Thursday, November 18, 2010

Cuti & Raya


Pertama, nak ucap *Selamat Hari Raya Aildiladha* kepada seluruh umat Islam di Malaysia. (Sebab hari ni Malaysia baru raya, negara lain ada yang dah raya semalam. Heh.) Hari raya tahun ni aku sambut kat rumah jela. Pagi-pagi dah kena kejut dengan mak tolong buat kerja sikit - buat kuih tat, mak tiba-tiba nak makan. Huhu. Mak aku ni tokey kuih, bukan raya pun dia suka-suki buat, apatah Raya Haji camni.

Apa-apa pun tabik kat mak saya. Raya Haji ni pun dia masak nasi impit dan ketupat daun palas, masak lemak lodeh, ayam masak merah, sambal sotong dan paling penting, rendang daging. Saya sayang mak saya... Huhu... Tapi yang sedihnya, mak dah balik kampung. Aku dan adik-beradik lain yang kerja esok, tak dapatlah ikut sama.

Aku tak faham Malaysia ni, Raya Puasa yang patutnya sambut sehari, bagi cuti lama-lama. Tapi Raya Haji yang patutnya sambut 3 hari, cuti sehari je. Bukan nak salahkan negara kita, sebab banyak sangat perayaan disambut kat negara ni. Tapi Raya Haji patut dimuliakan juga. Sebab cuti sekejap ni, penghayatan untuk menyambutnya juga kurang. Sebab hari ni aku cuti, esok dah kerja dah. Rancangan TV pun takde yang betul-betul menggambarkan semangat Hari Raya Aidiladha kecuali kalau nak tengok takbir raya berulangkali, tengoklah Astro Oasis. ^_^

Cakap pasal cuti juga, sekarang dah nak masuk musim cuti sekolah. Maka banyaklah jemputan kenduri kahwin daripada kawan-kawan aku. Ada yang terpaksa ditolak sebab jauh sangat, tarikh kenduri jatuh pada hari Sabtu (sebab Sabtu aku kerja), tarikh jatuh pada hari sama dengan orang lain, tempat jauh, tiada teman dan yang paling tak best, tiada BAJET. 

Serius banyak sebab dan alasan kenapa aku macam berat hati nak pergi kenduri kahwin orang ni. Lagi-lagi bila kenduri tu memang tak jauh, tapi aku seorang kena drive dan aku seorang yang kena alert jalan. Sesungguhnya aku sangat tak suka travel dan sesat pastu orang yang travel dengan aku tu, juga tak membantu dan menolong cari jalan! Sebab aku memang seorang driver yang senang *gelabah* pastu bila bawa orang aku jadi terlalu berhati-hati lalu akhirnya akan salah jalan atau sangat takut terjadinya accident. Nauzubillah.

Jadi ada kenduri 28 November ni dan 5 Disember. 28 haribulan, tempatnya kat Port Dickson. Masalahnya gaji aku masuk 1 haribulan. Bulan ni banyak sangat duit nak guna untuk kereta. Walaupun ada orang nak teman, tapi aku kena tanggung segala duit minyak, tol, etc sebab teman aku tu takde kena-mengena dengan pengantin. Uiks. Tak tahu patut pergi ke tak.

5 haribulan ialah hari perkahwinan ex-studiomate aku masa kat UIA dulu. Walaupun rumah dia kat kampung aku, tapi serius aku takut nak drive seorang diri! Kawan-kawan aku memang harapkan aku nak pergi, tapi diorang sendiri tak reti jalan susah gak. Tapi kalau tak pergi, studiomate ni banyak gak tolong aku masa jadi student dulu. Erm...

Pastu sedar tak sedar, aku sangat jarang ambil cuti. Ada lagi baki 4 hari cuti! Aku teringin sangat nak pergi bercuti jalan-jalan. Dah berapa tahun aku tak pergi melancong. Paling jauh aku pergi Melaka, tapi itu pun pergi dan balik hari yang sama. Menyesal pula, selama ni bila cuti Sabtu, aku kerja hari Ahad. Uiks.


*Oh, sangat teringin nak pergi bercuti di mana-mana pulau... =( *

Sebenarnya kalau nak ikut logik, bak kata Hafiz, aku ni sibuk sangat nak gi kenduri kahwin orang, kenduri aku nanti, diorang datang ke? (Tapi ayat dia sebenarnya sebut "kenduri kita" tu memang best. Huhu.) Sebenarnya bukan harap sangat balasan orang, cuma itulah hakikat yang terjadi. Aku pernah datang ke kenduri beberapa teman sekolah dulu. Boleh dibilang dengan jari, berapa orang datang kenduri dia. Sebabnya dia memang tak pernah atau jarang hadir ke kenduri orang lain. Hasilnya, kenduri kahwin dia lebih ramai orang tua yang datang (mungkin kawan-kawan mak dan ayah dia) ke kendurinya. (Langsung takleh nak cuci mata. Haha.)

Jadi buat masa ni, aku belum buat keputusan penuh. Sebab nak rancang lebih-lebih kang, takut tak jadi. Huhu. Apa-apa pun doakan semuanya berjalan lancar ye. Thank you.

Tuesday, November 16, 2010

Warna & Konsep Kediaman Impian (Bahagian Pertama)



Bila sebut pasal warna untuk rumah, kebanyakan orang kadang-kadang tak tahu nak pilih warna yang sesuai untuk diaplikasikan kat umah masing-masing. Lagi susah bila nak mix atau adunkan warna yang sesuai untuk ruang-ruang kegemaran supaya menjadi tarikan bila tetamu datang. Sebenarnya benda pertama kena fikir, bukan pandangan tetamu, tapi pandangan tuan rumah dulu. Apa yang penting, mata kita ni *sejuk* dan *tenang* sebaik kita melangkah masuk ke dalam rumah. Lagi satu, setiap warna yang kita pilih tu juga boleh kita jadikan *terapi* untuk kita rehatkan mata dan minda yang berserabut sewaktu kita berada di luar rumah.

Di sini, aku bagi impak pilihan warna yang dipilih supaya sesuai untuk setiap ruang rumah korang. Korang juga boleh aplikasikan warna kegemaran korang berdasarkan warna dan konsep-konsep ni untuk ruang-ruang yang bersesuaian dalam rumah tu.

Untuk menunjukkan contoh-contoh gambar yang banyak, aku bahagikan bab ini kepada beberapa bahagian warna. Bahagian Pertama untuk warna MERAH, HIJAU dan BIRU.

MERAH


Kebaikan
-Dapat memberikan impak yang positif dan meningkatkan pertambahan energi dalam diri.
-Juga membantu menambahkan keberanian, keyakinan dan percaya kepada diri sendiri.
-Selain itu, boleh juga meningkatkan rasa cinta antara pasangan di samping membuatkan masing-masing mempunyai daya penarik yang amat kuat antara satu sama lain.

Ruang Pilihan
Ruang Keluarga: Mampu memberikan kehangatan, dapat hilangkan rasa letih dan membantu mengembalikan energi yang hilang selepas seharian beraktiviti dan bekerja.
Lorong atau Dinding yang membosankan: Mampu menaikkan seri serta berfungsi untuk menampakkan ruang yang besar nampak agak kecil dan sederhana.






Tips
-Tak sesuai diterapkan di Bahagian Dapur kerana akan menimbulkan energi yang terlalu agresif di ruang tersebut.
-Kombinasi dengan warna hijau dan biru mampu mengimbangkan warna merah yang yang diterapkan lalu menampilkan keserasian yang luar biasa.





HIJAU


Kebaikan
-Beri pengaruh kuat terhadap hati dan perjalanan darah.
-Dapat menyingkap perasaan kita terhadap diri kita sendiri di samping menampakkan keserasian kita dengan alam yang melambangkan kedamaian dan kesegaran.

Ruang Pilihan
Ruang Keluarga: Menggambarkan erti kasih sayang, kemesraan dan kebahagiaan antara ahli keluarga. 
Kamar Mandi: Menimbulkan perasaan nyaman dan cintakan alam. Selain itu, warna tersebut juga dapat membantu mengembalikan tenaga yang hilang selain menghilangkan tekanan.
Ruang Meditasi: Memberi kesan yang tenang dan nyaman.
Kamar Beradu: Sesuai dijadikan sebagai warna dasar (main colour) kerana menolong menyingkap keseimbangan yang harmoni di samping menyejukkan perasaan dan menghilangkan sakit kepala.









Tips
-Jika terlalu banyak diterapkan akan menimbulkan perasaan cemburu. (Ohps!)
-Warna kuning merupakan kombinasi terbaik dengan warna hijau. Bila diadukkan bersama, ruang tersebut jelas menjadi tarikan utama.
-Kuning mengingatkan kepada matahari manakala hijau melambangkan alam semulajadi. Kombinasi dua warna ini menghasilkan kecantikan semulajadi untuk rumah.
-Elakkan guna terlalu banyak dalam rumah. Jadikan warna ringkas dan tidak terlalu terang supaya tidak terlalu menyakitkan mata yang memandang.



BIRU


Kebaikan
-Warna biru seringkali dikaitkan dengan aspek spiritual jadi warna ini dapat mencipta kesan yang menenangkan terutama selepas melakukan aktiviti yang memenatkan.
-Biru juga menolong rasa rileks lantas menjadikan diri seolah-olah sedang merehatkan minda sambil merenung langit biru dan lautan yang luas.

Ruang Pilihan
Kamar Beradu:  Dapat meningkatkan eksprerisi, keyakinan, kesetiaan, tanggungjawab dan kebebasan berkomunikasi. Mampu meredakan perasaan marah terhadap teman atau pasangan. Juga membantu mengatasi penyakit 'insomia' (susah tidur).
Kamar Mandi: Meredakan tekanan yang luar biasa, melegakan demam dan membuatkan kita mampu bernafas lega.








Tips
-Terlalu banyak biru akan membuatkan diri menjadi malas lantas menurunkan motivasi diri yang ada.
-Warna biru firus atau 'turqoise' sesuai diaplikasikan bagi tujuan terapi.
-Kombinasi biru, kuning dan merah di Bilik Permainan Kanak-kanak dapat membangkitkan semangat belajar dan menjadikan aktiviti tambah menarik!



Sources:


Sunday, November 14, 2010

7 Kalimah

Sabda Rasulullah s.a.w.
"Barangsiapa menghafal 7 kalimah, ia terpandang mulia di sisi Allah s.w.t. dan malaikat serta diampuni dosa-dosanya walau sebanyak buih-buih laut."


Bismillahirrahmanirrahim : Pada setiap hendak melakukan sesuatu

Barang siapa yang membaca BISMILLAHHIRRAHMANIRRAHIM sebanyak 21 kali 
sebelum tidur maka:
 

1. Dia akan dihindari dari meninggal dalam keadaan terkejut/mendadak.
 
2. Dia akan dihindari dari meninggal/bahaya tenggelam.
 
3. Dia akan dihindari dan dilindungi dari bahaya kebakaran.
 
4. Dia akan dihindari dan dilindungi dari bahaya rompakan..
 


Alhamdulillah : Pada setiap menyelesaikan sesuatu


Dari Jabir bin Abdullah r.anhuma berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sebaik-baik zikir ialah La ilaha illallah dan sebaik-baik doa ialah Alhamdulillah”. (H.R Tarmizi dan katanya: Hadith ini bertaraf ‘hasan, gharib’, bab doa orang Muslim mustajab, bil. 3383)


Astagfirullah: Jika tersilap mengucapkan perkataan yang tak patut sama ada sedar atau tidak sengaja

Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” 
(Surah an-Nisaa:106)


Insya-Allah: Jika merencanakan berbuat sesuatu pada esok hari

[23] Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): “Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti
[24] Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): “Insya Allah”. Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: “Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini
(Surah Al-Kahfi ayat 23 dan 24)


Laa hawla wala quwwata illah billah: Jika menghadapi sesuatu yang tidak disukai & tidak diingini

“Kami bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Bila kami menaiki dataran tinggi, maka kami mengucapkan takbir. Maka beliau mengatakan: ‘Wahai manusia kasihilah diri kalian, kerana kalian tidaklah menyeru Dzat yang tuli atau jauh, akan tetapi Ia Maha Mendengar dan Maha Melihat.
’Lalu beliau mendatangiku, sementara aku sedang mengucapkan dalam diriku: ‘La haula wala quwwata illa billah.’ Lalu beliau mengatakan: ‘Wahai Abdullah bin Qais (nama Abu Musa), ucapkan
La haula wala quwwata illa billah. Sesungguhnya itu adalah salah satu kekayaan yang tersimpan di syurga.’ Atau beliau mengatakan: ‘Tidakkah kamu mahu aku tunjuki salah satu harta kekayaan di syurga? La haula wala quwwata illa billah’.” (Shahih, HR. Al-Bukhari no. 5905, 7386)


Innalillahi wainna ilaihi raji’uun: Jika menghadapi & menerima musibah

Firman Allah:
“…Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan 
kepadaNYAlah kami kembali.”
 (Surah Al baqarah: 156)


La ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah: Sepanjang siang dan malam sehingga tak terpisah daripada lidahnya daripada tafsir hanafi, mudah-mudahan ingat, walau lambat-lambat mudah-mudahan selalu, walau sambil-sambil lalu mudah-mudahan jadi bisa.

Ketika nabi Musa meminta kepada Allah SWT agar dianugerahkan satu kalimah yang Agung, Allah menjawab “LAA ILAAHA ILLALLAH” Nabi Musa kehairanan lantas berkata, "Hanya itu?"
Jawab Allah SWT, kalimah ini jika ditimbang disatu sisi timbangan dan disisi lain 7 lapis dunia dunia dan 7 lapis langit beserta isinya maka tidak akan mampu menandingi beratnya pahala bagi orang yang berzikir kalimah ini.


"Ingatlah kamu kepadaKu nescaya Aku ingat kepadaMu dan bersyukurlah kepadaKu dan jangan kamu mengingkari (nikmat)Ku."

(Surah Al-Baqarah 152)


"Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang."

(Surah Al-Ahzab 41-42)



Sources:

Ada Mata...



Dan ketika itu...
Ada mata yang memandang duka...
Ada mata yang kuyu letih...
Ada mata yang celik, mulut terbuka...
Ada mata yang memerhati tapi minda lari...
Ada mata yang terpejam memang tak wujud lagi...
Ada mata yang meliar tajam, meneliti hakikat hidup...
Ada mata yang duduk diam. Berkelip bila perlu...
Ada mata yang terkebil-kebil, tak tahu diri di mana...
Hakikat manusia, memerhati, meneliti, memandang, mencari menggunakan mata..
Melihat dengan hidayah Tuhan...
Menilai dengan hati..
Namun mata adakalanya silap...
Adakalanya salah menilai...
Kerana bukan menilai dengan hati..
Hati yang suci bersih...
Dan ketika itu, mata menipu lagi..
Tanpa disedari oleh hati yang tercemar dek titik hitam...

Airaniez Wirdani
17 Februari 2004 

Saturday, November 13, 2010

Kekurangan itu Kelebihan kita




Seseorang pernah berkata kepadaku:

"Kekurangan saya kadangkala adalah kelebihan saya."

Kerana kata-katanya itu, hingga kini, aku menerimanya seadanya.

Kerana kita kena sendiri sedar akan kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri sendiri. Aku tak secantik orang lain sampai setiap kali orang asyik nak ambil gambar aku atau bila orang lain pandang dia jalan sampai tergolek tersepak batu. Aku juga tak terlalu bijak hingga dapat belajar di luar negara ditaja dengan biasiswa (Sampai sekarang hutang PTPTN tak settle.)  Tambahan, aku juga tak punya harta yang banyak, sebab mak ayah aku bukan orang bisnes berjuta-juta.

Kerana kekurangan yang kita ada, tanpa kita sedar, kita akan selalu mengeluh, rendah diri, sedih dan malu untuk berhadapan dengan orang yang lebih sikit daripada kita. Kita jadi takut untuk mencabar diri kita untuk menunjukkan siapa diri kita, apa kemampuan yang kita ada, malah kita langsung tak mahu berusaha menjadi lebih baik daripada diri kita sekarang.

Aku ambil satu kisah yang berkaitan dengan seseorang yang sangat rapat denganku. Ceritanya, dia ada seorang makcik yang pekak. Makciknya ini memang pekak dan tak boleh mendengar, maka dia juga bisu sejak daripada lahir. Oleh kerana dia tinggal dengan keluarga yang kurang berkemampuan, dia langsung tak pernah bersekolah lantas langsung tidak tahu berbahasa isyarat, apatah lagi membaca dan menulis. Jadi untuk berkomunikasi dengannya, kita kena tunjuk dengan perbuatan supaya dia faham apa yang kita nak beritahu kepadanya.





Contohnya untuk makan, kena buat aksi menyuap makanan ke mulut. Nak beritahu warna, tunjuk kepada baju atau apa-apa warna yang ada di sekeliling kita. Hakikatnya aku sendiri kurang arif macam mana payahnya untuk berkomunikasi dengan orang yang pekak dan bisu yang langsung tidak tahu bahasa isyarat sebab aku sendiri tak pernah belajar cara-caranya. Tapi aku dapat rasakan, mesti payah untuk orang lain berkomunikasi begitu dan orang-orang tersebut mesti ada kesabaran dalam melayan dia yang langsung tak mampu bercakap dan mendengar.

Nak dijadikan cerita, suatu hari, makciknya jatuh hati kepada seseorang. Aku tak pasti macam mana temanku ini tahu apa yang hendak disampaikan oleh makciknya itu. Tapi mungkin sebagai anak saudara yang sudah lama tinggal dan hidup dengan makciknya, dia dapat menangkap apa yang makciknya cuba untuk sampaikan.

Pada ketika itu, cubalah anda bayangkan, bagaimana seorang yang bisu dan pekak, hendak menyampaikan isi hatinya yang tiada siapa pernah dengar, tahu dan mengerti kecuali Allah s.w.t. Dia menjerit-jerit ingin memberitahu perasaannya, tapi malangnya dia tak tahu bagaimana caranya. Dia menangis-nangis kerana perasaannya itu, tak dapat dizahirkan dengan kata-kata. Manakala anak saudaranya yang pada ketika itu masih ‘bawah umur’ juga juga tak tahu macam mana nak bantu makciknya ketika itu.





Dengan menggunakan ‘ilmu’ budak sekolah rendah, anak saudaranya itu hanya mampu menolong menulis surat cinta untuk membantu makciknya. Dalam usia yang masih muda, apalah sangat ayat-ayat cinta yang dapat dikarangkan di dalam surat itu. Itu belum fikir bahagian ‘tulisan’ kanak-kanak lagi. Adakah dengan cara tersebut, isi hati makciknya itu dapat diertikan kepada si dia yang dia suka?

Bila mendengar kisah duka ini, kami langsung menangis bersama-sama. Kami menangis, kerana kami boleh berkata-kata, kami boleh luahkan apa yang kami rasa malah kami boleh dengar luahan rasa antara kami. Berbanding dengan makciknya yang serba kekurangan. Nak luah isi hati, tapi tiada siapa yang mampu dengar dan fahami.

Lebih sedih, kata doktor beberapa bulan yang lalu, sebelah matanya sudah buta kerana diselaput benda. Sedihnya dia pekak dan bisu, tak mampu memberitahu orang lain yang dia tak nampak sebelah mata. Kalau kita yang mata masuk habuk ni, habis satu rumah tahu! Siap ramai yang tolong tiupkan. Tapi dia…

Kekurangan yang dia miliki tak membuatkan dia sekali pun mahu mengalah dalam hidup. Dia masih meneruskan rutinnya, tinggal di rumah sambil menjaga neneknya yang sudah tua. Dia pandai menguruskan rumah. Pandai mengemas, memasak dan semua yang dilakukannya teratur. Ternyata, di sebalik kekurangan yang dia ada, dia juga punya kelebihan tersendiri yang mungkin tak semua orang yang ‘sempurna’ ada, betul tak?

Untungnya dia yang pekak dan bisu juga, tak dia dengar hal-hal fitnah di sekeliling. Tak juga turut serta dalam ‘mesyuarat tingkap’ atau gosip antara kita. Malah dia juga dijauhkan daripada berkata nista dan yang sia-sia. Tapi kita yang sempurna dan boleh berkata-kata dan mendengar inilah yang menggunakan kelebihan berkata-kata dan mendengar ini untuk benda yang boleh menambah dosa.

Pernah tak terfikir, kadang-kadang mesti ada juga orang yang cemburu dengan kekurangan yang kita ada. Contohnya kita punya suara yang kuat bila bercakap. Itu mungkin kekurangan bagi sesetengah orang yang malu sebab apa kita nak cakap, satu Malaysia dengar. Tapi kelebihannya, kita dapat sampaikan apa yang kita nak cakap dengan jelas dan dapat didengari oleh semua. Bila kita tak cantik pada luaran, hakikatnya Allah s.w.t telah sorokkan bahagian yang cantik itu di sebalik diri kita dan hanya orang yang ‘tertentu’ atau istimewa saja yang boleh lihat. Untung tak?





Jadi dah nampakkan kenapa kita perlu bersyukur dengan kelebihan dan kekurangan yang kita ada? Kenapa kita mesti cemburu dengan kelebihan orang lain kalau kita sendiri ada keistimewaan sendiri. Selongkar, selami dan hayati diri sendiri apa yang tersorok dalam diri, bangkit majukan diri dan jangan mengalah untuk hidup walau seinci!


"Berkemungkinan yang kamu cintai itu terselit KEBURUKAN di dalamnya dan berkemungkinan yang kamu benci itu terselit KEBAIKAN di dalamnya."