Semuanya jadi dalam sekelip mata. Macam mimpi pun ada gak. Tapi siapalah kita untuk mengagak apa yang akan jadi pada masa depan kita. DIA lebih mengetahui segalanya. Subhanallah...
Aku rasa macam sekejap je kenal arwah mama Hafiz, yang sepatutnya menjadi ibu mertuaku insya-Allah hujung tahun ni. Baru tahun lepas aku datang rumah Hafiz dan jumpa mama, abah dan adik-adiknya. Dah 4 tahun hubungan kami, baru sedia nak jumpa keluarga masing-masing. Masa kali pertama jumpa rasa cuak juga. Maklumlah, nak kahwin dengan anak lelaki sulung dan tunggal dia. Siapa tak cuak kan?
Tapi alhamdulillah masa jumpa kali pertama tu semuanya ok. Aku lagi banyak berbual dengan abah Hafiz berbanding mama dia masa tu. Tapi aku tahu mama Hafiz memang baik. Kalau anak dia nak datang KL jumpa aku, dia yang hantar Hafiz sampai ke Melaka Sentral. Sebelum turun kereta mama dia akan pesan "baik-baik.." Adalah satu *nada* ni, Hafiz selalu ajuk masa kitorang berjumpa. Maksudnya dia kenalah ingat pesan mama dia tu masa jumpa aku. Huhu.
Tanpa diduga awal tahun hari tu mama Hafiz tiba-tiba sakit dan kena buat satu pembedahan untuk check sakit apa. Faham-faham sajalah hospital kerajaan. Nak buat pembedahan mesti kena tunggu giliran dulu. Patutnya boleh bedah awal lagi. Lambat sangat, dalam tengah bulan baru boleh operate dan bila dah tahu result, rupa-rupanya ada ketumbuhan di payudaranya. Dengan kata lain, dia disahkan menghidap barah payudara atau breast cancer.
Ada sesetengah barah yang boleh pulih dengan melakukan kemoterapi atau rawatan-rawatan lain. Macam arwah mak mertua kakak aku, lebih 4 tahun dia survive sebab barahnya masih boleh dibuat rawatan susulan. Tapi kes mama Hafiz ni lain sikit. Barahnya cepat sangat merebak. Jadi kena buat pembedahan seterusnya di Hospital Putrajaya walaupun sakit masa pembedahan pertama tu masih belum hilang.
Di Hospital Putrajaya, sekali lagi dia kena tunggu. Tapi kali ni kena tunggu doktor pakar pembedahan plastik pula sebab lepas buat pembedahan kena tampal atau ganti dengan kulit daripada bahagian lain. Tak boleh nak dibayangkan sakitnya kan. Tuhan je yang tahu...
Masa mama Hafiz kat Putrajaya tu aku datang melawatnya seorang diri tanpa ditemani sesiapa. Rupa-rupanya dia pun takde teman. Dia duduk sorang-sorang kat tepi tingkap dan bila nampak aku, dia langsung terkejut dan menangis kat aku. Aku ni dah memang semulajadi senang sangat menangis. Makanya sama-sama berendam air mata la... Aku rasa dia mesti tak sangka aku boleh datang sorang-sorang hari tu. Itulah kali pertama aku berborak lama dengan bakal mak mertua aku dan aku cuba sedaya-upaya bagi dia semangat supaya teruskan pembedahan sebab dia dah hampir putus asa masa tu bila doktor tak datang-datang untuk buat pembedahan.