Saturday, July 3, 2010

5 JIWA. 1 RASA. (EMPAT)

FARAH AFEEFA

“Ada rasa aneh yang datang. Ada hati irama berdendang. Suka.”

Aku dan Kak Nani sedang elok mengambil lauk di sebuah gerai makanan berhampiran pejabat kami. Sebaik menghampiri kaunter untuk membayar harga makanan, seseorang menyapa Kak Nani dari belakang.

“Muaz!” Ujar kak Nani dengan nada gembira. “ Apa hang buat kat sini?”

“Beli basikal.” Muaz berjenaka. “Dak eh, beli makananlah tadi. Boleh terserempak Nani kat sini.” Terlontar sedikit loghat utara daripada Muaz.

Aku yang terkesima apabila melihatnya hanya diam. Tak dapat digambarkan betapa hati ini berdegup lain macam ketika itu. Muaz pula pandai bermain mata. Hanya sejenak dia menoleh ke arahku, selebihnya lebih tertumpu ke arah Kak Nani yang leka bertanya macam-macam kepadanya.

“Lama eh dak jumpa hang. Apa cerita?” Kak Nani menyoal sambil bergerak ke meja makan.

“Biasa ja Nani. Hang kerja mana? Aku kebetulan ja lalu sini. Ada appoinment dengan client kat bangunan tu. “ Ulas Muaz. Jari telunjuknya menunjukkan arah bangunan yang dia sebutkan.

“Oh, jumpa client! Aku pun kerja kat bangunan tu juga. Advertising company. Hang dah makan ka? Kalau belum, join kami.” Bersungguh Kak Nani mengajak. “Ni Farah, kawan aku.”

Aku dan Muaz saling mengangguk sesama kami. Entah kenapa dua-dua tak mahu memberitahu Kak Nani bahawa kami kenal antara satu sama lain.

Mereka kembali berbual-bual kosong dengan loghat utara yang menunjukkan mereka sebenarnya sudah kenal lama. Selang beberapa minit kemudian, Muaz meminta diri dan beredar dari situ.

Kami mula menikmati makanan selepas terbantut akibat kedatangan Muaz tadi. Aku menyuap nasi berlauk ikan keli masak sambal dan sayur kangkung tumis. Tindakanku tak sama dengan riak hatiku yang sebenarnya. Melihat muka Muaz tadi membuatkan aku jadi tak senang duduk.

“Muaz tu ex-schoolmate Kak Nani. Best student tu!”

Tanpa dipinta Kak Nani becok bercerita. Kak Nani ni macam tahu-tahu aku sedang terfikirkan Muaz. Mulalah ditambah hal peribadi Muaz yang tak pernah aku bongkar.

“Dia tu pemuda harapan kampung dia. Walaupun kampung di Perak, tapi sekolah di Kedah. Sebab tu ada loghat utara tu. Lepas tu, setahu Kak Nani, dialah orang pertama dari kampung dia yang belajar hingga ke luar negara.” Kak Nani masih mahu menambah puji untuk Muaz. “Dia tu baik orangnya. Tapi pelik, sampai sekarang belum berpunya.” Ujar Kak Nani lalu minum milo ais. Mungkin kering tekaknya bila bercerita panjang.

“Kak Nani tak nak try mengorat dia ke?” Acahku, bergurau. “Tadi tengok mata Kak Nani bersinar lain macam bila nampak dia.” Aku ketawa kecil.

Kak Nani turut bantai ketawa. “Bukan Akak tak nak. Muaz tu hensem sangatlah Farah. Tak sesuai dengan Kak Nani yang montel ni.”

Itulah Kak Nani yang aku kenal. Suka menggelar dirinya montel. Padahal montelnya bukan membuatkan dia kurang cantik, malah bertambah comel.

Comel. Bila teringat perkataan itu, kepala langsung teringat Muaz. Muaz yang ‘comel’. Aku tersenyum seorang diri.

Malam itu aku tinggal seorang di rumah. Dua orang teman serumahku keluar dating dengan teman lelaki masing-masing. Maka tinggallah aku yang ‘single’ ini seorang diri. Elok juga Lina yang kecoh tiada dan Timah yang ‘hantu’ tengok TV keluar pada masa yang sama. Boleh aku duduk aman di rumah ini buat seketika. Lagipun malam ini ada banyak cerita best di TV.

Sempat aku membancuh teh panas untuk digabungkan dengan biskut cream crackers bergula. Gabungan ‘ideal’ itu boleh dikunyah sambil menonton TV. Wah, sungguh bahagia aku pada malam ini seorang diri!

Kebahagiaan yang kusangka bertahan lama, tiba-tiba diganggu dek bunyi telefon yang kuletak jauh dari tempat aku duduk. Dengan malas, aku pergi juga ke meja kayu tepi pintu untuk mengambil telefon bimbitku.

Nombor yang tidak kukenali masuk. Nombor rumah atau pejabat. Bank manalah pula yang telefon aku malam-malam ni? Aku rasa duit kereta aku dah lunaskan. Erm…

“Hello, assalammualaikum. Boleh saya bercakap dengan ‘Puan’ Farah Afeefa?”

“Waalaikumsalam. Yes, Farah’s speaking. Siapa ni?”

“You dah kahwin ke Farah? Betul you dah jadi ‘Puan’? Hancurlah harapan I…”

“What?” Aku terkejut dengan kenyataan tersebut sehingga frekuensi suaraku naik sedikit.

Ada bunyi ketawa lahir dari celah corong telefon. Nada tawa tersebut mengingatkan aku kepada seseorang. Lalu, hati ini berdendang lagi. Lagu yang aneh. Bukan lagu rock, jazz ataupun hip hop. Tapi lagu lain.

“Farah, I ni Muaz. Sorry to disturb you. You jangan marah okay. I sengaja nak bergurau dengan you.” Muaz bersuara normal. Mungkin dia takut aku marah atas kata-katanya sebentar tadi.

“Oh, you Muaz! I ingatkan siapalah.” Aku buat-buat tak tahu. Walhal ketawanya kini sudah sinonim untuk aku cam bunyinya. “Anyway, you dapat nombor I daripada siapa?” Janganlah Asyraf! Pintaku dalam hati.

“I dapat daripada Nani. Sorry tau Farah. You jangan marah Nani pula. I yang merayu untuk dapatkan nombor you daripadanya. Sejak I nampak you siang tadi, hati I tak boleh terima kenyataan yang I masih belum dapat nombor telefon you.”

Apa yang Muaz ungkapkan, sememangnya boleh membuatkan hatiku cair. Tapi hati perempuanku juga perlu bijak menilai sama ada kata-kata yang diluahkannya itu ikhlas atau tidak. Aku tak mahu cepat percaya. Itu prinsipku.

“Jadi sekarang you dah dapat nombor I, you puas hati ke? Satu lagi, kenapa pakai nompor telefon rumah?”

“This is my office number. Actually I’m still at the office. Ada banyak kerja nak diselesaikan. Tapi I memang puas hati dapat nombor telefon you. Lepas ni, bolehlah I kacau-kacau you.” Muaz mengusik aku lagi.

“Nombor handphone you berapa?”

“Nanti I email you.”

Bijak Muaz memutar belit permintaanku. Dah dapat nombor telefon, mahu email pula. “Nak email I pulalah tu. You nak buat apa dengan email I? Nak forward gambar-gambar you ke?”

Muaz menjawab sambil ketawa. “Haha. Kalau you nak gambar-gambar I, I memang akan bagi. You ni macam tahu-tahu niat I memang nak bagi you gambar I. Saja bagi you tengok, nak ubat rindu you kepada I!”

“Thanks a lot Muaz! I pun tak ingin sangatlah nombor you. Sebab I pun boleh minta daripada Kak Nani!”

“Eh, you sebut ‘Kak Nani’, how old are you actually?” Tanya Muaz, kaget.

“27, you?” Soalku kembali.

“29, I sebaya Nani.”

Bermula daripada situ, kami mula menyoal sesama sendiri, pelbagai soalan peribadi. Aku sungguh senang dan gembira bila dapat berbual dengan Muaz, mengetahui secara mendalam latar belakangnya termasuk keluarga dan kerjaya sebenar Muaz. Pada detik itu aku langsung tidak peduli dia adalah sepupu kepada Asyraf. Aku cuma ingin berbual dengannya, berkongsi cerita dan mendengar suaranya.

Kerana terlalu leka berbual dengan Muaz, air teh yang kubancuh sudah hilang haba. Biskut cream crakers di dalam balang sikitpun tak kusentuh. Malah TV yang terpasang menyiarkan cerita yang best, langsung tak kulayan jalan ceritanya.

Semuanya akibat penangan lelaki bernama Muaz Hakimi Bin Husin. Itu nama penuhnya. Baru aku tahu.

Friday, July 2, 2010

5 JIWA. 1 RASA. (TIGA)

FARAH AFEEFA
“Peluang pertama untuk mencuba. Peluang kedua untuk menduga. Tapi peluang ketiga, mungkin tiada…”
“Please Farah, Asy minta ni last. Kita jumpa berdua saja. Asy betul-betul minta maaf atas apa yang berlaku hari itu. Asy ikhlas nak berkenalan dengan Farah. Tolonglah jangan tolak permintaan Asy…”
“Sudahlah tu Asy, I tak minat nak kenal you!” Aku membalas berkali-kali dengan ayat yang terus menolak pelawaan Asyraf untuk bertemu buat kali kedua dengannya.
Selepas apa yang terjadi tempoh hari, aku sudah hampir bernekad supaya melupakan hasrat untuk mengenali Asyraf, lelaki yang menjadi pilihan emakku untuk dibuat menantu. Hal pertemuan yang lepas telah kukhabarkan kepada Mak tapi responnya, amatlah mendukacitakan!
“Baru jumpa sekali dah tolak! Apalah nak jadi dengan kamu ni? Memilih sangat. Jangan tak kahwin sampai ke tua, sudahlah Farah.”
Itu kata-kata pedas Mak yang terpaksa kutelan sampai hampir manik air mata ini tumpah kerana kesakitan kata-katanya itu. Bukan Farah tak nak kahwin Emak, tapi jodoh tak sesuai. Ingin kubalas jawapan itu buat Mak tapi hatiku menolak untuk meneruskan bicara. Hati Mak dan aku lain. Mesti ada sebab dia berkata begitu dan mungkin tiada niat dia hendak memaksaku supaya memberi peluang buat Asyraf.
Asyraf. Kenapalah engkau yang menjadi pilihan Mak? Bukan orang lain? Aku mengeluh sendiri.
Hatiku yang begitu lembut ini memang sangat sukar bila hendak menolak harapan orang. Kalau dah dipujuk berkali-kali, dengan rayuan yang tak henti-henti, aku jadi kasihan pula dengan Asyraf. Seraya dengan hati yang berat, aku beri peluang kedua untuknya.
Tempat untuk perjumpaan kedua kami berlangsung di sebuah kedai mamak ketika orang ramai seronok menonton perlawanan Liga Perdana Inggeris antara pasukan Manchester United dengan Liverpool. Aku yang sememangnya penyokong Red Devils tidak kesah apabila terpaksa bertemu dengan Asyraf di situ walaupun orang sesak membanjiri ruang legar restoran.
“Farah tak kesah kan, jumpa di sini? Asy saja nak bawa Farah tempat Asy biasa lepak dengan kawan-kawan.” Asyraf tersenyum memandangku. Kali ini dia nampak lebih mesra berbanding sewaktu pertemuan pertama kami dulu.
“It’s okay. Saya layan juga bola ni.” Balasku sambil sempat menjeling kedudukan perlawanan yang sedang berlangsung. Baru 0-0. Minit ke-10. Masih awal.
Asyraf kelihatan teruja mendengar pengakuanku. “Wah, baguslah tu! Farah support team mana?”
“Tu.” Aku menjuih bibir ke arah televisyen. “I support Man U.”
“Haha. I Arsenallah dear. Tak genglah kita.” Kemudian Asyraf memanggil seorag pelayan dan memesan minuman dan makanan. Diikuti oleh aku yang memesan roti telur dan the ais sahaja malam itu.
“Sikitnya Farah makan. Kalau Mary, mesti dia order macam-macam.” Laju mulut Asyraf bercerita tentang Mary.
Eh, mamat ni! Tengah keluar dengan aku, disebut nama perempuan lain pula! Getusku sendiri.
“Kebetulan Asy sebut nama Mary ni, dia apa khabar? Sihat?” Sengaja aku mengungkit cerita tentang Mary. Idea di kepala untuk berbual, boleh tersangkut pula bila nama Mary terpacul tiba-tiba.
“Oh, dia di Sabah sekarang. Ada Fashion Show. Farah tau tak dia ada Modelling Agency. Asiah pun kerja dengan dia sekarang.” Ulas Asyraf lagi. Bersungguh benar dia bercerita. Macamlah aku excited bila mendengar nama adiknya itu!
“Esok Asy pergi mana?” Cepat saja aku menukar topik. Nama Mary atau Asiah perlu aku buang daripada perbualan kami dengan segera.
“Esok Asy pergi main futsal dengan kawan-kawan. Farah nak ikut? Selalunya Mary teman Asy. Tapi minggu ni dia pula takde.”
“Gol!” Terdengar sorakan dari luar kedai. Skrin besar mempamerkan aksi ulang tayang gol yang dijaringkan oleh pemain Manchester United, Ryan Giggs pada minit ke-27.
Aku tersenyum puas. Mujur aku tak jerit sama bila gol masuk!
“Hai, Farah senyum bila tengok gol ke?” Asyraf perasan aku senyum.
Aku angguk. Minuman yang baru sampai, aku hirup dengan straw. “Minumlah.” Jemputku.
“You marahkan Asy lagi ke Farah?”
Persoalan tiba-tiba yang keluar daripada mulut Asyraf itu buatkan aku terpana seketika. “Marah? Kenapa pula?”
“Pasal hari tu. My mom said, you don’t want to see me again. Is that true? So, kenapa Farah masih jumpa Asy malam ni?”
Aduhai, mesti emak dia tahu cerita ni daripada emak aku. Walhal aku cuma kata aku tak nak jumpa Asyraf kalau tiada hal penting saja. Eh, samalah tu kan? Aku memang tak nak jumpa Asyraf. Tapi kenapa aku datang malam ni?
“Entahlah.” Balasku, ringkas. Aku mengelak untuk memanjangkan persoalan itu dengan menyuap roti telur yang dicicah kuah dal ke dalam mulut.
Seterusnya kami hanya berbual-bual kosong. Tiada isu yang melibatkan hal 3 ‘P’ iaitu perasaan, peribadi atau personaliti diungkit lagi. Aku dan Asyraf sama-sama hilang kata untuk mewujudkan suasana mesra. Keadaan semakin membosankan bila telefon bimbitnya berbunyi dan dia hilang lagi, meninggalkan aku sendiri menghabiskan makananku tadi.
Sekali-sekala, mataku sempat kulemparkan ke arah skrin TV untuk melihat perlawanan yang masih berbaki lima minit. Namun tanpa aku sedari, seseorang muncul di hadapanku tiba-tiba sambil tersenyum suka.
“Hai, Farah!”
Aku hampir meloncat terkejut melihat Muaz di depan mata. “Muaz, apa you buat kat sini?”
“I tengok bola dan sempat curi-curi ‘skodeng’ you dari jauh.” Muaz mengenyitkan sebelah matanya tanda mengusik. Tapi bila nampak mukaku yang sudah bertukar warna, dia segera menukar soalan. “Eh, mana Asy?” Sempat matanya liar mencari-cari di mana sepupunya berada.
“He’s talking on the phone.” Jawabku acuh tak acuh. Aku menghirup baki air di dalam gelas. Baru aku hendak bersuara, Asyraf datang tergesa-gesa ke arah kami.
“Ha, baguslah kau ada kat sini Muaz. Tolong aku hantarkan Farah pulang boleh?”
“Kenapa?” Tanya aku dan Muaz serentak.
“Mary. Assistant dia tertinggal laptop dia. Banyak kerja di dalam tu. So, Asy kena ambil flight emergency ke Sabah malam ni. Sorry Farah.”
Aku cuma tunduk dan angguk. Terus aku malas untuk membalas cakap Asyraf itu. Inilah kali terakhir aku jumpa kau Asyraf. Noktah. Ikrarku dalam hati.
“Takpe, aku hantar Farah balik nanti. Kau geraklah dulu.” Tenang Muaz bersuara setelah melihat keadaanku yang berubah muram.
Muaz tentu tahu dan nampak jelas riak mukaku yang kelihatan bengang disebabkan oleh perbuatan Asyraf. Aku pun silap, tak naik kereta sendiri malam itu. Tak pasal-pasal malam ini Muaz pula yang hantar aku balik. Naik kereta dengan Muaz lagi.
“Farah, are you okay?” Muaz menyoal sebaik Asyraf bergegas pergi.
Aku buat-buat kusyuk menatap TV namun kukalihkan juga mataku untuk menjawab soalannya. “I okay. Jomlah balik.”
“Eh, nantilah dulu!” Muaz laju menghalang aku daripada terus bangun. “Teman I makan kejap boleh? Tadi I minum teh O je.”
Sekali lagi aku angguk. Muaz senyum. Nampak lubang lesung pipit di sebelah pipi kanan. Comel. Pujiku di dalam hati. Ketika itu aku baru perasan, dia sedang memakai jersi merah pasukan Manchester United.
“ Your favourite team menang malam ni, mesti you happykan?’
Muaz pandang aku, lambat menangkap apa yang aku maksudkan. Tapi bila dia sedar apa yang aku sedang perhatikan, barulah dia faham. “Oh, this jersey!” Dia ketawa. “You perasan pula Man U menang tadi?”
“I tengok gol tadi, cantiklah!”
Muaz tertawa lagi. Sekarang aku perasan, Muaz adalah seorang yang sangat suka ketawa. Markah ‘comel’ kedua diriku buatnya malam ini.
“You layan bola ke Farah? I’m impressed! Which team did you support? Or which ‘handsome’ player that you admire?” Sebelah kening Muaz terangkat. Mesti dia fikir aku meminati bola sepak disebabkan rupa paras pemainnya. Dia silap.
“Of course Manchester United. Somehow, I support the whole team. I suka Ryan Giggs, Paul scholes, Wayne Rooney, Michael Carrick…”
“Hoho, okay!” Muaz angkat kedua-dua belah tangan seolah-olah menyuruh aku berhenti daripada menyebut nama kesemua pemain Red Devils itu. “Bagusnya you ni. Selalunya I tengok kebanyakan perempuan minat bola sepak disebabkan pemainnya. Tapi you lain. I kagum.”
Bila makanan yang dia pesan sampai, kami terus rancak berbual. Kami bisa berbual tentang pelbagai topik tak kira hal berkaitan bola sepak, politik, isu semasa tapi tidak langsung menyentuh hal peribadi. Muaz sangat kontra dengan sepupunya, Asyraf. Dia bijak mengolah topik untuk dibualkan sehingga aku rasa senang ketika berbual dengannya. Nampaknya malam itu aku lagi banyak habiskan waktu mengenali diri Muaz dengan lebih akrab, berbanding Asyraf, jodoh yang Mak kenalkan buatku.
Lewat pukul 11.30 malam, barulah Muaz ajak aku beredar dari situ. masa berlalu dengan begitu pantas. Mujurlah aku tidak bekerja esok.
“Farah, you nak tak ikut I pergi main futsal esok?”
“Tak naklah.”
“Why?” Muaz yang sedang memandu memandangku sekejap. “You tak suka main futsal?”
Aku geleng. “I ada hal esok. Sorry.” Lekas aku mengelak. Tak sedap pula aku untuk keluar dengan Muaz lagi. Ini dah salah konsep ni! Bukankah aku sepatutnya berdampingan dengan Asyraf? Rasa bersalah mula terbit dari hati.
Muaz pula langsung tidak membalas, sebaliknya dia terus statik memandu. Suasana menjadi sunyi. Kami sama-sama melayan muzik alunan perlahan yang berlagu di corong radio. Aku rasa kurang enak bila dia senyap begitu. Dia marah ke? Kecil hati kerana aku kerap menolak permintaannya?
Ada satu perasaan lain juga tiba-tiba datang singgah. Bahagian hati sakit semacam. Sempat mataku melirik ke arahnya yang nampak tenang memandu sehingga sukar sangat untuk aku baca apa yang dia fikirkan pada waktu itu. Terus buat hatiku jadi tambah sakit.
Sebaik tiba di hadapan rumahku, barulah aku berani bersuara. “ Thanks Muaz.”
Muaz angguk. “Welcome. See you again. I hope.” Dia paparkan senyum tapi senyumannya tidak semanis yang aku pernah tengok sebelum ini.
Aku cepat-cepat keluar dari perut kereta. Sedikitpun aku tak berani memalingkan mukaku untuk menghantar Muaz pergi. Sebenarnya pada waktu itu, hatiku mula menyerap satu rasa. Rasa yang aku sendiri kurang cerat untuk apa dan apa maknanya….

Wednesday, June 30, 2010

5 JIWA. 1 RASA. (DUA)

FARAH AFEEFA

“Cinta itu buta. Tapi hati tidak.”

Aku jadi cemas apabila mak di kampung beria mahu menjodohkan aku dengan Asyraf, abang musuh ketatku di zaman sekolah, Asiah. Semasa di sekolah dulu aku dengan Asiah selalu bertekak di Mesyuarat Pengawas, membahaskan isu-isu yang berbangkit dan sengaja diungkit lalu menyebabkan kami tak pernah sebulu.

Pernah satu masa aku mempertikaikan kenapa ada segelintir pengawas sekolah yang dibenarkan untuk keluar awal pada waktu rehat sedangkan ketika itu, mereka tidak bertugas. Asiah dengan lantang menjawab pertikaian aku itu dengan mempertahankan kawan-kawan dan dirinya yang keluar awal disebabkan mereka perlu mengawal kawasan kantin yang sesak pada waktu rehat. Tapi aku tetap dengan prinsipku. Tak suka mereka menggunakan jawatan yang mereka ada untuk kepentingan diri sendiri. Jadi aku dan Asiah terus bertelagah dalam mesyuarat tersebut sehinggalah dileraikan oleh Ketua Pengawas Sekolah.

Satu sekolah anggap kami adalah ‘lagenda’ musuh ketat di sekolah itu disebabkan kami berada di dua puak yang berbeza. Tambahan Asiah merupakan anak Ketua kampung Parit Lima, manakala aku merupakan cucu Ketua Kampung Parit Dua. Hubungan tidak sebulu kami berdua hampir diketahui satu kampung tetapi apabila aku berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti, kisah tersebut dilupakan begitu sahaja.

Jadi bila usul Mak untuk menjodohkan aku dengan Asyraf, yang kini bertugas sebagai seorang Akauntan di Telekom Malaysia, aku begitu pantas menolak.

“Mak ni, takkan orang nak kahwin dengan si Asyraf tu Mak. Mahu orang bersilat dengan Asiah masa kenduri kahwin kami nanti?” Aku berusaha meluahkan rasa kepada Mak yang masih tak faham-faham kenapa aku menolak lamaran Asyraf.

Mak membidas. “Eh, kamu nak bersilat dengan Asiah tu kenapa pula? Bukannya kamu nak berkahwin dengan dia, tapi abang dia! Dulu-dulu punya perbalahan, janganlah sampai ke tua berterusan. Buruk benar tu Farah!”

Aku menarik muka masam. Sempat pula Mak mengutuk sikapku yang degil ini. “Orang bukan tak nak kahwin Mak, tapi Mak takde calon lain ke, selain Asyraf?”

“Takde. Setahu Mak, Asyraf tu je, jejaka berpendidikan tinggi di kampung ni yang masih bujang. Manakala kamu tu jela, anak dara di kampung ni yang belum kahwin-kahwin. Kan elok tu, sekufu. Sedar sikit Farah, umur kamu tu dah nak dekat 30 tahun. Tak kahwin-kahwin, nanti orang bilang apa pula.”

Aku sebenarnya paling tak suka bila soal usia menjadi isu dalam soal perkahwinan. Pantang umur dah lanjut, mesti soal kahwin diajukan. Bukannya nak tanya, kerja apa sekarang? Tinggal di mana sekarang? Maknanya, aku lebih selesa orang bertanya tentang soal kerjaya atau soalan lain berbanding soal kahwin! Aduh, beban otak aku berfikir!

“Kalau kamu ada calon lain, Mak tak kesah Farah. Tapi kamu jangan tak kahwin. Mak ni teringin juga nak menimang cucu daripada benih kamu.” Luah Mak sebelum masuk ke dalam bilik, menyimpan kain baju yang baru habis dilipat.

Perbualan itu berakhir di situ tanpa kata putus sama ada aku sudi menerima pinangan Asyraf ataupun tidak. Sehinggalah satu panggilan telefon yang tak dikenali masuk ke dalam telefon bimbitku.

“Hello, Farah’s speaking.”

“Farah, ni Asyraf. Abang Asiah. Kenalkan?”

Aduhai, kenapalah dia telefon masa aku tengah sibuk ni? Lepas tu, kenapa dia mesti sebut nama adiknya? Aku mengomel di dalam hati tapi lekas berlagak professional untuk meneruskan perbualan telefon itu.

“Ya, saya kenal. Encik Asyraf telefon ada apa ya?”

“Alah, tak perlulah ber’encik-encik’ dengan saya. Panggil Asy dahla. Eh, Farah free tak malam ni? Boleh saya jumpa Farah sekejap?”

Eh, mamat ni! Baru sekali bercakap telefon dah ajak jumpa? Aku cukup tak suka lelaki begini. Walhal aku bukannya kenal dia sangat. Muka dia pun aku dah lupa. Rasanya dulu kurus dan skema, entah-entah sekarang dah berubah jadi lain. Ish, tak nak aku!

“Maaflah Asy, saya tak free buat masa sekarang. Sibuk. Ada dateline project. Anyway, how do you get my number?” Sengaja aku membalas dalam Bahasa Inggeris. Bukan riak. Tapi supaya mudah menyampaikan rasa kurang senang aku untuk menjawab panggilannya.

“Asy dapat nombor telefon Farah daripada Mak Farah. Dia yang suruh Asy berkenalan dengan Farah dengan lebih rapat. Tapi, Farah ni macam jual mahal saja…”

Aku jadi terpukul dengan kata-kata Asyraf itu. Aku bukan jual mahal okay! Tapi aku memang tak ‘jual’ langsung diriku ini untuk lelaki bernama Asyraf!

Namun apabila aku memikirkan hati Mak yang begitu berharap aku berkahwin cepat, membuatkan egoku tiba-tiba surut. Apalah salahnya aku menggembirakan Mak dengan pergi bertemu dengan jodoh pilihannya ini sekali? Kalau tak berkenan, aku larilah! Haha. Sempat aku ketawa sendiri.

Oleh sebab itu, janji temu aku dengan Asyraf berlangsung dua malam berikutnya di Restoran Nasi Lemak Antarabangsa. Aku yang memilih lokasi itu kerana tiba-tiba tekakku terasa nak menjamah nasi lemak paru yang enak di situ. Aduhai Cik Farah, nak makan ke, nak ‘dating’ ni?

Malam itu aku berpakaian simple dengan blaus labuh berwarna biru laut bercorak bunga tulip halus dan seluar slack berwarna hitam. Tudung selendang biru laut kulilitkan di kepala dan baki lilitan tudung elok menutup dada. Memang sepatutnya tudung itu patut dipakai menutup bahagian dada. Itu sudah termaktub dalam kitab Allah dan adab memakai tudung seperti ini sering dilupakan oleh orang pada zaman sekarang. Bertudung tapi dada terbuka untuk tatapan mata yang nakal. Rugi betul!

Aku sengaja memilih meja yang berhampiran dengan pintu supaya mudah untuk Asyraf mengesan kehadiranku di situ. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 8.30 malam. Patut kelibat Asyraf sudah nampak pada detik itu. Tapi hampa. Dia tiba lewat sepuluh minit dari waktu yang dijanjikan.

“Sorry Farah, Asy lambat sebab pick-up dua orang member Asy ni. Kenalkan, ini Muaz dan ini Mary.”

Aku sedikit terkejut apabla diperkenalkan dengan dua orang yang menemani Asyraf pada malam itu. Aku ingatkan pertemuan itu hanya membabitkan kami berdua, tapi Asyraf boleh bawa teman pula!

Takpelah, aku pun sebenarnya rasa elok ada orang lain bersama kami. Taklah aku kekok bila berbual dengan Asyraf. Tapi nampaknya Asyraf lebih banyak berbual dengan wanita bernama Mary ini berbanding denganku yang lebih banyak berdiam diri. Aku senang menikmati dan menjamah nasi lemak yang aku idamkan sejak dua hari yang lepas daripada berbual mesra dengan Asyraf, yang baru bertanya tiga soalan kepadaku. Macam orang asing pula aku rasa.

“Asy, what do you think. Which phone should I sell? My iPhone or this Blackberry?” Tanya Mary, beria menunjukkan kedua-dua telefon ke arah Asyraf. “ I sayanglah dua-dua phone ni, tapi ada banyak pun, tak guna juga!”

“Alah, susa-susah Mary, you bagi jelah I satu phone you tu!” Orang lain yang ditanya, orang lain yang menjawab. Muaz menghulur tapak tangannya ke arah Mary. Sedangkan Asyraf hanya tersenyum simpul.

“You jangan beranganlah Muaz! Kalau I ada 10 telefon pun, I takkan beri kepada you, okay. You ada duit, you belilah sendiri!” Mary menjelir lidah sebagai tanda mengejek Muaz.

Muaz tidak membalas sebaliknya menghadiahkan senyuman ke arahku. Senyuman yang cukup manis lantas terus memanah hatiku. Aku seraya tunduk dan pura-pura menyambung makan. Kenapa aku jadi serba tak kena ni?

Tiba-tiba telefon Asyraf berbunyi. “Excuse me,” ucapnya sambil bangkit dan berlalu untuk menjawab panggilan.

“Excuse me too.” Giliran Mary bangun sambil memberi isyarat dia ingin ke bilik air.

Maka tinggallah aku dengan Muaz berdua di meja itu. Pingganku sudah hampir licin. Hanya beberapa butir nasi dan lebihan sambal nasi lemak masih berbaki. Mataku liar memandang sekeliling restoran bertemakan warna hijau daun dan perabot kayu supaya tidak bertemu dengan mata Muaz yang kini terarah kepadaku. Aku jadi segan.

“So, Farah! You dah lama kenal Asyraf?” Tanya Muaz sebagai soalan klise darinya untukku, mungkin sekadar cara untuk kami memulakan bicara.

“Lama juga. Kami bersekolah di sekolah yang sama, cuma dia senior dua tahun dari I.” Aku pula cuba bertanya Muaz. “How about you?”

“I kenal dia dari kecil.”

“Ha? Kenapa I tak pernah nampak you?”

Muaz tertawa kecil. “Asyraf tu sepupu I. Tapi I ni famili sebelah emak dia di Perak. Masa kecil selalu juga I datang rumah dia. Terutama masa hari raya. Eh, jadi you ni mesti kenal Asiah kan?”

Bila nama ‘Asiah’ disebut, mood aku untuk menjadi ‘peramah’ dengan Muaz, terus lari. Aku hanya mengangguk bagi menjawab soalan Muaz itu.

Mujur Mary muncul beberapa saat kemudian dengan muka yang berkerut dan bertanya di mana Asyraf berada. “ I rasa I nak baliklah. Perut I tak selesa makan sambal ni.”

“You tu memanglah, ‘orang putih celup’!” Ejek Muaz tanpa berlapik. “Nama Mariam jadi Mary! Hinggakan perut you tu pun dah tak jadi perut ‘Melayu’ dah!”

Aku cuba menahan ketawa daripada terkeluar akibat kata-kata Muaz itu. Dasyat juga mulut mamat ni! Fikirku. Akibat kata-katanya, Mary kembali bangun dan mencari Asyraf untuk dihantar pulang dengan segera. Sensitif betul!

“Sorry Farah, I need to send her home. One more, can you help me to send Muaz home too?” Asyraf memalingkan mukanya sekejap kepadaku, sekejap kepada Muaz yang aku perasan ada senyum nakal di hujung bibirnya pada ketika itu.

“Okay, no problem.” Aku menjawab permintaan Asyraf itu separa ikhlas. Selepas ni, taubat aku nak keluar dengan kau Asyraf!

Hati siapalah tak bengkak apabila pertemuan kali pertama yang sepatutnya berjalan tanpa wujudnya watak lain dan akhirnya begini jadinya? Sudahlah kami langsung tak sempat ingin mengenali diri masing-masing dengan lebih rapat. Sekarang aku pula yang menjadi mangsa atau orang suruhan yang perlu menghantar temannya pulang ke rumah!

“You macam marah je bila kena hantar I balik ni, Farah.” Muaz bersuara seolah-olah dapat mengesan wajahku yang sudah masam mencuka.

Aku meneruskan langkah menuju ke keretaku yang diparkir di sebelah kereta BMW berwarna perak. Langsung aku tak menjawab soalan Muaz itu.

“Wow, kereta you ke ni?” Muaz terus menarik perhatianku.

“Kereta I Honda City ni. Bukan BMW tu!” Balasku dan laju memasuki perut kereta.

Tawa Muaz pecah tiba-tiba. “I said ‘wow’ because of this car la- Honda City. For me, you’ve a great taste. I suka juga design Honda City. Casual yet exclusive!”

Aku tersenyum di dalam hati bila dipuji begitu. Pandailah kau ambil hati aku Muaz. Mentang-mentang aku sanggup hantar kau balik…

“Farah, I nak minta something boleh?” Muaz mengeluarkan telefon bimbit dari poketnya.

“Apa dia?”

“I nak nombor telefon you boleh?”

“Nak buat apa?” Aku kaget. Sekilas aku memandangnya sambil terus memandu.

“Saja.” Nada suara Muaz kian menurun.

“Tak boleh.” Jawabku. Hai, aku baru bagi tumpang kereta dah berani minta nombor telefon? Rasa geram yang masih berbaki terhadap Asyraf berjangkit kepada Muaz pula. Aku jadi berhati-hati dengan sepupunya walaupun aku tahu, mereka bukan orang yang sama. Pesimis betul aku ni!

“Kalau macam tu, takpelah.” Telefon bimbitnya tadi kembali disorok ke dalam. Dia senyap sepanjang perjalanan sehinggalah bila saat hampir tiba di kawasan rumahnya untuk menunjuk jalan.

Aku tahu dia hampa kerana aku menolak permintaannya itu. Tapi kerana terlalu kecewa, terlalu butanya aku mencari cinta, hatiku dengan mudah mengatakan ‘tidak’ kepada permintaan berikutnya. Tidak lagi!