai ke Melaka Sentral. Sebelum turun kereta mama dia akan pesan "baik-baik.." Adalah satu *nada* ni, Hafiz selalu ajuk masa kitorang berjumpa. Maksudnya dia kenalah ingat pesan mama dia tu masa jumpa aku. Huhu.


Tanpa diduga awal tahun hari tu mama Hafiz tiba-tiba sakit dan kena buat satu pembedahan untuk check sakit apa. Faham-faham sajalah hospital kerajaan. Nak buat pembedahan mesti kena tunggu giliran dulu. Patutnya boleh bedah awal lagi. Lambat sangat, dalam tengah bulan baru boleh operate dan bila dah tahu result, rupa-rupanya ada ketumbuhan di payudaranya. Dengan kata lain, dia disahkan menghidap barah payudara atau breast cancer.

Ada sesetengah barah yang boleh pulih dengan melakukan kemoterapi atau rawatan-rawatan lain. Macam arwah mak mertua kakak aku, lebih 4 tahun dia survive sebab barahnya masih boleh dibuat rawatan susulan. Tapi kes mama Hafiz ni lain sikit. Barahnya cepat sangat merebak. Jadi kena buat pembedahan seterusnya di Hospital Putrajaya walaupun sakit masa pembedahan pertama tu masih belum hilang.

Di Hospital Putrajaya, sekali lagi dia kena tunggu. Tapi kali ni kena tunggu doktor pakar pembedahan plastik pula sebab lepas buat pembedahan kena tampal atau ganti dengan kulit daripada bahagian lain. Tak boleh nak dibayangkan sakitnya kan. Tuhan je yang tahu...

Masa mama Hafiz kat Putrajaya tu aku datang melawatnya seorang diri tanpa ditemani sesiapa. Rupa-rupanya dia pun takde teman. Dia duduk sorang-sorang kat tepi tingkap dan bila nampak aku, dia langsung terkejut dan menangis kat aku. Aku ni dah memang semulajadi senang sangat menangis. Makanya sama-sama berendam air mata la... Aku rasa dia mesti tak sangka aku boleh datang sorang-sorang hari tu. Itulah kali pertama aku berborak lama dengan bakal mak mertua aku dan aku cuba sedaya-upaya bagi dia semangat supaya teruskan pembedahan sebab dia dah hampir putus asa masa tu bila doktor tak datang-datang untuk buat pembedahan. 

Dalam perjalanan aku balik, aku menangis seorang diri dalam kereta sebab memikirkan kenapalah orang yang tidak berkemampuan atau dengan kata lain tidak berduit untuk dapatkan rawatan di hospital dilayan macam ni? Aku kesian sangat kat dia bila dia kena tunggu lama sebelum dapat buat pembedahan dan sambil berborak-borak tu pun sekali-sekala dia ada mengerang sakit. 

Hampir sebulan mama Hafiz duduk di Hospital Putrajaya dan walaupun pembedahan berjaya, tapi masih ada baki kanser yang tak dapat doktor keluarkan daripada badannya. Aku datang kali kedua melawat dia dan masa tu Hafiz dan saudara-mara yang lain pun ada gak. Walaupun dia dah lemah lepas pembedahan tapi dia masih kuatkan semangat untuk naik kerusi roda turun ke lobi untuk jumpa anak bongsunya, Jiha.

Aku tahu mama Hafiz paling sayang Jiha sebab asal sebut je nama Jiha, mesti dia menangis. Kesian Jiha, baru darjah dua. Dia macam tak faham langsung apa yang jadi. Nak elakkan dia cari mama dia, abah dia belikan dia game supaya dia ralit kat game tu je. Huhu.

Lepas keluar dari Putrajaya, mama Hafiz balik ke rumah dan siang malam semua ahli keluarga Hafiz jaga mama dia. Hafiz sendiri tidur sebelah mama dia, bagi minum air, cucikan luka lepas pembedahan dan etc. Aku kadang-kadang rasa serba salah ambil masa Hafiz tapi aku tahu dia dah buat yang terbaik untuk mama dia. Kebetulan 8 haribulan April hari tu aku datang Melaka sebab ada urusan selama 4 hari, 3 hari aku dapat gak lawat mama Hafiz di rumah dan hospital.

Dalam salah satu hari tulah mama Hafiz pegang tangan aku. Dia seolah-olah beritahu aku yang dia merestui hubungan kami. Dia suruh jaga anak dia baik-baik. Masa tu aku suruh dia kuat semangat. Kena kuat supaya dapat tengok kami kahwin, tengok cucu-cucu dia.. Pastu ada sekali tu dia cakap, "Nasib baik Hafiz dapat Ez..." Dia siap kata nak buat kenduri cepat, buat sebelah aku pun jadilah...tapi...


Kali terakhir aku lawat dia masa tu dia masuk semula ke Hospital Melaka sebab nak cuba buat rawatan kemoterapi. Malangnya dia terkena jangkitan demam kuning sebab ditempatkan di wad kelas bawahan yang takde air-cond dan menyebabkan jangkitan lekas merebak. Aku tengok dia kat hospital tu masih kuat, masih boleh bercakap, duduk dan senyum. Paling tak boleh aku lupa bila dia bersandar kat bahu Hafiz. Sedap je dia lentok dan aku rasa comel sangat gaya mama dia macam tu. Mesti dia rasa bersyukur sangat dapat anak macam Hafiz yang jaga dia siang dan malam. Lepas tu suami dan ahli keluarga yang lain sentiasa ada bagi support kat dia...

Namun segalanya ketentuan Yang Maha Esa. Dari DIA kita datang, kepada DIA juga kita kembali.. Dalam pukul 1.30 pagi 22hb April 2012, masa aku tengah berbual telefon dengan Hafiz yang baru sejam balik dari hospital, pintu bilik Hafiz diketuk. Abah Hafiz beritahu mama dia dah tak sedarkan diri. Beberapa minit kemudian Hafiz telefon aku balik dan beritahu mama dia dah tiada.

Alhamdulillah, ucapan terakhirnya sebelum pergi ialah 'Allah' walaupun beberapa hari sebelum tu dia langsung tak boleh bercakap dan bangun. Nak minum air setitik pun tak mampu Hafiz kata. Mungkin disebabkan semua ahli keluarganya redha atas pemergiannya, dia langsung dapat pergi dengan tenang.


Aku pergi melawat jenazahnya buat kali terakhir dengan mak aku. Terharu aku mak aku sanggup teman aku pergi PD, kampung arwah mama Hafiz yang dikebumikan di sana pada hari itu. (Terima kasih mak, sayang mak...) Nasib baik tak sesat sebab aku bukan biasa sangat memandu jauh-jauh ni. (Pergi Putrajaya pun asyik sesat je. T_T)

Masa kenduri arwah tu ramai sangat orang datang melawat jenazahnya buat kali terakhir. Aku pujuk Hafiz yang menangis sekali-sekala dan cakap, betapa ramainya orang sayangkan mamanya. Sebab mama dia memang sangat baik. Kena ingat tu Hafiz!

Tujuan aku coretkan dalam blog perkara ni supaya pada masa depan, anak-anak kami dapat baca tentang kisah arwah nenek mereka. Insya-Allah. Aku jarang tengok orang yang rapat dengan aku sakit. Apa yang jadi kepada Hafiz dan keluarganya ni buat aku jadi bertambah menghargai orang-orang di sekeliling aku terutama mak aku.

Jadi anda semua hargailah mak kita sementara dia masih ada. Jangan abaikan dia. Dengar dia bercerita walaupun kisahnya panjang berjela. Teman dia makan walaupun kita dah kenyang. Cuba sedaya-upaya jangan lawan cakap dia walaupun kita tak setuju dengan pendapatnya. (Pesanan khas buat diri sendiri. Huhu.)



Satu lagi pesanan aku, belilah Insurans Kesihatan sementara masih sihat ni terutama kepada mereka yang bekerja dalam sektor swasta. Aku sendiri ada Insurans MAA Takaful. Setahun dalam RM700 lebih aku bayar (ansuran) sebab aku pun tak mampu nak bayar sekali gus. Jangan hidup harapkan uabat-ubat sampingan je. Aku tahu ramai suka makan suppliment itu ini. Tapi zaman sekarang ni sakit ada pelbagai jenis. Kalau dia nak datang, datang gak. Jadi silalah *sediakan payung sebelum hujan* ok.

Akhir sekali, tolong sedekahkan al-fatihah buat arwahyarhamah, Puan Masitah bt Nasir. Seorang ibu dan isteri yang penyabar, baik hati dan penyayang. Semoga rohnya dicucuri rahmat yang Esa dan dia tergolong dalam golongan beriman. Amin..


8 comments:

  1. Innalillah kak..

    Sayu betul baca entri kali ni. Kat dashboard blogger nampak tajuk entri dah berderbar dah rasa. Bila baca.. Hurmmm.. T__T sedih sgt2..

    Be strong kak Aira. Ustaz kata, bila seseorang tu meninggal dunia, itu adalah waktu terbaik untuk dia meninggalkan dunia. Mungkin tugas dia di dunia dah habis macam tu. Wallahualam. Apa-apahal pun, semoga kak aira & hafiz kuatkan semangat.. & semoga kekal dengan tarikh perkahwinan.. =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks Sophie..hari tu akak dah cite kat Sophie kan pasal benda ni. Tak sangka ajalnya tiba juga.Sekarang memang masa untuk kuat dan tabahkan diri.Doakan dia tenang di sana k..thank you..
      P/s:Harap2 masa akak kawen Sophie masih ada kat Malaysia la ye...

      Delete
  2. DOAKAN DIA BAHAGIA DI SANA... SEMOGA ROHNYA DICUCURI RAHMAT.. AMIN.

    ReplyDelete
  3. Takziah. Walaupun aira dan pasangan tak sempat langsung waktu arwah ibunya ada, sekurang2nya hubungan kalian direstui arwah ibunya. Tabah ye aira.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks amy..memang sampai sekarang menahan kesedihan bila fikir kita dah takde mak mertua lepas ni..tapi kena gak redha.setiap yang berlaku,pasti ada hikmahnya.thanks again dear

      Delete
  4. Saya faham bagaimana perasaan Hafiz kerana mak saya juga pesakit barah payudara tahap 4.

    Saya nak tanya, ok ke rawatan barah di hopital putrajaya?

    Sebab mak saya baru bercadang nak pindah ke hospital putrajaya dari hospital pantai ayer keroh. Mungkin sebab kos terlalu tinggi.

    Mak saya pesara kerajaan. Jadi tak perlu bayar kos rawatan kan?

    TQ.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Oh, takziah saya ucapkan buat awak dan keluarga.Hospital Putrajaya memang hospital yang bagus dari segi rawatan dan persekitaran yang selesa.arwah mak Hafiz hari tu kena tunggu lama kat situ sebab arwah kena buat pembedahan plastik untuk salin kulit dari bahagian badan yang lain, ke bahagian yang sakit.Penjawat awam/kerajaan mmg tak perlu bayar apa2.Semoga awak dan keluarga awak kuat.Banyak2 doa dan support mak awak ok.Masa arwah mak hafiz ada,kami selalu bagi makan *buah durian belanda* & amalkan beberapa surah (ada kat internet).Mungkin ikhtiar dan kesungguhan ahli keluarga yang lain,insya-Allah mak awak akan kuat.Saya doakan yang terbaik untuk family awak.amin~

      Delete

Oh,anda sangat comel bila anda tinggalkan pesanan!